Seni & Sukan 22 May, 2022

Video| Dolla nafi berpakaian keterlaluan dalam MV Suara Lebaran Kita! Sesuai dengan imej kumpulan!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Semua gambar dari Instagram Dolla officials @

KUMPULAN Dolla mempertahankan busana yang digayakan dalam video muzik ‘Suara Lebaran Kita’ dendangan bersama Hael Husaini sebagai tidak keterlaluan kerana ia sesuai dengan imej kumpulan itu

Dolla terdiri daripada Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam), Angel (Angelina Chai Ka Ying) dan Syasya (Norsyasya Afiqah Shahrizal).   




Mewakili Dolla, Sabronzo berkata, mereka menghormati budaya Melayu dan memilih busana sesuai untuk digayakan dalam video muzik yang diterbitkan sempena menyambut Aidilfitri. 

"Dalam perkara ini, setiap orang ada pandangan masing-masing. Ada yang sukakan lagu raya kami dan ada yang sebaliknya.

"Tetapi dalam video muzik itu, kami masih menghormati baju tradisional kita. Tidaklah kami mengenakan baju yang terlalu menonjol, sebaliknya, masih boleh diterima. 

"Bagi kami, dalam setiap video muzik, kami cuba tonjolkan imej Dolla. Sama macam lagu sebelum ini, kami tonjolkan identiti Dolla," katanya kepada sebuah media.




Sebelum ini, sebaik video muzik ‘Suara Lebaran Kita’ dendangan bersama Hael dilancarkan, netizen melemparkan kritikan konon gaya kumpulan itu agak seksi dan tidak sesuai dengan suasana hari raya

Sabronzo berkata, setiap komen dan kritikan dijadikan panduan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.

"Mana yang boleh diperbaiki, kami cuba lakukan. Sejak single pertama kami dapat banyak maklum balas positif dan negatif.

"Tidak kira apa pun, pasti ada sesuatu yang boleh kami pelajari," katanya ditemui pada Rumah Terbuka Rakyat Rangers anjuran Hot FM di Sri Pentas, Petaling Jaya pada Jumaat, 20 Mei 2022.


Sementara itu, menurut Taby, single Suara ‘Lebaran Kita’ mendapat sambutan yang sangat baik kerana peminat tidak menyangka mereka akan bekerjasama dengan Hael Husaini.

"Lagu itu meriah dan unik. Ia sesuai dengan suasana raya tahun ini. Merakamkan lagu ini memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan buat kami.

"Kalau dilihat dalam laman sosial seperti Instagram (IG) dan TikTok, ramai yang menjadikan single ini sebagai lagu latar sambutan raya. Malah, ada yang menyunting seperti video muzik. Tidak hanya kreatif, usaha mereka sangat dihargai. Ia cukup buatkan kami terharu dan teruja," katanya.

Taby berkata, sama seperti single raya tahun lalu (2021), iaitu ‘Raya Raya Raya’, lagu ‘Suara Lebaran Kita’ 'catchy' dan sesuai untuk pendengar muzik semasa.

MV ‘Suara Lebaran Kita’ yang mula ditayang dalam YouTube kira-kira sebulan lalu sehingga 12.01 minit Ahad, 22 Mei 2022 mencapai tontonan lebih 1.388 juta. 

Sementara lagu ‘Raya Raya Raya’ yang mula ditayang setahun lalu sehingga kini mencapai tontonan lebih 10, 221 juta.



Kumpulan Dolla antara penyanyi yang mendapat sambutan paling menggalakkan dalam rakaman lagu bertema hari raya.

Lagu ‘Raya, Raya, Raya’ walaupun sudah dilancar setahun lalu, masih popular dan diputar di stesen-stesen radio dan TV.

Dolla yang ditubuh pada tahun 2009 oleh sebuah syarikat rakaman sebagai kumpulan penyanyi wanita yang boleh menari dengan masing-masing sebelum ini tidak pernah bertemu.

Mereka dikatakan mengikut kumpulan K-pop terkenal Korea iaitu Blackpink yang kesemuanya wanita yang berusia 20-an.

Dolla muncul sebagai artis ketiga Malaysia selepas Yuna dan Layla Sania, yang dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Penampilan Dolla ialah sebahagian daripada kempen Equal oleh perkhidmatan penstriman digital, Spotify. - KitaReporters


12
12
0
13
0
You will be interested