Seni & Sukan 26 Nov, 2020

Video| Mamat Khalid arah Mat London! Kerana Kampong Pisang!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

MAMAT Khalid mengarahkan pengarah veteran, Dr Ahmad Ibrahim atau lebih popular dikenali sebagai Mat London, yang juga Presiden Pengarah Filem Malaysia (FDAM). "Inilah pertama kali saya menerima tawaran untuk berlakon sebab saya selalu mengarah dan tidak akan berlakon," kata Mat London. Apa cerita? : KitaReporters 


Salah satu babak lakonan 'Mat London' (tengah) dalam 'Kampong Pisang Bersiri-siri'.


Lagi cerita-cerita berkaitan Mat Khalid:

https://kitareporters.com/search?search=Mamat+Khalid


Iya, memang benar, Mat London akan membawa watak seorang penduduk tetap Kampong Pisang dalam karya terbaharu Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Mamat Khalid berjudul ‘Kampong Pisang Bersiri-siri’.



“Kampong Pisang Bersiri-Siri” bakal menemui penonton mulai 7 Disember 2020, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra.

“Inilah pertama kali saya menerima tawaran untuk berlakon sebab saya selalu mengarah dan tidak akan berlakon. Tetapi dek kerana saya dah lama mengenali Mamat Khalid sebagai rakan keluarga saya menerima tawarannya dan anggap ini sumbangan saya kepadanya,” ujar Mat London pada sidang media 'Kampong Pisang Bersiri-siri' secara dalam talian yang berlangsung selama lebih sejam pada 25 November 2020.

“Sebenarnya, kalau orang lain panggil mungkin saya tak datanglah, tetapi sebab Mamat Khalid saya rasa susah nak tolak, ” tegas Mat London yang memegang watak Pak Karim bermisai lintang yang dilihat persis gaya pereka fesyen ‘Wak Doyok’ jika pada zaman inilah.



Namun melihat pada penampilan dan gaya Pak Karim lakonan Mat London itu melalui treler yang disiarkan pasti ramai akan tersenyum dan tidak menjangka pengarah terkenal ini boleh membawa watak sebegitu.

Malah bagi Mamat Khalid pula, kesudian Mat London bersama beberapa pengarah lain membuatkan karyanya mudah ditangani dan tidak sukar menjalani penggambaran apabila ramai yang dah pun berpengalaman.

Selain Mat London, turut membintangi drama bersiri ‘Kampong Pisang Bersiri-siri’ ini terdiri dari pengarah-pengarah lama seperti Aziz. M. Osman mahu pun antara lainnya Elie Suriaty, Pekin Ibrahim, Datuk Awie, Nasir Jani dan Soffi Jikan serta ramai lagi.



“Mereka semua dah berpengalaman jadi tidak susah nak mengarah pengarah. Abang cuma petik je, lain itu mereka berkarya sendiri,” ujar Mamat Khalid ringkas.

Menurutnya lagi, ’Kampong Pisang Bersiri-siri’ dianggap sebagai satu cabaran baharu buatnya waima merupakan pertama kali mengarahkan drama bersiri. 

“Saya perlu mengekalkan kualiti dan ‘end result’ setanding filem,” tambah Mamat Khalid yang mula memperkenalkan karya ‘Kampong Pisang’ sejak 2007 cuma kali ini penonton akan disajikan dengan jalan cerita, elemen komedi, hantu dan kameo yang berbeza pada setiap episod.


(Dari kiri): Dewa Sapri, Bell Ngasri, Raja Jastina, Mamat Khalid, Kazar Sairi, Mat London dan Aziz M. Osman.


Selain Mat London dan Aziz M. Osman, antara barisan pelakon lain yang sempat hadir pada sidang media terdiri daripada Bell Ngasri, Kazar Sairi, Dewa Sapri dan tidak ketinggalan Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.

Tetap berlatarbelakangkan Kampong Pisang, drama siri 12 episod berdurasi satu jam setiap episod ini dilihat masih menghimpunkan barisan watak komedi daripada filem francisenya terdahulu.

Seperti yang semua sedia maklum, melalui lima buah filem di bawah francais tersebut meliputi ‘Hantu Kak Limah’ (RM38.6 juta, tahun 2018), ‘Zombie Kilang Biskut’ (RM1.5 juta, 2014), ‘Husin, Mon & Jin Pakai Toncit’ (RM6.4 juta, 2013), ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ (RM8 juta, 2010) dan ‘Zombi Kampong Pisang’ (RM2.4 juta, 2007). 

Kesemuanya telah meraih kutipan pecah panggung dengan jumlah keseluruhan RM56.9 juta. 


Mamat Khalid bersama Raja Jastina dalam sesi sidang media secara maya pada 25 November 2020.

Wow! Rezeki Mamat Khalid kan? Tahniah!

“Jika sebelum ini peminat 'universe' Kampong Pisang harus menunggu setiap dua tahun sekali, tetapi kini mereka dapat menonton filem setiap minggu dan kami percaya ia dapat memberi kepuasan tontonan buat pelanggan Astro, “ ujar Raja Jastina.

Tambahnya, buat julung kalinya di Malaysia, Astro membawakan francais filem ‘Kampong Pisang’ ke skrin televisyen dalam bentuk drama bersiri premium menerusi jenama “Astro Orginals’.

Jadi sekali lagi jika tak nak lepaskan peluang menonton karya terbaharu Mamat Khalid ini pastikan anda menyaksikan episod pertama ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ yang akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00 malam, 7 Disember 2020. 

Manakala, untuk minggu-mingu seterusnya,  drama premium komedi seram ini boleh ditonton pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, eksklusif di Astro Citra. - KitaReporters



5
2
0
5
0
You will be interested