Seni & Sukan 31 May, 2022

Video| Jaga solat pasti kejayaan diraih! Nasihat Alah Bisa Faizal Tahir kepada 'anak' Amira Othman!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Judul lagu terbaharu penyanyi dan komposer yang kini terkenal juga sebagai aktivis kemanusiaan, Faizal Tahir, 43, yang berbunyi ‘Alah Bisa’ tidak syak lagi sudah tentu dipetik daripada pepatah Melayu ‘alah bisa tegal biasa’.

Bermaksud ‘perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu diamalkan’ itu menjadi intipati nyanyian Faizal Tahir bersama penyanyi muda yang boleh dikategorikan sebagai berpangkat ‘anaknya’, Amira Othman, 28 tahun,


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibadat dan amalan solat


Jika pendengar selami maksudnya, single ini pada dasarnya kedengaran seperti pantun nasihat empat rangkap orang Melayu dulu-dulu dengan suku kata yang berima.

Apa yang ingin disampaikan oleh Faizal pada lagu ciptaannya secara kolektif bersama-sama komposer berbakat seperti Glow Rush, Nick Ariff, Acap Salim dan Mage dari Faithful Music Publishing ini mempunyai mesej agar tidak sombong kerana tahap sombong yang paling tinggi dengan Allah adalah dengan tidak menjaga solat setelah apa yang dikurniakan oleh-Nya dalam kehidupan seharian.

“Insya-Allah kalau solat seseorang itu dijaga, kejayaan pasti diraih bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak, ternyata ini bukan mudah bak pepatah Melayu ‘alah bisa tegal biasa’,” jelas Faizal Tahir pada majlis pelancaran single ‘Alah Bisa’ bersama media baru-baru ini. 

Turut hadir rakan duetnya, Amira Othman; Ketua Rocketfuel Entertanment, Feros Sayna; dan Mike Chan dari Faithful Music.


Dari kiri: Feros Sayna, Mike Chan, Amira Othman dan Faizal Tahir menerima plak pelancaran 'Alah Bisa' kolaborasi antara Rocketfuel dan Faithful Music.


Menurut Faizal, dalam hidup ini kalau hendak berjaya perlu ada disiplin yang tinggi dan konsisten dalam apa jua yang dilakukan, dan tiada praktis lain mendisiplinkan diri yang lebih baik dari menjaga solat.

"Maka, jagalah solat dan jadilah Muslimin dan Muslimat yang sentiasa beristiqamah,” tambah Faizal,

Sehubungan itu, tidak hairan apabila muzik video ‘Alah Bisa’ berkonsep drama pendek dengan elemen komedi menjadi intipati.

“Muzik video lagu ini memaparkan watak saya sebagai bapa kepada Amira yang memberi pesan walau apa jua yang kita lakukan teruskanlah menjaga solat, kerana solat yang konsisten akan membawa kita kembali ke jalan yang lurus dan betul,” tambah Faizal sambil berpesan janganlah sesekali menilai dan menjatuhkan hukuman berdasarkan zahirnya sahaja kerana kita tidak tahu cerita mereka terutama dari segi ibadah mereka.

Menurut beliau setiap orang akan melalui zaman berbeza daripada ibu bapa dan anak-anak dengan pelbagai ragam manusia. 



Sementara itu, berkongsi pengalamannya berkolaborasi bersama Faizal Tahir, Amira memberitahu proses rakaman agak mencabar dirinya kerana ia merupakan lagu duet dengan konsep berbeza yang belum pernah dibawakannya sebelum ini.

“Pada mulanya saya agak terkejut juga apabila diberitahu oleh pihak Rocketfuel tentang kolaborasi ini bersama abang Faizal Tahir, satu nama besar dalam industri muzik tetapi sudi mempelawa saya untuk bekerjasama secara duet,” ujar Amira. 

Menganggapnya sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka, siapa yang tidak mahu berduet dengan Faizal Tahir yang merupakan salah satu pencetus inspirasi buat dirinya ketika berada di Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2013,

“Saya memasuki Studio Faithful sebanyak dua kali, pertama untuk mendengar demo dan kemudiannya untuk proses rakaman yang memakan masa sekitar lima ke enam jam lamanya. 

"Banyak yang saya pelajari dari abang Faizal Tahir ketika berada di studio, Glow Rush dan seluruh team sangat supportive dan senang bekerjasama dengan mereka,” tambah Amira.



Single yang berkonsepkan pop Melayu dengan elemen lagu rakyat ini walaupun ada nilai tradisionalnya tetap diselitkan dengan muzik moden agar kedengaran segar dan lebih catchy buat pendengar di mana rata-rata lagu yang dihasilkan Faizal Tahir kebelakangan ini menjadi DNA-nya.

It’s in my blood,” akhiri Faizal Tahir ringkas. - KitaReporters


11
11
0
9
0
You will be interested