Poster Southern Volunteers mempelawa golongan belia untuk mendaftar dan menyertai aktiviti kesukarelaan. - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.
Sukarelawan Southern Volunteers daerah Muar mendukung salah seorang penerima vaksin berstatus orang kurang upaya (OKU). - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.
KETIKA ramai dalam kalangan kita mengehadkan pergerakan sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana bimbang dengan perkembangan terkini penularan Covid-19, terdapat golongan yang mengetepikan kepentingan diri dan sanggup berdepan risiko untuk menjadi sukarelawan dalam usaha membantu pihak berkuasa memerangi pendemik Covid-19 yang sedang melanda negara ini.
Mereka terdiri daripada lebih 350 belia di negeri Johor yang mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Southern Volunteers yang kini sedang bergerak menjelajah setiap pelosok negeri ini bagi membantu mendaftarkan mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 sejak lebih dua minggu lalu.
Usaha mereka bukan sahaja patut dicontohi, malah wajar diberi penghargaan kerana sanggup mengambil risiko dijangkiti Covid-19 ketika berdepan dengan orang ramai khusunya mereka yang tergolong dalam kelompok berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) untuk didaftarkan sebagai pemohon vaksin Covid-19.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Southern Volunteers
Sukarelawan Southern Volunteers Segamat mendaftarkan dua orang warga emas untuk mendapatkan vaksin Covid-19. - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.
Mereka dibahagikan kepada 14 kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri seramai 25 sukarelawan bagi setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dibantu serta diselaraskan oleh pejabat daerah dan PBT terbabit.
Sukarelawan ini akan menjelajah ke seluruh pelosok negeri untuk mendaftarkan mereka yang masih belum membuat pendaftaran vaksin Covid-19 sejak 19 Jun sehingga 24 Julai 2021.
Sepanjang tempoh 19 Jun hingga 3 Julai 2021 lalu, Southern Volunteers telah berjaya mendaftarkan sejumlah 202,866 permohonan vaksinasi Covid-19 di negeri Johor ini.
Tidak mengira tempat, sukarelawan Southern Volunteers tetap bersemangat menjalankan tanggungjawab walaupun di kaki lima. - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.
Salah seorang sukarelawan membantu warga emas ketika program pendaftaran vaksin di daerah Muar. - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.
Sementara itu, Setiausaha Southern Volunteers Daerah Segamat, Mohamad Khairul Najib Mustaffa berkata, bagi daerah Segamat pula seramai 25,500 orang telah berjaya didaftarkan permohonan mereka sepanjang tempoh bermula 19 Jun hingga 5 Julai 2021 dengan purata pendaftaran sekitar 1,500 orang sehari.
“Kami menyasarkan lebih 50,000 orang yang belum mendaftar akan dapat didaftarkan melalui usaha yang kami jalankan ini menjelang tarikh akhir kempen pada 24 Julai (2021) nanti dan berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi negara.
“Kami mendapati kebanyakan mereka yang belum berdaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 ini terdiri daripada warga emas yang uzur serta OKU selain mereka yang tidak mempunyai kemudahan MySejahtera,” katanya ketika dihubungi di Segamat.
Menurutnya, sukarelawan Southern Volunteers tidak bersendirian dalam usaha membantu mendaftarkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin Covid-19 ini, sebaliknya turut dibantu oleh Pejabat Daerah Segamat serta Majlis Perbandaran Segamat serta Majlis Daerah Labis yang turut berkerja keras memastikan tiada golongan yang tercicir.
Membantu menolak kerusi roda warga emas yang tidak mampu berjalan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menjadi satu kebiasaan bagi sukarelawan Southern Volunteers. - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.
Katanya, selain menempatkan sukarelawan di premis yang ditetapkan seperti dewan orang ramai dan balai raya mengikut jadual yang ditetapkan, sukarelawan Southern Volunteers akan bergerak dari rumah ke rumah yang dikenal pasti dengan bantuan pemimpin setempat bagi mendaftarkan mereka yang tidak mampu ke pusat yang disediakan.
“Sebenarnya peranan Sukarelawan Southern Volunteers tidak terhad kepada usaha membantu pendaftaran vaksinasi Covid -19 sahaja, sebaliknya mereka akan turut ditempatkan di beberapa pusat pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di daerah Segamat serta turut terlibat dengan program pengagihan bakul makanan selain membantu dalam sebarang kejadian bencana.
Sukarelawan Southern Voluntreers komited mengalas tanggungjawab yang diberikan walaupun terpaksa berpanas untuk mendaftarkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin Covid-19. - Facebook Southern Volunteers.
“Jumlah sukarelawan yang akan ditugaskan di PPV hanya sekitar lima atau enam orang bagi satu PPV dalam satu- satu masa bagi memastikan bilangan mereka untuk menjalankan tugasan mendaftar permohonan vaksinasi Covid-19 mencukupi,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sambutan belia di daerah ini untuk mendaftar sebagai sukarelawan Southern Volunteers begitu manggalakkan di mana lebih 300 permohonan diterima, namun penyertaan hanya dihadkan kepada 25 orang sukarelawan sahaja bagi setiap PBT. - KitaReporters
Sebahagian sukarelawan Southern Volunteers daerah Segamat bergambar kenangan di Dewan Jubli Intan Segamat yang dijadikan sebagai salah satu pusat pendaftaran vaksinasi Covid-19. - Kredit foto: Facebook Southern Volunteers.