SELEPAS kejayaan membuka dan meningkatkan keupayaan produk-produk Muslim melalui Malakat Mall di Cyberjaya, kini pihak pengurusannya melakar satu lagi sejarah dengan membuka cawangan di Melaka. Pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah, Melaka itu dimulakan dengan proses temu duga terbuka yang dijalankan sepanjang hari Sabtu, 9 Januari 2021. : KitaReporters
Lagi laporan-laporan menarik berkaitan Malakat Mall:
https://kitareporters.com/search?search=malakat+mall
Seawal jam 7.45 pagi sudah ada masyarakat setempat yang menunggu untuk masuk bagi mendapatkan borang kerja kosong di Malakat Mall berkenaan.
Secara keseluruhannya, Malakat Mall Masjid Tanah yang dijadualkan pembukaannya bermula Mac 2021 depan akan menyediakan 100 buah peluang pekerjaan dari pelbagai sektor untuk mereka yang berkelayakan.
Menurut Pengurus Malakat Mall Masjid Tanah, Muhammad Abdul Mutalib, antara bidang yang perlu diisi segera adalah seperti grocer, lifestyle, serta makanan dan minuman.
Muhammad juga terperanjat dengan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat ketika sesi temu duga terbuka dijalankan secara besar-besaran di tapak kompleks berkenaan.
Walaupun proses temu duga bermula pada jam 9.00 pagi, namun orang ramai dilihat telah beratur sejak lebih 1 jam awal sebelum pintu masuk di buka.
Sesi temu duga terbuka itu dijalankan oleh pihak pengurusan Malakat Mall sepanjang dua hari bermula Sabtu, 9 Januari 2021 sehingga hari Ahad, 10 Januari 2021.
Ia melibatkan vendor-vendor yang mengambil bahagian dalam perniagaan bersama Malakat Mall ini, khususnya di negeri Melaka.
Malakat Mall merupakan sebuah pusat beli-belah yang mengumpulkan 100 peratus usahawan Muslim untuk berniaga di bawah satu bumbung, sekali gus memberi peluang kepada pengguna Muslim untuk menyatukan kuasa pembelian mereka secara berpusat.
Untuk permulaan, Malakat Mall dibuka di Cyberjaya pada 13 Mac 2020 lalu dan dalam proses untuk membuka beberapa cawangan lain di dalam dan luar negara.
Ini termasuklah cadangan membuka sebanyak 1,000 Malakat Mall cawangan di Indonesia selepas ahli-ahli ulama negara berkenaan menunjukkan minat untuk mengembangkan ekonomi masyarakat Islam di sana.
“Memang kita ada fokus untuk meluaskan Malakat Mall di Indonesia kerana Indonesia merupakan populasi Islam terbesar dunia dan saya meletakkan sasaran 1,000 pusat belah belah itu di negara berkenaan.
“Oleh sebab itu, Malakat Mall yang pertama di Cyberjaya penting kerana ia akan menjadi contoh kepada yang lain. Kita akan melihat prosesnya pembentangannya nanti dan saya berharap ia positif untuk membangunkan ekonomi Islam,” kata Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.
“Sebab itu kalau di Malaysia kita sasar 100 Malakat Mall, maka di Indonesia sasarannya 1,000 Malakat Mall sebab di negara itu, kesannya akan memberi satu kekuatan kebangkitan seluruh umat Islam yang jumlahnya hampir 2 billion,” katanya lagi. - KitaReporters