Guru dan kakitangan SKPR berkerjasama membungkus barangan keperluan asas dalam beg plastik untuk mudah diagihkan kepada mangsa banjir.
WALAUPUN di luar bidang tugas, bukan penghalang kepada semangat guru Sekolah Kebangsaan Pintas Raya (SKPR) Batu Pahat, Johor, turun padang menghulurkan membantu mangsa banjir dalam program Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir pada 26 Disember 2021 lalu.
Dengan berbekal aspirasi Keluarga Malaysia dan menaiki tiga kenderaan pacuan empat roda, enam guru dan kakitangan SKPR bergerak awal pagi menuju ke Pulau Indah dan Bukit Changgan, Selangor bagi mengagihkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di dua lokasi itu.
Penyelaras program misi itu, Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Intergrasi SKPR, Azman Salip, berkata misi itu mendapat tajaan daripada semua warga pendidik serta kakitangan sekolah berkenaan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ibu bapa secara persendirian dan murid-murid.
Lagi kisah menarik berkaitan misi bantuan
Azman Salip (kanan) mendengar cerita salah seorang mangsa banjir yang menerima bantuan dalam misi itu.
Menurutnya, dalam tempoh beberapa hari selepas misi itu diviralkan melalui media sosial, SKPR dapat mengumpul pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan kering, tuala wanita, pakaian bersih, telekung, kain batik, kain pelikat, set pencuci rumah, diapers bayi dan dewasa, selimut serta ubat-ubatan.
“Kami guru dan kakitangan kemudiannya berkerjasama
membungkus barangan itu dengan memasukan dalam beg plastik bagi mudah untuk
diagihkan kepada mangsa banjir di dua lokasi berkenaan.
“Guru Besar SKPR, Yuasmadi Selamat turut memberikan kata-kata semangat serta sokongan selain mengingatkan guru dan kakitangan terbabit dalam misi ini turut mengutamakan keselamatan diri sepanjang berada di lokasi banjir,” katanya.
Guru dan kakitangan SKPR yang terbabit dalam program Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir ke Pulau Indah dan Changgan, Selangor pada 26 Disember 2021.
Azman berkata, sebaik sahaja sampai pada awal pagi di Pulau Indah mereka segera mengagihkan barangan itu kepada mangsa terbabit sebelum berangkat pada sebelah petang menuju Bukit Changgan untuk tujuan yang sama.
Menurutnya, dalam situasi tidak mengenali mangsa banjir
tanpa mengira warga negara atas dasar kemanusiaan di Pulau Indah khususnya,
misi SKPR itu mendapat kerjasama daripada penduduk di situ, Zamzuriati Jahya dan
suami beliau yang membantu menyelaraskan 60 bungkusan sumbangan supaya sampai
ke sasaran iaitu mangsa banjir.
Tambah Azman, daripada penjelasan Zamzuriati ramai mangsa banjir mengharapkan bantuan wang tunai untuk membeli barangan keperluan keluarga terutama kelengkapan tidur seperti bantal serta selimut yang sebelum ini terpaksa beralaskan baju dan kain.
Zamzuriati Jahya (tiga dari kanan) bersama-sama guru dan kakitangan SKPR untuk mengagihkan barangan kepada mangsa banjir.
Katanya, kesusahan dan penderitaan mangsa banjir itu turut
disuarakan seorang bapa kepada lima anak, Razali Mansor Din yang tidak dapat
bekerja kerana sakit apabila banyak harta benda termasuk perabot rumahnya rosak
digenangi banjir.
“Bagaimanapun Razali melahirkan rasa bersyukur apabila mendapat bantuan dalam misi ini yang sekurang-kurangnya meringankan bebanan dia sekeluarga selain berharap menerima sumbangan daripada pihak lain pula.
“Selepas misi ini kami di SKPR akan duduk berbincang untuk merangka bantuan misi kedua dengan menghulurkan bantuan yang amat diperlukan mangsa banjir terutama bagi memastikan pendidikan anak mereka tidak terjejas apabila sesi persekolahan di buka semula nanti,” katanya. - KitaReporters
Guru dan kakitangan SKPR mendengar keluhan Razali (kanan) mengenai kesusahan dia sekeluarga selepas ditimpa banjir.
Seorang guru SKPR melihat keadaan rumah seorang penduduk yang ditimpa banjir.