Seni & Sukan 12 Dec, 2025

Mimpi jadi kenyataan buat Haqiem Rusli! Terima Anugerah Emas RIM! Catat pendapatan lebih RM100,000!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Lima tahun selepas dilancarkan, “Mimpi” masih membuktikan kekuatan luar biasanya apabila lagu popular nyanyian penyanyi muda, Haqiem Rusli itu terus mencipta detik bersejarah dengan menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
 


Pengiktirafan berprestij ini diberikan berkat kejayaan komersial lagu tersebut yang mencatat pendapatan melebihi RM100,000 hasil penstriman digital merangkumi muat turun, strim audio dan video di pelbagai platform.

Majlis penganugerahan diadakan di Ibu Pejabat RIM di Solaris Mont’ Kiara, selepas jumlah pendapatan lagu 'Mimpi' telah diaudit secara teliti oleh RIM berdasarkan angka sah dari jumlah muat turun serta strim audio dan video lagu tersebut di platform digital.

Penganugerahan sijil ini jelas menunjukkan daya tarikan dan sokongan yang berterusan terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini.

“RIM sentiasa gembira untuk mengiktiraf artis dan label muzik Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan komersial yang membanggakan. 

"Pensijilan yang diberikan kepada ‘Mimpi’ membuktikan penerimaan dan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja dari kalangan rakyat Malaysia, bahkan peminat muzik di luar negara, “ ujar Rosmin Hashim selaku Pengerusi RIM.


Haqiem Rusli menerima anugerahnya daripada Rosmin Hashim.


Lagu “Mimpi”, ciptaan bersama Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal Dato’ A. Aida serta diterbitkan oleh FMC Music, dilancarkan secara digital pada 15 Disember 2020. 

Video muzik rasminya yang dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021 meraih perhatian luar biasa apabila menduduki carta trending dan menghampiri satu juta tontonan dalam hanya beberapa hari.

Haqiem Rusli menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.

“Saya berasa amat terhormat menerima pengiktirafan ini daripada RIM. 

“Mimpi” adalah lagu yang istimewa buat saya, dan saya amat bersyukur atas sokongan daripada FMC Music, pasukan saya, dan semua yang telah mendengar lagu ini,” kata Haqiem Rusli bersyukur.

Sementara itu, Pengurus PR FMC Music,  C.F.Ho menyifatkan anugerah berkenaan sebagai lambang bahawa setiap nota dan lirik karya yang lahir daripada jiwa Haqiem dan pasukannya telah berjaya menyentuh hati pendengar.

"FMC Music amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini daripada RIM. 

“Mimpi” adalah karya yang lahir daripada jiwa dan dedikasi Haqiem bersama pasukan, dan anugerah ini menjadi lambang bahawa setiap nota dan liriknya telah menyentuh hati pendengar,” ujar Ho.



Sijil Pengiktirafan Anugerah Jualan RIM adalah pengiktirafan yang dihormati dan boleh dipercayai dalam industri.

Selain Haqiem Rusli, penerima terdahulu sijil pengiktirafan ini termasuk Fazura, di mana  album pertamanya ‘Fazura’ memperoleh pensijilan Platinum/Emas pada tahun 2017; Kumpulan Mojo untuk single popular “Andaiku Bercinta Lagi” yang dianugerahkan 5X Platinum pada 2013 serta Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang pelbagai albumnya disijilkan sebagai Platinum sepanjang tahun 2000-an. - KitaReporters

13
9
0
9
0
You will be interested