Seni & Sukan 13 Jun, 2020

Pasar tani, pasar malam di Selangor beroperasi mulai 15 Jun!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) yang mengambil masa hampir tiga bulan sejak 18 Mac hingga 9 Jun 2020 kerana wabak pandemik COVID-19 merupakan era gerhana bagi golongan peniaga khususnya yang berskala kecil merangkumi peniaga pasar pagi, pasar malam, bazaria dan peniaga jalanan (tepi jalan) tanpa premis. : KitaReporters

Pasar pagi merupakan antara platform untuk para peniaga kecil mencari punca pendapatan yang akan dibuka semula operasinya di Selangor pada Isnin 15 Jun 2020 dengan konsep norma baharu yang mensyaratkan SOP tertentu oleh KKM dan MKN. - Kredit foto: tv Selangor.


Bagi tempoh itu, sebilangan besar peniaga berkenaan terjejas teruk dan gagal menjana pendapatan. Kesannya menyebabkan ada dalam kalangan peniaga kecil terpaksa golong tikar.

Malahan keadaan getir ini membuatkan mereka sukar mendapat kelulusan pinjaman bank dan akhirnya menjadi peniaga tanpa arah lebih-lebih lagi jika tidak membuat simpanan sedikit demi sedikit secara konsisten semasa aktiviti perniagaan masih berjalan.

Fenomena ini menjadikan ada dalam kalangan mereka putus punca pendapatan hingga terpaksa memohon bantuan daripada pihak berwajib sama ada  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) terutama barangan keperluan harian. 

Pasar Tani selain menjual produk hasil tani dan ternakan juga makanan tradisonal serta moden di samping pelbagai barangan keperluan harian yang menjadi tumpuan masyarakat setempat akan beroperasi semula setelah direhatkan hampir tiga bulan kerana PKP. - Kredit foto: Google


Bagaimanapun melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin pada Ahad, 7 Jun 2020 lalu memberi kelonggaran membenarkan golongan peniaga menjalankan aktiviti jual beli.

Secara tidak langsung memberi sinar kelegaan para peniaga yang menjalankan kegiatan berniaga di pasar pagi, pasar malam, bazaria dan di tepi-tepi jalan, sekalipun terpaksa mempraktikan amalan norma baharu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri itu, Kerajaan Selangor telah mengambil inisiatif ke arah memberi kelegaan dan peluang mereka mencari pendapatan melalui pembukaan semula  aktiviti perniagaan berkenaan.

Sehubungan itu, kegiatan perniagaan di pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Selangor akan kembali beroperasi semasa tempoh PKPP iaitu dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Poster mengenai kebenaran pasar pagi,pasar terbuka,pasar malam dan bazaria yang beroperasi semula di Selangor secara berperingkat-peringkat mulai Isnin 15 Jun 2020. - Kredit foto: Face Book Menteri Besar Selangor.


Di Selangor, semua jenis perniagaan di pasar-pasar berkenaan bakal dibuka secara berperingkat-peringkat di lokasi terpilih bermula pada Isnin 15 Jun 2020 dengan disyaratkan mematuhi SOP disediakan, manakala waktu operasi juga turut ditetapkan semasa tempoh PKPP.

Bagi perniagaan pasar pagi, pasar terbuka dan pasar tani waktu operasinya antara jam 6.00 hingga 11.00 pagi.

Pasar malam antara jam 4.00 petang hingga 10.00 malam, manakala bazaria daripada jam 5.00 petang hingga 12.00 malam.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Exco Kerajaan Selangor bagi Portfolio Kerajaan Tempatan,Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kinrara, Ng Sze Han pada Jumaat, 12 Jun 2020.

Dengan beroperasi semula pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar terbuka dan bazaria di Selangor mulai Isnin 15 Jun 2020, para peniaga rasa lega kerana semasa PKP hampir tiga bulan ada antara mereka terputus punca pendapatan (kiri). Gambar kanan Exco Kerajaan Selangor Ng Sze Han.


Disebabkan operasi struktur kategori perniagaan jenis ini berbeza-beza di setiap lokasi pasar berkenaan, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju supaya kaedah pengurusan dan kawalan pembukaannya ditentukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut kesesuaian dan keupayaan di kawasan masing-masing dengan menjadikan SOP MKN sebagai rujukan yang merangkumi beberapa perkara.

Antaranya yang perlu diberikan perhatian berat termasuklah peniaga dilarang menggunakan khidmat warga negara asing dalam aktiviti perniagaan, jumlah peniaga termasuk pembantu terhad kepada 3 orang sahaja, hanya 2 orang bagi satu-satu keluarga dibenarkan masuk ke kawasan pasar dan pengunjung mestilah berumur 13 tahun ke atas.

Selain itu, pengunjung tidak tertakluk kepada tempoh maksimum, namun digalakkan tidak terlalu lama dan segera beredar setelah selesai urusan pembelian.

Laluan  keluar masuk pengunjung akan disusun mengikut kedudukan tapak lokasi dan terhad kepada satu laluan keluar masuk sahaja.

Sayugia diingatkan bagi tujuan ini semua pihak hendaklah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan  dengan mengamalkan pemakaian pelitup mulut dan hidung serta mematuhi penjarakan sosial dan menjaga kebersihan seperti disarankan oleh KKM.

Penggunaan Sistem SELangkah juga akan dilaksanakan di setiap lokasi pasar-pasar tersebut dalam usaha membantu pihak berwajib untuk mengesan punca kontak (contact tracing).

PBT di Negeri Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan menutup operasi perniagaan atau tindakan-tindakan lain penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang jika didapati terdapat pelanggaran SOP oleh mana-mana pihak. - KitaReporters

Pasar malam di Selangor yang menjadi tempat tumpuan orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah akan beroperasi semula semasa PKPP ini bermula Isnin, 15 Jun 2020. Kredit foto: Google

0
0
0
0
0
You will be interested