Ali XPDC kini kurang sihat dan pernah diserang angin ahmar pada dua tahun lalu. Kini dia menderita masalah paru-paru sehingga menyukarkan dia untuk terus berkarya dalam dunia seni.
Dalam catatan Facebooknya itu, Perdana Menteri juga menyeru orang ramai membeli kuih muruku yang diusahakan isteri Ali XPDC melalui talian 011-70700885.
Ali XPDC mula terlibat dalam muzik rock pada 1988 dengan menjadi penyanyi kumpulan Terra Rossa. Setelah bergerak solo, Ali kemudian menjadi penyanyi kumpulan XPDC pada 1997 menggantikan Mael.
Pada penghujung 2005, Ali mengundur diri daripada Kumpulan XPDC atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Setelah keluar dari Kumpulan XPDC, Ali bersama beberapa orang pemuzik lain menubuhkan Kumpulan Mpire. Namun kumpulan itu tidak dapat bertahan lama disebabkan keadaan pasaran muzik tempatan yang suram.
Kemudian Ali kembali menyanyi secara solo dan single terbarunya berjudul ‘Sepi Rindu’ diterbitkan pada 2011 oleh Life Records. Antara lagu popularnya ialah 'Bunga Angkasa'.
Sejak beberapa tahun kebelakangan Ali XPDC kian bergiat dalam kegiatan dakwah dan menyertai kumpulan tabligh. Walaupun masih menyanyi tetapi beralih kepada lagu-lagu berunsur ketuhanan.
Sejak Oktober 2023, menerusi program Ziarah Madani, Perdana Menteri telah memberi sumbangan kepada 11 insan seni yang dilanda bermasalah kesihatan atau kewangan sejak September 2022.