Beginilah keadaan kubur lama yang dianggap aneh oleh penduduk setempat dan orang ramai di mana tanah di kubur tersebut menjadi tinggi hingga 1.5 meter dan tidak ditumbuhi rumput di Tanah Perkuburan Umum Korong (Kampung) Sungai Asam, Nagari Sungai Asam, Kecamatan 2X11 Enam Lingkung di daerah Padang Pariaman, Sumatera Barat. Kredit foto: Video TribunPadang.Com.
KEBIASANNYA seseorang pergi ke tanah perkuburan sama ada mengiringi jenazah untuk dikebumikan atau menziarahi kubur kaum keluarga yang sudah meninggal dunia terutama menjelang atau pada hari raya.
Bagaimanapun berlainan keadaannya dengan apa yang berlaku di sebuah tanah perkuburan di daerah Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia ini di mana orang ramai datang untuk melihat suatu perkara yang mereka anggap aneh berlaku di situ.
Penduduk kampung dan mereka yang tinggal di kawasan sekitar termasuk orang dari luar datang ke kawasan berkenaan semata-mata untuk melihat sendiri tiga buah kubur lama di mana tanahnya meninggi kira-kira 1.5 meter sejak beberapa hari lalu.
Kubur berkenaan yang menggelembung berbentuk seperti busut lebar gondol tanpa ditumbuhi rumput menjadi tumpuan orang ramai yang datang sejak awal pagi hingga ke malam setiap hari sejak kejadian itu diketahui umum.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kejadian aneh:
https://kitareporters.com/search?search=aneh
Ratusan kubur lain yang ada di kawasan berhampirannya semua ditumbuhi rumput dan keadaannya normal seperti mana kuburan biasa dengan ketingginnya antara 40 hingga 50 sentimeter (cm) sahaja dari paras tanah.
Kawasan tanah perkuburan ini menjadi tumpuan ramai dan viral selepas seorang yang dikenali sebagai Desi Fitri yang berkunjung ziarah melakukan rakaman video mengenai tiga buah kubur yang aneh tersebut dan memuat naiknya dalam laman sosial FB miliknya.
Tiada siapa yang mengetahui punca sebenar tiga buah kubur yang aneh di situ dengan keadaan tanahnya lebih tinggi hingga mencapai paras dada orang dewasa dan lebarnya lebih besar dari kubur-kubur yang ada.
Orang ramai bertumpu ke Tanah Perkuburan Umum Korong Sungai Asam untuk melihat dari dekat yang dikatakan ada kejadian aneh di tiga buah kubur lama di situ. Mereka datang dari pagi hingga ke malam.
Menurut laporan TribunPadang.com pada Sabtu 27 Mac 2021 berikutan perkara aneh itu kawasan Tanah Perkuburan Umum Korong (Kampung) Sungai Asam, Nagari Sungai Asam, Kachamatan 2x11 Enam Lingkungan di daerah Padang Pariaman,S umatera Barat (Sumba) menjadi tumpuan ramai.
Ramai orang datang ke tanah perkuburan tersebut bila mereka mengetahui ada kejadian aneh di situ. Malahan sejak awal pagi hingga ke malam ada sahaja mereka yang datang bukan sekadar warga tempatan tetapi juga dari luar untuk melihat sendiri keanehan yang berlaku.
Ketua Korong (Kampung) Sungai Asam, Anwar SE memberitahu, kubur yang berlaku perkara aneh itu merupakan kubur lama sejak beberapa dekad yang lalu untuk suku Pandam Panyalai, bagaimanapun beliau belum dapat mempastikan milik siapa sebenarnya kerana nama pada batu nisannya sudah tidak ada.
" Ini Tanah Perkuburan Pandam Panyalai, Datuk Rangko Gadang. Jadi kubur ini sudah puluhan tahun yang lalu dan sebelumnya tidak ada kubur setinggi itu seperti tiga buah kubur berkenaan," ujarnya.
