Seni & Sukan 23 Sep, 2020

Piala Emas Raja-Raja tunda! Kongres bola sepak Melayu kekal!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

PENANGAN Covid-19 benar-benar menggendalakan banyak pertandingan bola sepak besar tempatan musim 2020 sehingga Piala Emas Raja-Raja - agenda utama tahunan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) - terpaksa ditunda ke 2021. Bagaimanapun kongres tahunan PBMM dijamin akan diteruskan mengikut perancangan asal iaitu pada November 2020 ini! : KItaReporters

PIALA Agong (kiri) dan Piala Emas Raja-raja. 


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak 


Kata Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed, “tidak mengapalah dek Covid, kami tunda dulu Piala Emas Raja-Raja, namun Kongres PBMM masih perlu diteruskan, cuma agak berbeza tahun ini sesuai dengan norma atau kelaziman baharu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 “Jika tahun-tahun terdahulu Kongres perlu dihadiri para perwakilan ahli gabungan PBMM secara bersemuka, kali ini kami buat secara dalam talian sahaja

"Lebih selamat, sihat dan jimat,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

MOHD. FIRDAUS MOHAMED. - Kredit foto PBMM.


Pada 9 September 2020 lalu, PBMM mengumumkan terpaksa menunda kejohanan antara yang tertua di Malaysia dan diasaskan pada 1922 itu serta bakal memasuki edisi ke-80. 

Sedangkan dua lagi pertandingan besar kelolaan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) iaitu Piala FA dan Piala Pencabar sudah pun dibatalkan dek Covid-19 selain Piala Presiden, Piala Belia dan Liga M3. 

Arena antarabangsa turut terjejas khususnya yang melibatkan penyertaan Malaysia iaitu Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Kejohanan Bawah 19 Tahun AFC di Uzbekistan serta Piala AFF yang dijadualkan pada Oktober dan November 2020 ini.   


“Kami mengambil keputusan nekad untuk menunda PERR 2020 ke tahun 2021 setelah mendapat nasihat FAM memandangkan penularan Covid-19 masih berleluasa di negara.

 “Jawatankuasa Eksekutif PBMM secara prinsipnya menghormati pandangan FAM demi keselamatan dan kesihatan pemain-pemain, pegawai pasukan dan mereka yang terlibat dalam penganjurannya. 

“Jika diizinkan Allah, PERR akan kembali pada 2021,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam pula berkata, usaha dan kesanggupan PBMM menganjurkannya wajar dipuji dan disokong, namun sebaik-baiknya dicadangkan ditunda ke satu tarikh yang difikirkan lebih wajar dan sesuai pada tahun hadapan (2021).

JEREMY  Lim Wei Shen (kiri) dianugerahkan Pemain Terbaik Final PERR 2019, manakala Nabilah Khan Razali memenangi Kasut Emas.


PERR hanya muda setahun dari Piala Malaya yang diperkenalkan pada 1921 sebelum digantikan dengan Piala Malaysia mulai 1967. 

Jika Piala Presiden dan Belia anjuran FAM hanya disertai para pemain bawah 21 dan 19 tahun, penyertaan pemain-pemain pada PERR tahun ini turut mahu dihadkan PBMM kepada hanya bawah 25 berbanding 35 tahun dalam musim 2019.

Juga sebagai gelanggang pembangunan bakat baharu, PERR pada 2017 dan 2019, telah membuka pintu penyertaan kepada dua lagi ahli gabungan FAM yang setaraf negeri-negeri, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) dan Majlis Sukan India Malaysia (MISC).

MISC juga mengorak langkah kanan dan bersejarah dalam penampilan sulungnya apabila menjulang PERR 2019 selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

MISC muncul pasukan jemputan pertama dan bukan ahli gabungan PBMM yang bergelar juara PERR sejak Singapura menewaskan Pulau Pinang 4-2 untuk menjulangnya pada 1983. - KitaReporters

AKSI hebat final Piala Emas Raja-raja 2019 antara MISC (biru) dan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Kredit foto PBMM.


PAHANG pemenang Piala Agong 2019 selepas menewaskan Terengganu 4-0 di Pekan.


TRIVIA PIALA EMAS RAJA-RAJA :

1. Mulanya dikenali sebagai Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Sultan-Sultan yang diasaskan pada 1922 bersempena lawatan Raja Muda England (Putera Wales) ke timur termasuk Tanah Melayu dan Singapura.

2. Sepuluh pasukan Melayu negeri mengambil bahagian iaitu Singapura, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Kedah muncul juara sulung dengan mengalahkan Johor lalu dihadiahkan sebuah piala perak.

3. Persatuan Pertanian dan Hortikultur Malaya (MAHA) mengambil alih penganjurannya pada 1926, 1927, 1928, 1930, 1935 dan 1938 sebelum diserahkan kepada Persekutuan Sepakbola Melayu Semenanjung (PSMS, nama lama PBMM).

4. Selangor berjaya memenangi piala tersebut tiga kali berturut-turut dari 1923 hingga 1925 dan menurut peraturan pertandingan, berhak menyimpannya terus dan tidak akan dipertandingkan lagi.

5. Antara tokoh yang pernah bergelar Yang Dipertua atau Presiden PSMS/PBMM ialah Dr. Abbas Alias, Tunku Abdul Rahman Putra, Tan Sri Abdul Jamil Rais, Datuk Senu Abdul Rahman, Tan Sri Abdul Samad Idris dan Tan Sri Hamzah Abu Samah.

6. Kelantan merupakan pemenang terbanyak Piala Emas Raja-Raja dengan 13 kali.

7. Majlis Sukan India Malaysia (MISC) muncul pasukan jemputan pertama dan bukan ahli gabungan PBMM, menjuarai Piala Emas Raja-raja pada 2019 sejak Singapura menewaskan Pulau Pinang 4-2 dalam perlawanan akhir 1983.

8. Setiap kali edisi Piala Emas Raja-Raja, sebuah perlawanan pembuka tirai merebut Piala Agong akan diadakan antara kedua-dua penyandangnya dalam musim terdahulu - mirip Piala Sumbangsih Liga Malaysia FAM. Juara Piala Agong 2019 ialah Pahang.

MISC meraikan kejayaan merangkul Piala Emas Raja-Raja - penampilan sulungnya pada 2019. - Kredit foto: PBMM.

0
0
0
0
0
You will be interested