Seni & Sukan 07 Jun, 2022

TMJ: Ingatkan foreign coach lain, rupanya 2X5! Jangan kritik dulu, beri Pan-gon peluang - Pekan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Pan-gon dikritik kerana menyenaraikan dua pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya yang akan bertanding pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia. - Kredit foto: FAM


RUMAH siap, pahat berbunyi! Begitulah perumpamaan boleh dikatakan ekoran reaksi peminat bola sepak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan pemain oleh ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon untuk saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula 8 Jun, 2022. 

Mereka mempertikaikan pemilihan beberapa pemain terutama dua bintang naturalisasi, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh yang dilihat tidak menunjukkan prestasi diharapkan pada dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong, baru-baru ini walaupun  Harimau Malaya mencatat kemenangan.

Lebih memanaskan keadaan aabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengeluarkan kenyataan yang turut mempertikaikan pemilihan dibuat oleh jurulatih berasal dari Korea itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasukan bola Harimau Malaya



"Ingatkan foreign coach  (jurulatih asing) lain, rupanya 2x5. 1 minit tak main pun masuk list  (senarai). Asal JDT, main tak main semua dia nak angkut," komen Tunku Ismail menerusi laman instagramnya.

Kenyataan Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu mengundang pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tempatan, ada yang bersetuju dan tidak kurang yang ‘memulangkan paku buah keras’ kepada beliau.


Dr Pekan Ramli


Namun, bagi pemerhati dan penganalisis sukan, Dr Pekan Ramlisetiap orang bebas untuk memberi pandangan sama ada ia dipersetujui atau tidak oleh orang lain.

“Ia adalah hak peribadi semua orang untuk memberi pendapat masing-masing. Mungkin ia betul dari sudut kaca matanya tapi tak semestinya betul  pula pada pandangan orang lain, begitu juga sebaliknya.

“Pada saya, apa yang diperkatakan oleh TMJ adalah pandangan peribadinya dan kita perlu hormati sebagai haknya walaupun mungkin ada antara kita tidak sependapat dengan beliau.

"Mungkin pandangan TMJ itu ada juga kebenarannya kerana seperti mana dipertikaikan ramai, ada pemain yang kurang minit permainan dan gagal menunjukkan prestasi yang baik seperti De Paula dan Sumareh pada dua perlawanan persahabatan tetap jadi pilihan Pan-gon.


Barisan pemain Harimau Malaya gigih menjalani latihan menjelang pertandingan kelayakan Piala Asia yang bermula pada 8 Jun, 2022. Kredit foto: FAM


“Namun, berbalik pula kepada hak yang saya katakan tadi yang mana dalam isu ini, Pan-gon pun sebagai jurulatih, mempunyai hak untuk memilih pemain yang pada penilaiannya layak walaupun pada pandangan ramai pilihannya tidak tepat.

“Sudah tentu Pan-gon mempunyai asas penilaian sendiri mengapa beliau memilih 23 pemain itu. Kita sendiri tidak tahu apa yang jadi kayu pengukurnya, adakah beliau melihat kepada prestasi semasa, minit permainan atau pengalaman seseorang pemain. Atau mungkin pada beliau, pemain yang dipilih sesuai dengan percaturan permainannya kelak,” kata Dr Pekan.



Mengenai pemilihan ramai pemain JDT termasuk yang kurang minit permainan, Dr Pekan menganggap ia adalah lumrah kepada mana-mana jurulatih untuk memilih pemain daripada pasukan terbaik.

“Kalau kita lihat di mana-mana pun, kita ambil contoh EPL (Liga Inggeris), pemain yang bermain untuk pasukan terbaik seperti Liverpool sentiasa menjadi pilihan utama untuk sesebuah pasukan negara, begitu juga di Bundesliga, pemain Bayern Munich mendapat perhatian. Dan kalau di Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.

“Jadi, dalam konteks bola sepak kita, sudah tentu tumpuan pemilihan pemain adalah kelab JDT yang terbukti sebagai pasukan terbaik dalam liga kita. Malah, pemain-pemain yang mewakili pasukan itu adalah pemain-pemain terbaik Malaysia walaupun ada antaranya hanya menjadi pemain simpanan.



Justeru, dalam isu ini, kata Dr Pekan, amat sukar untuk kita mencari keseimbangan antara kehendak jurulatih dan juga kemahuan penyokong.

“Pada saya, elok kita beri ruang kepada Pan-gon untuk buat kerja terlebih dahulu sebelum kita menilainya. Kita ketepikan sebarang sentimen tidak puas hati dan beri sokongan kepada Harimau Malaya yang bertanding mencari tiket ke Piala Asia 2023.

“Dulu, kita juga mempertikaikan kewibawaan jurulatih tempatan yang dianggap tidak membawa kita ke mana-mana. Kita yang minta jurulatih luar dan sekarang sudah dapat jurulatih luar, eloklah kita bagi dia peluang serta beri sokongan,” katanya.

Harimau Malaya akan membuka kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E dengan menentang Turkmenistan pada Rabu 8 Jun, 2022, disusuli Bahrain (11 Jun 2022) dan Bangladesh (14 Jun 2022), dengan semua aksi akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – KitaReporters


 

 

14
18
1
7
0
You will be interested