Seni & Sukan 25 Apr, 2022

Video| Lagu Musafir Di Aidilfitri versi A Romzi! Penyanyi lama, baharu dalam Raya #KembaliBersama!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


SALAH satu lagu raya yang tidak pernah jemu didengar sejak dulu sehingga kini adalah lagu Musafir Di Aidilfitri, dendangan Allahyarham S. Jibeng.

Setiap tahun ada saja penyanyi yang merakam semula lagu yang menyentuh perasaan, ciptaan S. Jibeng atau nama sebenarnya Jaafar Sidiq itu.

Kali ini penyanyi era pop yeh yeh, A. Romzi yang popular dengan lagu Dendang Remaja dan Zunika bersama kumpulan The Hooks, pula merakam semula lagu Musafir Di Aidilfitri.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu-lagu raya

A. Romzi memilih untuk merakam semula lagu Musafir Di Aidilfitri, dendangan asal oleh S. Jibeng.


“Saya gembira kerana dapat merakam semula lagu Musafir Di Aidilfitri selepas dua tahun kita tak dapat beraya dengan sanak saudara dalam suasana meriah.

“Hingga hari ini, saya tak dapat lupakan pengalaman yang dilalui apabila perintah kawalan diperketatkan dan kebanyakan umat Islam tidak dapat kunjung mengunjung seperti kebiasaan.

“Semua orang terpaksa membataskan pergerakan akibat takut dijangkiti dan sebagainya. Kita perlu berjaga-jaga memandangkan suasana tersebut tidak pernah dilalui oleh semua orang.

“Tapi Alhamdulillah, semuanya sudah kembali asal dan kebanyakan negara pun sudah mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik. Sudah tentu lebaran kali ini lebih bermakna,” kata A Romzi.



Ternyata raya kali ini A. Romzi telah mengatur pelbagai aktiviti bagi ‘membalas dendam’ dua tahun tidak dapat beraya seperti selalu dengan sanak saudara.

“Memang ramai dalam kalangan kita sudah berbincang dan merancang untuk mengenakan pakaian sedondon dan menziarahi keluarga bagi merapatkan semula hubungan yang sebelum ini terpaksa dijarakkan kerana pandemik.

“Saya harap peminat berpuas hati dengan lagu Musafir Di Aidilfitri dendangan semula mengikut gaya saya itu. Apa yang penting, kita dapat menyambut raya dengan meriah tahun ini,” katanya tentang lagu yang dimuat dalam album Raya #KembaliBersama.


Pesanan Lebaran adalah lagu dendangan Mahani Mohd yang dimuat dalam album #KembaliBersama.


Selain A. Romzi, album yang mendapat sentuhan penerbit Sha’aban Yahya itu turut disertai beberapa penyanyi baharu dan lama dari Singapura. 

Album tersebut memuatkan sembilan lagu, empat daripadanya lagu lama yang didendang semula demi meraikan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan satu semangat meraikan kemenangan.

Antara penyanyi yang terlibat terdiri daripada Daniel Baharin & Zalelo menerusi lagu Hari Raya; Effie Ismail & Farisha Ishak (Kemenangan Hari Raya) dan Mahani Mohd (Pesanan Lebaran).

Turut terlibat Ulan & 7RiiiQa (dk (dikir barat) Sendu Aidilfitri); Arif Samsudin (Raya Merubah); Syaz Smooth & Putri Emily (Syukur Raya); Ahmad Stokin (Hari Raya Bukan Lebaran) dan Musafir Di Aidilfitri (A Romzi).


Syaz Smooth berduet dengan Putri Emily untuk lagu Syukur Raya.


Bagi Mahani, penyanyi era 80-an yang popular dengan lagu Chi Bidi Bidi itu gembira apabila dapat menyumbang suara untuk album raya kali ini setelah melalui pelbagai pengalaman akibat pandemik yang melanda dunia.

Jelasnya, sebagai penyanyi yang berpengalaman dia gembira dapat berpadu dengan golongan muda bagi menghasilkan sebuah album yang akan dikenang sampai bila-bila.

“Saya gembira dapat terlibat sama dalam pembikinan album ini bersama barisan artis hebat yang lain. Kalau lagu ini diterima, ia pasti memberikan keterujaan buat saya. Harapnya peminat masih sudi mendengar dan terus menyokong kami,” katanya.


7RiiiQa mendendangkan lagu dk Sendu Aidilfitri.



Sementara itu, penyanyi baharu, Syaz Smooth mengakui, dia  gembira apabila dapat terlibat sama dalam albumyang dikendalikan oleh Sha’aban yang merupakan antara individu yang dihormati di Singapura. 

“Apabila melalui proses rakaman dengan orang yang berpengalaman sebenarnya memberikan pengalaman baharu buat saya. Bukan mudah mahu dapat peluang sebegini.

“Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar dan saya tak sabar nak menantikan maklum balas daripada pendengar pula.

Daniel Baharin & Zalelo - Kredit foto:FB Daniel Baharin


Hal yang sama diluahkan oleh Danial yang menganggap ini merupakan penghormatan buat dirinya apabila diberikan peluang terlibat sama dalam album Raya #KembaliBersama.

Jelasnya, sikap positif yang ditunjukkan oleh semua pihak semasa proses rakaman berlangsung membuatkan dia gembira dan dapat menimba ilmu baharu dalam bidang ramakan suara.

“Banyak ilmu baharu dicurahkan oleh penerbit terutamanya cara untuk mengelakkan tekanan semasa proses rakaman dan sebagainya,” kata Danial lagi.

Bagi Putri Emily pula, dia bertuah kerana dapat merakamkan lagu baharu bersama Shaz yang juga merupakan rakan seangkatan dengannya.

Melodi yang sedap dengar ditambah dengan irama yang moden membuatkan dia jatuh hati dengan lagu Syukur Raya yang juga merupakan lagu duet bersama Syaz.

“Apa yang paling menarik sudah tentu dapat merakamkan suara di studio Yama Jive, antara studio terbaik yang ada di Singapura. Ini pengalaman berharga,” katanya.

Sebagai info, album Raya  #KembaliBersama merupakan terbitan Yama Jive Production dan sudah boleh didengar di semua platform digital. KitaReporters


9
13
0
14
0
You will be interested