Seni & Sukan 09 Nov, 2021

King Gobal akur! Brunei tarik diri Piala AFF angkara Covid-19! Tinggal Sukan SEA Hanoi misinya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

K. Rajagobal mengikat kontrak dua tahun dengan NFABD dan tinggal Sukan SEA Hanoi 2022 jadi misinya dengan 'Sang Tebuan'. - Kredit foto: NFABD


TERLEPAS peluang Datuk K. Rajagobal untuk mencurahkan ilmu, pengalaman dan kemahirannya kepada Brunei Darussalam dalam Piala AFF 2020 (2021) yang bermula dengan pusingan kelayakan pada 1 Disember 2021.

Dia terpaksa akur dengan pengumuman penarikan diri oleh majikannya, Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) kerana pandemik Covid-19 yang menyulitkan persediaan pasukannya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala AFF

PIALA AFF hanya sekali pernah dimenangi Malaysia pada 2010. - Kredit foto: ASEAN Football


Bekas pengendali Harimau Malaya yang menjuarai Piala AFF 2010 ini memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih ‘Sang Tebuan’ pada Disember 2020 selepas mengikat kontrak dua tahun dengan NFABD.

Pada Februari 2021, sebanyak 25 pemain Brunei telah dipanggilnya bagi kem latihan pusat selama seminggu.

Siaran media Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) pada 8 November 2021 menyebut, pasukan itu menarik diri daripada menentang Timor Leste di Singapura yang secara automatiknya memberikan lawan, kemenangan percuma dan layak menyertai Kumpulan A.


SKUAD Brunei Darussalam terpaksa menarik diri dan memberikan laluan automatik kepada Timor Leste dalam Piala AFF. - Kredit foto: NFABD


Pengiran Matusin Pengiran Matasan, Presiden NFABD berkata, kami benar-benar kecewa apabila pasukan kebangsaan kami tidak dapat bertanding dalam pusingan kelayakan Piala AFF di Singapura.

Pandemik Covid-19 malangnya memberikan kesan yang panjang kepada persediaan pasukan kebangsaan kami bagi kejohanan ini. biarpun segala usaha sudah dibuat untuk menyelesaikan, kesulitannya terbukti sukar ditangani pada waktu yang lewat ini

“Kami mengucapkan AFF selamat berjaya dengan kejohanan ini dan mengalu-alukan untuk menyertainya semula dalam edisi akan datang,” tambahnya dalam siaran berkenaan.


SUKAN SEA Hanoi mengehadkan saingan bola sepak kepada pemain-pemain bawah 22 tahun sahaja dan dua pemain senior. 


Rajagobal, 65, turut pernah membimbing skuad Bawah 23 tahun Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA Laos 2009 selain Harimau Muda ketika berkhidmat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Karier kejurulatihan anak jati Setapak, Kuala Lumpur yang juga bekas penyerang Selangor dalam Piala Malaysia era 70-an hingga 80-an ini juga meliputi Selangor, Kelantan, Sarawak dan PKNS FC.

Namun ‘King Gobal’ (gelarannya) masih berpeluang untuk menonjolkan bakat bimbingannya dengan Skuad Bawah 22 Tahun Brunei dalam Sukan SEA Hanoi 2022.

Temasya serantau dwitahunan ke-31 telah ditunda dari November 2021 ke 12 hingga 23 Mei 2022 oleh tuan rumah Vietnam.  


K. Rajagobal ketika sesi latihan pusat pasukan Brunei pada Februari 2021. - Kredit foto: NFABD


Timor Leste kini menyertai tuan rumah, Thailand, Myanmar dan Filipina dalam Kumpulan A Piala AFF yang saingannya bermula 5 Disember 2021 di Stadium Nasional, Hab Sukan Singapura.

Juara bertahan, Vietnam mengetuai Kumpulan B di samping naib juara 2018, Malaysia selain Laos, Kemboja dan Indonesia.

Presiden AFF, Khiev Sameth dari Kemboja berkata, “kami dukacita menerima berita ini tetapi benar-benar memahami dan bersimpati dengan NFABD mengenai kesulitan mereka.

“Kami tahu bahawa rantau Asia Tenggara teruk dilanda pandemik ini dan kita semua sedaya upaya mengatasi cabaran ini dalam pelbagai cara

“Biarpun kami terlepas menyaksikan aksi pasukan Brunei tahun ini, kami tahu mereka akan kembali dengan lebih gagah dan mengalu-alukan penyertaan mereka pada masa akan datang,” katanya.


KHIEV Sameth, Presiden AFF. - Kredit foto: AFF


Piala AFF merupakan sebuah kejohanan bola sepak dwitahunan yang dianjurkan oleh AFF dan ditandingi pasukan-pasukan senior kebangsaan di seluruh Asia Tenggara serta ditauliahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Edisi ke-13 dijadualkan dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 yang membahagikan 10 pasukan kepada dua kumpulan dengan setiap satunya dianggotai lima pasukan dan bermain secara liga sepusingan atau empat perlawanan.

Format pusingan kalah singkir timbal balik dikekalkan bagi separuh akhir dan perlawanan akhir meskipun kali ini dijalankan di venue berpusat, Singapura sahaja. - KitaReporters


K. Rajagobal (berdiri) bersama-sama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri) dan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe (kanan) dalam pertemuan dengan pasukan kebangsaan 2018. - Kredit foto: FAM 

13
14
0
16
0
You will be interested