Seni & Sukan 27 Sep, 2021

Piala Malaysia: JDT, Selangor jadi pilihan! Kedah tak konsisten! NS, Penang mampu cipta kejutan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Di atas kertas, tiga pasukan elit, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Kedah menjadi pilihan penganalisis serta penyokong bola sepak tempatan untuk mendominasi saingan Piala Malaysia 2021 tapi jangan terperanjat jika pasukan underdog seperti Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Kuala Lumpur City FC melakukan kejutan!

Bagi bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Faridzuan Che Hamid, kebarangkalian itu tidak mustahil jika dinilai prestasi mereka sepanjang liga musim ini.

Negeri Sembilan, katanya, walaupun datang dari Liga Perdana, namun keupayaan muncul juara membuktikan ia sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang enteng.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia

Juara Liga Perdana 2021, Negeri Sembilan dijangka mampu meneruskan kecemerlangan dalam kempen Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: MFL


“Saya mengikuti perkembangan pasukan ini. Mereka memiliki skuad yang mantap di semua posisi dan berjaya diadun dengan baik oleh jurulatih (K Devan).

Pemain seperti Zaquan (Adha Abd Radzak) membawa pengaruh besar kepada pasukan. Pengalamannya yang pernah bermain dengan pasukan seperti JDT, Kedah, Kuala Lumpur malah Negeri Sembilan sebelum ini sangat berguna untuk membimbing pasukan.

“Import mereka (Francis Kone, Bae Boom-Geun, Alain Akono dan Athur Cunha) pun bagus. Ia disokong beberapa orang pemain berpengalaman seperti Halim Zainal, Anas Rahmat, Ferris Danial (Mat Nasir) dan Saiful Ridzuan (Selamat).

“Prestasi mereka sedang meningkat dan tidak mustahil mencapai kemuncak semasa pertandingan Piala Malaysia. Saya ramal, Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah untuk melayakkan diri ke suku akhir dari Kumpulan C walaupun akan menerima cabaran sengit daripada Kedah dan Melaka United,” kata Faridzuan.


Pemain Kedah, Kipre Tchetche diasak oleh pemain Melaka semasa perlawanan Liga Super. Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi dalam Kumpulan C, Piala Malaysia. - Kredit foto: MFL


Kedah belum konsisten, ada kala mereka bermain cukup baik tapi ada harinya prestasi mereka mengecewakan - Faridzuan."


Mengenai Kedah yang merupakan naib juara Liga Super 2021, Faridzuan menjangkakan pasukan itu tidak berdepan masalah untuk ke suku akhir.

 “Tapi, sejauh mana mereka boleh pergi musim ini sukar diramalkan kerana pada saya prestasi Kedah belum konsisten, adakala mereka bermain cukup baik tapi ada harinya prestasi mereka luar jangkaan serta mengecewakan,” ujar bekas penyerang Kedah era 1980-an itu.

Penang, pendatang baharu Liga Super musim ini turut menarik perhatian Faridzuan. Pasukan itu mengetuai Kumpulan A yang turut disertai Kuala Lumpur City, Sri Pahang dan Sarawak United.

“Saya tertarik dengan bahagian tengah dan serangan mereka yang cukup efektif tapi kelemahan yang perlu mereka perbaiki adalah di bahagian pertahanan yang begitu mudah dibolosi. Jika kelemahan ini dapat diatasi, Penang mampu pergi lebih jauh daripada suku akhir dan menjadi pencabar utama.


Penang, pasukan yang perlu diberi perhatian pada pertandingan Piala Malaysia 2021. - Kredit foto: MFL


“Untuk mengiringi mereka ke suku akhir dari Kumpulan A, saya memilih Kuala Lumpur. Pasukan ini tidak mempunyai pemain bintang tapi bermain sebagai satu unit serta taktikal yang bagus oleh Bojan (Hodak).

“Ada yang meramalkan Sarawak United mampu melakukan kejutan tapi bagi saya tidak. Walaupun mempunyai ramai pemain berpengalaman tapi Piala Malaysia adalah pentas yang berbeza berbanding Liga Perdana.

“Manakala Pahang pula bukan sebagaimana Pahang yang kita kenal sebelum ini. Mereka bergelut sepanjang musim untuk kekal dalam Liga Super,” katanya.



Bagi Kumpulan B yang mempertembungkan Terengganu, Selangor, Perak dan Kuching City, Faridzuan tidak ragu-ragu memilih Terengganu dan Selangor untuk ke suku akhir.

“Walau pun Terengganu nampak agak menurun pada hujung musim namun mereka ada potensi untuk bangkit semula dalam Piala Malaysia. Selangor pula menampakkan perkembangan positif di bawah jurulatih baharu dari Jerman (Karsten Neitzel) dan berada pada prestasi yang bagus.

“Dan untuk Kumpulan D, saya hanya berani memilih JDT sebagai pasukan yang pasti ke suku akhir. Tiga lagi pasukan PJ City, Sabah dan Kelantan mempunyai peluang seimbang untuk mengisi satu lagi slot,” ujar Faridzuan.

Melihat lebih jauh, Faridzuan berkata agak sukar untuk menidakkan peluang JDT ke final dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia yang mereka menangi musim lalu. 

Lebih manis, tahun ini adalah ulang tahun ke-100 Piala Malaysia yang pada awalnya dikenali sebagai Piala HMS Malaya. - KitaReporters


Faridzuan Che Hamid


Pasukan pilihan Faridzuan ke suku akhir:

Kumpulan A: Penang FC, Kuala Lumpur City FC

Kumpulan B: Terengganu FC, Selangor FC

Kumpulan C: Kedah FC, Negeri Sembilan FC

Kumpulan D: Johor Darul Ta’zim, PJ City/ Sabah FC/ Kelantan FC


Penyerang import, Bergson da Silva (biru) menjadi taruhan JDT pada kempen mempertahankan Piala Malaysia musim ini. - Kredit foto: MFL

9
14
0
9
0
You will be interested