SETELAH lapan hari menimang cahaya mata pertama, pasangan selebriti Ernie Zakri dan Syamel mengumumkan nama untuk anak perempuan mereka itu, namun masih tidak dedahkan wajah si bayi.
Ini kerana ikut kepercayaan atau tradisi, tidak baik mendedahkan wajah bayi sebelum 40 hari kelahirannya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelahiran
Menerusi Instagram masing-masing, pasangan ini mengumum nama penuh anak mereka iaitu Nur Khawla Soleha pada Rabu, 2 Mac 2022.
"Assalamualaikum. Welcome to the world, Nur Khawla Soleha.Semoga menjadi anak solehah daddy dan ibu, membesar dengan penuh keberkatan dan rahmat Allah SWT. Panggil saya Khawla," tulis Ernie.
Melihat ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja dan memuji pemilihan nama itu.
Sejumlah rakan artis turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga Khawla membesar menjadi anak yang taat kepada kedua ibu bapanya.
"Nama yang sangat indah. Subhanallah! Selamat datang Khawla Soleha. Cantik sungguh nama seindah makna.
"Sedap nama Khawla, semoga menjadi anak solehah, penyejuk mata ayah dan bonda," tulis pengikut-pengikut.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, selamat melahirkan cahaya mata perempuan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada 22 Februari 2022 lalu kira-kira jam 10.14 pagi.
Ernie dan Syamel (Syameel Aqmal bin Mohd Fodzly), 28, mendirikan rumah tangga di Masjid Puncak Alam, Selangor pada 22 Mac 2021. - KitaReporters