CEKODOK siapa paling sedap akan diberi 'hadiah' dan penduduk Taman Bayu Permai di Rawang, Selangor pula bergotong-royong sehingga larut malam untuk menyediakan buluh lemang, daun pisang, merendam dan memasukkan beras pulut dalam buluh, kemudian membakarnya dalam suasana kesepakatan 'keluarga' besar' ketika menyambut Aidilfitri, pada Sabtu 21 Mei 2022.
Ketua Muslimatnya, Norzie Nor, begitu bersemangat menceritakan beberapa ibu yang seronok menyediakan cekodok dan kemudian disenaraikan untuk 'bertanding' paling laku dan cepat habis.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sambutan Aidilfitri
Masak dah ni..
Cekodok itu dibuat seperti bebola daging yang sangat cantik dan menarik minat ramai kana-kanak serta tetamu kerana isinya lembut dan ada yang ranggup.
Dengan masing-masing membuat cekodok itu, menambahkan kemesraan apabila ia menjadi topik perbualan petua dan ramuan untuk membuatnya menjadi lebih enak.
Manakala 30 batang lemang seperti mana tahun-tahun sebelum ini disediakan secara bergotong-royong pada malamnya. Suasana bertambah riang apabila anak remaja turut membantu membakar lemang berkenaan.
Tetamu istimewa di majlis raya itu ialah Ustaz Azadan dari kumpulan nasyid Rabbani yang turut membuka restorannya di Taman Bayu Permai.
Rendangnya sedap puji Ustaz Azadan.
Bahan pemanis mulut itu adalah sebahagian buah tangan ibu-ibu yang menyambut permintaan pihak surau untuk menyediakan juadah itu bersama kek, nasi pulut berwarna hijau, mangga, cucur udang yang menjadi hidangan istimewa selain juadah utama nasi, rendang, ayam merah, sate, lemang, ketupat dan kuih muih.
Pengerusi Surau Al-Hidayah Taman Bayu Permai, Khairul Anuar Anuar, berkata sambutan hari raya pada Sabtu lalu itu sebagai penghargaan terima kasih pengurusan surau kepada penduduk yang sentiasa memberi kerjasama dan dalam masa yang sama, bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan jiran tetangga.
"Kebanyakan penghuni ini golongan muda dan bekerja. Mereka tidak ada banyak masa untuk bertemu dan acara hari beginilah, bermula dari solat terawih, perjumpaan hujung minggu dan solat berjemaah saja mereka dapat berkumpul.
Ibu-ibu yang mengimarahkan surau Tman Bayu Permai.
"Setiap tahun surau akan mengadakan pelbagai majlis makan-makan begini. Surau turut mengadakan acara memasak bubur lambuk yang mendapat sambutan luar biasa," katanya.
Khairul berkata suraulah menjadi tempat menyatukan golongan bekerja dan mereka yang sudah pencen dan anak-anak muda juga sangat ringan tangan apabila diminta secara sukarela membersihkan surau, membina bangunan tambahan dengan menggunakan derma sumbangan daripada penduduk di sini.
Antara hadirin yang hadir
Sementara itu seorang penduduk, Adewidyastuti Damril turut mencadangkan supaya surau membentuk pasukan remaja yang dianggotai oleh remaja berusia dari 13 hingga 20-an.
Ia bertujuan membentuk jiwa remaja yang cintakan dan mengimarahkan surau.
"Bila veteran ini sudah tidak larat lagi bekerja anak-anak muda inilah yang mengambil alih. Tetapi orang tua yang boleh memainkan peranan mendidik mereka kerana jika tidak dipupuk atau 'dipaksa' susah untuk mereka membuat kerja sukarela," katanya.
Lagi mereka yang hadir pada majlis jamuan raya
Selain itu, Affena & Huffaz yang mewakili penduduk juga mengucapkan terima kasih kerana menjadikan perjumpaan hari raya tahun ini sangat meriah selepas lama berkurung akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mohon juga pasukan petugas jangan berpecah kerana ada pelbagai program yang akan dilaksanakan termasuk menanam poko bunga dan menambah baik surau.
"Tidak lupa juga kepada kumpulan Muslimat kerana sentiasa membantu dan mengimarahkan surau dengan pelbagai program untuk membimbing ibu-ibu. Malah setiap lorong di taman ini tidak lupa turut menghantar moreh sepanjang Ramadan.
"Insya-Allah, selepas Syawal ini program pengisian ilmiah akan diteruskan termasuk kelas al-Quran," kata mereka. - KitaReporters