Datuk Dr Fazley Yaakob, 43, menerima dengan hati terbuka apabila menjadi peserta kedua tersingkir dari pertandingan Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8) pada Ahad, 12 Disember 2021 lalu.
Dr Fazley sedar diri akan kemampuannya. Sehubungan itu, dia mengambil keputusan tidak akan lagi muncul di pentas dan menyertai pertandingan kerana menyedari kemampuannya.
Namun penyingkirannya tidak mematahkan semangatnya untuk menyanyi.
Katanya, dia tetap akan menjadi penyanyi rakaman dan akan muncul dengan ‘single’ terbaharu tidak lama lagi. Tambahnya rakaman di studio dapat dibuat secara berulang bagi mengelak sumbang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Fazley Yaakob
Baginya tiada kesedihan yang perlu dirasa kerana impiannya untuk menyertai pertandingan berprestij GV itu tercapai dan dapat membuktikan kepada anak-anaknya.
Dr Fazley bersyukur dapat bertahan sehingga minggu keempat dan gembira apabila juri memberitahu bahawa persembahannya pada minggu keempat membawa lagu 'Mahligai Syahdu' (Hattan) walaupun punya kelemahan vokal tetapi merupakan persembahan terbaiknya sepanjang menyertai GV8.
Dr Fazley mengakui dia tidak mampu menyaingi peserta lain yang semakin meningkatkan mutu persembahan.Dr Fazley sekali lagi menekankan impiannya menyertai GV sudah tercapai dan dia akan memberi perhatian dalam bidang masakan dan perniagaan masakannya, Suka Sucre Bistro.
Dr Fazley berkata demikian dalam sidang media sebaik GV8 episod ke-4 berakhir. Dr Fazley yang menjuarai Master Chef Celebrity Malaysia pada tahun 2012, merancang untuk mengadakan persembahan di SukaSucre Bistro bagi memperlihatkan kebolehannya menyanyi sambil memasak bagi menjawab kritikan peminat.
Dia juga seorang pakar motivasi. Dr Fazley adalah peserta yang membaca setiap komen netizen sebelum dan selepas pertandingan.
Sementara itu ketua juri, Datuk Ramli M.S memuji kecekalan Dr Fazly berani menyertai pertandingan itu bersaing dengan peserta-peserta yang hebat vokalnya.
Ketiadaan Dr Fazley dalam GV8 dikatakan dirasai peserta-peserta yang masih 'berjuang' kerana dia sering memberi motivasi kepada rakan-rakannya. - KitaReporters