Seni & Sukan 24 May, 2021

Video| Girl band Nona 'baby' baharu Stacy, Akim! Raja, Lela, Rika mahu ketengahkan genre M-Pop!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


PASANGAN suami isteri, Akim Ahmad dan Stacy bukan sekadar menyanyi, mereka juga mencipta lagu dan aktif sebagai penulis lirik. Bukan tamak tapi sekadar mengembangkan bakat yang ada

Sekarang ini, Akim dan Stacy yang menimba pengalaman nyanyi menerusi program Akademi Fantasia musim ketujuh dan keenam itu melangkah setapak lagi.

Kini, menerusi syarikat rakaman milik mereka, Rhythm & Rhyme Entertainment, pasangan penyanyi itu ‘melahirkan’ kumpulan Nona yang terdiri daripada tiga wanita.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Stacy 

Kumpulan Nona diwujudkan atas usaha Stacy dan Akim Ahmad.


Dianggotai Raja Nuraizureen Raja Azahari, 25 (Nona Raja), Low Kar Yee Angela, 26 (Nona Lela) dan Erika Rianty Anthony, 21 (Nona Rika)

Menurut Stacy, untuk merealisasikan Nona, ia mengambil masa panjang sebelum mereka disatukan dengan kemunculan single sulung, Kasuari selain video muzik yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Mei 2021 dalam saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment.

“Perancangan nak mewujudkan Nona bermula sejak 2019, tapi agak terbatas sebab sibuk dengan kerja sendiri. Apabila sudah ada pengetahuan dan berdasarkan pengalaman, saya dan Akim memikirkan sudah sampai waktu untuk berkarya kepada orang lain pula.

“Pada awalnya, Nona ada ramai dan banyak kali bertukar. Ketika itu kami masih mencari kekuatan dan karakter yang perlu dibawa Nona. Jadi apabila sudah dapat top 3, baru kami mulalan latihan iaitu sejak Oktober tahun lalu (2020).

“Sejak itu, saya banyak masa dengan mereka. Saya dan Akim ajar benda penting dalam muzik, apa patut buat dan ambil tahu apabila nak menyanyi,” cerita Stacy.


Stacy menurunkan pengalamannya kepada anggota Nona.


Bercerita lanjut, Stacy memberitahu, Raja dan Lela adalah penari profesional dan sudah biasa mengiringi persembahan penyanyi lain. Sementara Rika pula adalah bekas protegenya dalam Mentor Milenia.

“Nak menyatukan Raja dan Lela, dua penari dengan Rika seorang penyanyi adalah satu cabaran. Tapi yang menariknya, disebabkan keinginan dan cara bekerja mereka, ketiganya dapat terima semua ini dalam tempoh yang singkat. Sejujurnya, saya teruja apabila melihat peningkatan dalam diri mereka,” katanya.

Menurut Stacy, Nona bukan sahaja penyanyi tapi juga penghibur yang muncul dengan identiti tersendiri.


Rika adalah bekas protege Stacy dalam program Mentor Milenia.


“Perjalanan nak satukan mereka agak susah. Masing-masing tidak berkenalan melainkan Lela dan Raja. Pernah satu tahap mereka bergaduh ketika proses rakaman video muzik.

“Lama kelamaan, apabila mereka tidur di studio selama dua minggu, baharulah nampak keserasian antara satu sama lain. Baru mereka dapat belajar dan terima pelajaran dengan senang. Jadi keserasian penting untuk menghasilkan perkara yang bagus dan berkualiti,” jelasnya.


Raja adalah penari profesional dan pernah mengiringi ramai penyanyi sebelum ini.


Berkongsi mengenai single pengenalan Nona berjudul Kasuari berserta video muzik, Stacy berkata genre diketengahkan adalah pop.

“Lagu dan video muzik siap sejak Mac (2021), tapi disebabkan sudah hampir dengan bulan Ramadan jadi kami ambil keputusan tangguhkan dulu. Sekarang, ini adalah waktu sesuai untuk lancar single Nona.

“Genre pop dipilih berdasarkan perbincangan dan keputusan semua. Mereka juga selesa dengan genre ini dan mahu mengetengahkan M-Pop,” katanya.