Namun demikian menurutnya, setahun yang lalu ada sebuah kubur yang tinggi dari kubur-kubur biasa lainnya tetapi hanya paras lutut orang dewasa sahaja.
Isu mengenai kubur aneh ini di mana tanah yang ada di atasnya menjadi tinggi dengan tiba-tiba dan lebarnya lebih dari biasa sebenarnya sudah diketahui lebih awal oleh Suku Kaum Panyalai lima bulan yang lalu semasa mereka membersihkan kubur berkenaan bagaimanapun ketinggiannya tidaklah seperti yang ada sekarang.
Datuak Suku Panyalai, Ali Bujang Rangkayo, 50, berkata, semasa kerja-kerja membersihkan kubur berkenaan tanah di atasnya sudah mulai meninggi kira-kira setengah meter, tetapi tidak mahu menghebahkannya kerana mahu bertanya kepada ulama terlebih dahulu bagi memastikan identiti pemilik kubur tersebut.
Namun demikian sehingga sekarang ulama setempat masih belum dapat mengetahui dan mengenal pasti siapa sebenarnya yang dikebumikan di kubur tersebut.
"Kami juga tahu kubur berkenaan tanahnya semakin bertambah tinggi semasa ada satu jenazah suku Panyalai yang hendak dikebumikan di tanah perkuburan tersebut baru-baru ini," ujarnya.
Salah satu dari tiga buah kubur lama yang dikatakan aneh di Tanah Perkuburan Umum Korong Sungai Asam merupakan kawasan perkuburan suku kaum Pandam Panyalai.
Laporan mengenai kejadian aneh ini turut dimuatkan oleh Dream.co.id yang memetik sumber daripada Padangkita.com.
Pada mulanya kubur aneh berkenaan hanya di pagar dengan tali sahaja oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan tanah perkuburan berkenaan dengan kerjasama suku kaum Panyalai.
Disebabkan ramai orang yang datang untuk melihat sendiri keanehan tersebut kini kubur berkenaan di pagar menggunakan kayu bagi mengelakkan orang ramai memijak atau memanjat kubur berkenaan yang telah meninggi sampai 1.5 meter dan melebar hingga kira-kira 3.5 meter.
Kubur yang dikatakan aneh di Tanah Perkuburan Korong Sungai Asam kini dipagar dengan menggunakan pagar kayu untuk mengelakkan orang ramai yang datang menyaksikan kubur tersebut dari dipijak dan dipanjat. Bahagian atas kubur berkenaan juga diletakkan kain putih seolah-olah seperti dijadikan bumbung kepada kubur berkenaan.
Malahan pihak pengurusan yang bertanggung jawab terhadap tanah perkuburan tersebut tidak tahu kubur siapa sebenarnya yang keadaan tanahnya naik tinggi secara tiba-tiba.
Juga di atas perkuburan berkenaan sekarang diletakkan kain putih seolah-oleh seperti dijadikan sebagai bumbung kepada kubur yang menjadi misteri itu
Malahan Anwat SE berkata, tidak ada tanda-tanda usaha meninggikan tanah di kubur aneh berkenaan kerana tidak ada kesan tanah yang diambil dari bahagian tepi dan dilonggokan di atasnya atau tanah tambahan dibawa dari luar kawasan perkuburan kerana jika ada, tentulah ada kesan jalan yang rosak menuju ke kubur tersebut.
Melalui video yang dimuat naik itu walaupun kubur misteri berkenaan merupakan kubur lama tetapi terletak tidak jauh dari kubur-kubur lain yang masih baharu. Di pinggiran kubur tersebut ditumbuhi pokok buluh. - KitaReporters
Selepas tular mengenai kubur aneh itu, orang ramai datang mengunjungi Tanah Perkuburan Umum Korong Sungai Asam.
Walaupun dipagar dengan kayu tidak menghalang orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat kubur lama yang dikatakan aneh kerana tanah di atasnya naik tinggi kira-kira 1.5 meter sejak beberapa hari yang lalu.