Seni & Sukan 04 Dec, 2021

Fusser, Junaidy, Nurul Ain, Nur Akmal terbaik! Pengadil & Penolong 2021! Si Baju Hitam dihargai!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

MOHD. Fusser Mad Sallih (kanan) diumumkan Pengadil Bola Sepak Terbaik Kebangsaan 2021. - Kredit foto: FAM


MOHD. Fusser Mad Sallih dan Mohd. Junaidy Abd Samad muncul Pengadil Bola Sepak Terbaik Kebangsaan dan Penolong Pengadil Bola Sepak Terbaik Kebangsaan 2021 dalam Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Majlis di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada 3 Disember 2021 itu turut menyaksikan Nurul Ain Izatty Zainal dan Nur Akmal Anuar pula bergelar Pengadil Bola Sepak Wanita Terbaik dan Penolong Pengadil Bola Sepak Wanita Terbaik 2021.

Siaran media FAM menyebut, Suhaimi Mat Hassan juga menerima penghargaan atas sumbangannya selaku pengadil pusingan akhir Piala Dunia Bola Sepak Pantai di Moscow, Rusia pada Ogos 2021. 

Anak jati Terengganu ini turut menerima sijil penghargaan bersara bersama-sama tiga pengadil iaitu Ku Alaudin Ku Muhammad, Ismadi Ibrahim, Busrah Eri dan Azman Ismail.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengadil


“Majlis penghargaan ini bertujuan menghargai tanggungjawab barisan pengadil Liga Malaysia terhadap arena bola sepak negara.

“Majlis ini turut dihadiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil persatuan, Datuk S. Sivasundaram.

“Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar; Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam; Pengarah Kronos Malaysia, Tiew Cheng Tai; dan Pengurus Besarnya, Vincent Lai Wai On,” lapor siaran itu.


NURUL Ain Izatty Zainal menerima anugerah Pengadil Bola Sepak Wanita Terbaik Kebangsaan 2021. - Kredit foto: FAM 


SUHAIMI Mat Hassan (kanan) menerima sijil penghargaan kerana mengadili pusingan akhir Piala Dunia Bola Sepak Pantai di Moscow. - Kredit foto: FAM


Hamidin berkata, majlis itu diadakan bagi menghargai sumbangan dan tenaga pengadil ekoran berakhirnya Liga Super dan Perdana 2021 pada September 2021. 

"Bukan senang hendak jadi pengadil memandangkan prestasi mereka sentiasa menjadi tumpuan sepanjang musim Liga Malaysia.

"Alhamdulillah, secara keseluruhan, prestasi pengadil dan penolong pengadil dalam Liga Super dan Perdana 2021 berada pada tahap memuaskan meskipun penilaian ini bukan bermakna mereka sudah boleh berasa selesa.

"Bagi musim 2022, FAM bercadang mewujudkan lebih banyak aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil pada pelbagai peringkat menerusi anjuran kursus termasuk seminar tahunan yang merangkumi ujian kecergasan," katanya.  

TETAMU kenamaan dan model pakaian pengadil berjenama Kronos menayangkan isyarat bagus selepas perjanjian lanjutan penajaan. - Kredit foto: FAM


Penganugerahan berkenaan katanya, mampu menyuntik semangat barisan pengadil untuk menjejakkan kaki ke pentas pertandingan paling tinggi dunia sekali gus mengharumkan nama negara.

Sementara itu, pengeluar pakaian sukan, Kronos Malaysia dan FAM turut mengumumkan lanjutan jalinan kerjasama dengan menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan pengadil Liga M bagi musim 2022 hingga 2024

Kata Vincent, kerjasama terus dengan FAM telah membuka peluang yang lebih besar untuk memperkasa jenama Kronos dalam pasaran tempatan. 

"FAM yang menguruskan dan mentadbir arena bola sepak negara dan kepengadilan, telah membantu Kronos untuk melebarkan jenama Kronos dalam kalangan penyokong bola sepak negara. 

"Saya berharap kerjasama ini akan terus memeriahkan sekali gus menaikkan martabat kepengadilan bola sepak di Malaysia," kata Vincent. - KitaReporters


PAKAIAN baharu pengadil tajaan Kronos diperagakan pada majlis penghargaan FAM di Shah Alam. - Kredit foto: FAM 

 

10
11
0
16
0
You will be interested