Ditanya adakah kemunculan Nona bakal memberi saingan baharu kepada kumpulan Dolla yang kian mencipta nama, Stacy berkata ia adalah perkara biasa dalam bidang muzik selain mahu menyajikan sesuatu yang baharu kepada peminat.


Lela adalah seorang pramugari dan menganggap tawaran daripada Stacy satu rezeki.


“Inilah kerja kami sebagai anak seni. Di mana bukan setakat nyanyi, apabila ada permintaan apa boleh dibuat mungkin pada generasi baharu, dalam tak sedar memberi warna dan saingan sihat pada industri untuk terus ikut perjalanan muzik yang ada.

Sejak kebelakangan ini pun peminat semakin suka dengan ‘girl band’. Dulu saya pernah terbabit dalam grup Evoke, jadi ada pengalaman sikit. Apabila Dolla dan Defam muncul, ia sedikit sebanyak memberi semangat untuk orang lain juga. Bagi yang suka dengarkan K-Pop, boleh jadikan M-Pop pula sebagai muzik pilihan selepas ini.

“Orang Malaysia ramai berseni. Cuma kena diberi peluang mencuba dan belajar. Nak cari yang mahu terbabit dalam bidang ini ramai, tapi nak yang cari pandai dengar dan ikut kata, susah. Jadi Nona akan sama-sama memberikan saingat sihat,” katanya.



Bagi Nona Raja, menjadi anggota satu kumpulan memberikan peluang buat dirinya saling mengenali ahli lain.

“Saya memang penari. Dari kecil sampai besar tak terfikir nak menjadi penyanyi. Apabila diberi peluang saya cuba fokus dengan bidang baharu ini. Apabila membuat latihan setiap hari sejak Oktober tahun lalu (2020), kami dapat mengenali antara satu sama lain.

“Dari situ tahu perangai dan kemampuan masing-masing. Kami saling membantu mana kelemahan dan kelebihan. Diakui ada turun dan naik, tapi ia buat kami bersatu menjadi satu pasukan,” katanya.


Nona harap single Kasuari dapat mengetengahkan nama mereka dalam bidang seni tanah air.


Nona Lela pula menyifatkan pembabitan dalam Nona adalah rezeki terpijak buat dirinya.

“Saya pramugari tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang terkesan sebab tidak ada gaji. Kiranya, Nona adalah rezeki PKP apabila Kak Stacy menawarkan untuk terbabit dalam Nona. Saya anggap ada harapan baharu.

“Lagi pula, saya memang minat menari dan menyanyi. Saya ambil peluang ini untuk buka buku baru. Walaupun tidak ada pengalaman luas, saya ambil sebagai rezeki dan terima cabaran ini,” akuinya.

Sementara itu, Nona Rika pula berharap kemunculan Nona dalam industri muzik tempatan dapat diterima baik.

“Saya percaya, setiap daripada kami ada kelebihan masing-masing. Disebabkan itu, pihak pengurusan berjaya menyatukan kami menjadi sebuah kumpulan.

“Malah, menerusi single pertama ini, kami berharap peminat dapat memberi sokongan dan terima muzik yang dibawa. Sebagai orang baharu, tentu saja kami perlukan sokongan. Namun, kami juga bersedia untuk sebarang kritikan yang membina,” katanya.


Nona menganggap mereka masih baharu dan mengharap sokongan ramai.


Diminta mengulas kemunculan mereka bakal memberi saingan kepada Dolla, Rika mewakili anggota kumpulan berkata mereka cuba memberi yang terbaik.

“Bagi kami tidak timbul soal nak bersaing. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Mereka (Dolla) sudah ada peminat tersendiri, sementara kami masih baharu lagi. Apa yang diharapkan adalah sokongan daripada semua pihak.

“Malah menerusi single pertama ini, ia adalah peluang untuk kami menonjolkan bakat yang ada selain ingin memberi yang terbaik. Kami juga percaya peminat muzik mempunyai cita rasa berbeza,” katanya. - KitaReporters


2
0
0
0
0
You will be interested