Seni & Sukan 03 May, 2020

3 Mei Hari Kebebasan Akhbar Sedunia! Apa khabar media kita?

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Setiap tahun tanggal 3 Mei akan diraikan oleh semua pengamal media cetak atau elektronik sebagai tarikh keramat bagi memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Tidak juga dilupakan Hari Wartawan Nasional (Hawana) pula dirai pada 29 Mei (sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939). : KitaReporters 

Kredit foto: Astro Awani.


Golongan profesional media, pertubuhan kebebasan akhbar dan para wartawan dari seluruh dunia selayaknya dirai dan dinobatkan sebagai pejuang-pejuang negara kerana sumbangan besar mereka dalam menyampaikan maklumat yang benar dan sahih kepada khalayak ramai.

Sewajarnya mereka perlu mendapatkan hak kebebasan bersuara,mengakses maklumat yang betul serta tepat, melaporkan berita (kebenaran) dan perlindungan keselamatan dari kerajaan demi menjaga kepentingan awam, rakyat dan negara.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) secara rasmi telah mengiktiraf sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia bermula sejak 3 Mei 1993.

Ia lanjutan daripada inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) meluluskan Deklarasi Windhoek dalam satu seminar yang dihadiri oleh wartawan-wartawan akhbar dari Afrika di Windhoek, Namibia pada tahun 1991

Slogan “hak kebebasan bersuara” adalah seiring dengan Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay berucap pada acara pembukaan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2019 di Addis Ababa, Ethopia pada 1 - 3 Mei 2019.


Objektif utama sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ialah:

  • Meraikan prinsip-prinsip asas kebebasan akhbar;
  • Menilai keadaan kebebasan akhbar di seluruh dunia;
  • Mempertahankan media daripada serangan terhadap kebebasan mereka;
  • Memberi penghormatan kepada wartawan-wartawan yang kehilangan nyawa semasa bertugas.

Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Sans Frontières, RSF), sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa yang berpusat di Paris, Perancis memperjuangkan “hak kebebasan akhbar”.


Petikan kata :

”hanya 9% daripada penduduk dunia ketika ini hidup di negara-negara dengan mengamalkan kebebasan akhbar yang memuaskan, di mana wartawan dapat melakukan tugasan professional mereka secara bebas dan independen”. - RSF 2019

Dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2020, Norway (1) menduduki tempat pertama selama empat tahun berturut-turut; dan diikuti Finland (2), Denmark (3),Sweden (4) dan Belanda (5), menguasai lima tangga teratas daripada 180 buah negara dalam senarai kebebasan akhbar mengikut negara.

Sementara Malaysia melonjak naik tangga ke-101 berbanding 123 (2019), Namibia(23), United Kingdom (35) Amerika Syarikat (45), Israel (88),United Arab Emirates (131), Thailand (140), dan lima negara tercorot masing-masing berada kedudukan ke-176 (Djibouti), China (177), Eritrea(178) Turkmenistan(179) dan terakhir Korea Utara (180).

Indikator global RSF 2020 - Sumber: https://rsf.org/en/2020-world-press-freedom-index-entering-decisive-decade-journalism


Indikator global RSF 2020 menujukkan peratusan peningkatan tahap kebebasan media di seluruh dunia amat sedikit dalam sekitar 0.9%

Walau bagaimanapun, ia telah merosot sebanyak 12%  sejak tahun 2013 disebabkan pelbagai faktor. 

Jika dilihat infocarta di atas, bahagian yang berwarna merah pada peta kebebasan akhbar, yang bermaksud negara mengamalkan konsep kebebasan akhbar adalah "baik," iaitu sebanyak 8%

Manakala,peratusan negara berwarna kuning bermaksud keadaan adalah "sangat buruk," telah meningkat sebanyak dua mata kepada 13%.

Seterusnya 18 peratus dikatakan memuaskan; diikuti 35 peratus mengalami situasi kesukaran dan 26 peratus kawasan yang bermasalah.

Pada tahun 2019, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia mengangkat tema Journalism and Elections in Times of Disinformation, yang berlangsung dari 1 Mei hingga 3 Mei 2019 di Addis Ababa, Ethiopia

Seramai 2 ribu peserta dari serata pelosok dunia hadir di majlis anjuran UNESCO. 

Sebahagian daripada peserta-peserta dari seluruh dunia yang menghadiri Persidangan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2019 di Addis Ababa, Ethiopia. - Kredit Foto: Tagar/Tito Sianipar.


Dalam era teknologi maklumat yang berkembang begitu pesatnya, dengan perluasan penggunaan media sosial, semakin banyak maklumat palsu atau berita palsu (fake news) disebarkan dan kerajaan menghadapi kesukaran untuk membendung maklumat palsu.

Pelbagai akta dan undang-undang diperkenalkan di Malaysia seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 demi menyekat kebebasan media yang tidak beretika dan bertanggungjawab.

Namun, sekatan terhadap kebebasan akhbar tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini, sebaliknya hanya mewujudkan pemusatan kuasa dalam penyebaran maklumat yang selalunya disalahgunakan untuk mereka yang memonopoli kuasa penyebaran maklumat. - Kitareportes.com


Sumber:

https://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Kebebasan_Akhbar_Sedunia

https://sosialis.net/2019/05/03/3-mei-hari-kebebasan-akhbar-sedunia/

https://rsf.org/en/2020-world-press-freedom-index-entering-decisive-decade-journalism-exacerbated-coronavirus

https://rsf.org/en/2020-world-press-freedom-index-entering-decisive-decade-journalism-exacerbated-coronavirus

https://rsf.org/en/ranking/2020

https://www.theguardian.com/uk-news/2019/jun/15/scotland-isle-bute-loses--newspaper-the-buteman-after-165-years

1
0
0
0
0
You will be interested