Seni & Sukan 11 Mar, 2024

Impak Maksima| Video| Siti Nurhaliza masih kukuh! Persembahan tetap mantap! Berjanji terus menyanyi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin membuktikan beliau tetap nombor 1 apabila setiap kali menganjurkan konsert, impaknya memang berada pada tahap maksimum.

Kembalinya pemilik yang sering disapa ‘Tok TI’ atau ‘Mak Iti’ sekali pun,  selepas hampir 5 tahun tidak berkesempatan berada di sebuah konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil, sambutan peminatnya tetap ‘boom’.

Lebih menarik, beliau mencipta sejarah apabila tiket 'Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ habis licin disapu selepas dua jam penjualan tiket dibuka. 

Begitu hebat penangan ‘Tok Ti’ sejak 28 tahun berada dalam industri dan itulah juga yang mahu digambar dan diceritakan melalui ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ menepati erti ‘epitome’ itu sendiri yang bermaksud seorang yang boleh dijadikan contoh kebanggaan kepada orang lain.



Sejujurnya, penulis boleh katakan, suasana dan kesesakan kawasan Axiata Arena mengalahkan konsert-konsert hiburan seumpama yang pernah dihadiri. Kiri kanan jalan dipenuhi kenderaan sejauh luar kawasan malah tiket yang selalunya berharga RM10 meningkat kepada RM20.

Malangnya tempat parkir yang dikenakan RM20 penuh dan disebabkan oleh tiada kawalan oleh pihak terbabit kereta yang diparkir pada kawasan yang berdekatan terpaksa keluar melalui lorong lebih jauh ke belakang  yang sepatutnya RM10 sahaja. 

Apakah pihak yang menjaga kawasan parkir mengambil kesempatan apabila melihat begitu ramainya kenderaan yang bertali arus mencari tempat parkir sehingga harga pun naik sekali ganda? 

Barangkali pihak berkuasa perlu mengawal keadaan seperti ini dan memastikan harga parkir sama sahaja dan bukan mengikut suka hati meletakkan harga.



Apa pun kembali pada malam konsert yang menyaksikan lebih kurang 10,000 penonton membanjiri setiap ruang Axiata Arena Bukit Jalil, ia membuktikan pada usia 45 tahun, Tok Ti tiada tandingannya.

Bukan sahaja Sitizoners yang hadir malah peminatnya terdiri daripada rakyat Indonesia, Singapura, Brunei malah ada sebuah keluarga yang terbang dari Portugal semata-mata  untuk meraikan konsert Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Sabtu malam, 9 Mac 2024.

Rasanya ramai sudah membaca laporan akhbar-akbar tentang kehebatan konsert tersebut dari permulaannya sehinggalah ke akhirnya. Jadi tak perlulah penulis mengulas dengan terperinci lagi.



Selama 3 jam dengan 36 buah lagu yang dipecahkan kepada empat  segmen - Mimpi Ke Awan, Surat Harapan, Mega Karaoke/Judika Solo dan Bayu Timur, ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ sudah pasti menjadi satu kenangan indah yang terpahat pada diri Siti.

Ia sekali gus menjawab kegusarannya apabila meluahkan rasa takut dan tertanya-tanya masihkah ada orang yang mahu tengok konsertnya?

“Tetapi, anda buat saya terkejut apabila semua tiket 'licin' dalam tempoh dua jam," ujar Siti Nurhaliza membuka bicara sebaik muncul di pentas sekali gus disambut tepukan dan sorak gemuruh penonton.

Antara lagu yang didendang Siti meliputi Purnama Merindu, 7 Nasihat, Kesilapanku Keegoanmu, Sehebat Matahari, Kurniaan Dalam Kesamaran, Menjaga Cintamu, Romansa Kita, Bukan Cinta Biasa dan Aku Bidadari Syurgamu.



Tidak kurang juga Siti mendendangkan beberapa lagu yang bersesuaian dengan segmen ditonjolkan dan yang berkaitan dengan tujuan asas Nurjiwa menganjurkan konsert, untuk beramal dan membantu rakyat Palestin yang masih dilanda peperangan seperti Oda Di Bumi Anbia dan Bukan Cinta Biasa’.

Tatkala ‘Bukan Cinta Biasa’ bergema dan semasa mengalunkan bait lirik yang berbunyi ‘Cintaku bukan di atas kertas… hanya yakin menunggu jawabnya hooo….’. ribuan kertas ‘surat harapan’ yang ditulis dan ditandatangani Siti Nurhaliza bertebaran melayang  di udara dan jatuh ke pangkuan penonton..

'Surat Harapan’ itu menyampaikan mesej semangat  dan doa buat penduduk di Gaza agar terus tabah dan dilindungi Allah SWT.


Ini dia 'Surat Harapan' yang bertebaran dari lelangit Axiata Arena...


“Terima kasih kepada anda yang datang malam ini dengan tujuan utama iaitu bersama Yayasan Nurjiwa membantu rakyat Palestin  amnya dan khususnya menampung keperluan sekolah Afwa Al-Afiyah yang dibangunkan di Gaza,” ujar Tok Ti sambil mendedahkan beliau dipesan agar jangan toleh ke belakang skrin kerana tidak tahan menangis apabila ditonjolkan keadaan anak-anak Gaza yang menderita.

Menurut Siti, ketika latihan, apabila beliau menoleh ke skrin belakang untuk menonton video yang mengiringi, beliau akan menangis dan sudah tentu ia menganggu vokal dan perhatiannya.

“Jadi mereka pesan pada saya, jangan pandang belakang,” cerita Siti yang sekali lagi mendapat tepukan dan sorakan peminatnya.


Siti sering bergurau dengan penontonnya.


Pendek kata, sepanjang tiga jam berlangsungnya konsert, sepanjang itulah juga Arena Axiata tidak kesunyian melainkan sentiasa bising dengan sorakan dan tepukan malah peminat turut bernyanyi bersama Siti waima dilayangkan senikata lagu pada skrin sebelah pentas, lebih-lebih lagi pada segmen ‘Mega Karaoke’ semua pakat menyanyi.

Bagi penulis menutup pentas dengan segmen lagu-lagu tradisional seperti ‘Cindai”. “Nirmala’, ‘Kurik Kundi’ mahu pun lagu joget seperti ‘Joget Senyum Memikat’ ,sesuatu yang menepati perjalanan seni Siti Nurhaliza yang tidak perlu dipertikai lagi sebagai lagu makanannya.

Ketika mahu menyampaikan lagu "Kalau Berkasih' yang asalnya dinyanyikan bersama Datuk Awie, Siti mempelawa Syamel yang turut hadir untuk menggantikan tempat Awie.

"Malam ini Syamel menjadi 'Syawi' boleh?' katanya sambil mempelawa Syamel bertukar pakaian sesuai lagu tradisional yang dibawa. 

Kala ini terserlah sisi Siti yang bijak bergurau dan bersahaja dengan tetamunya di pentas sehingga beliau dianggap boleh masuk pertandingan 'Maharaja Lawak' disebabkan pandai membuat lawak spontan.


Wajah Siti dalam usia 65 tahun digambarkan melalui teknologi AI.


Ini dia abang 'food panda' yang dicari Siti semasa konsertnya.
Menariknya juga, konsert Siti mengikuti trend semasa di mana teknologi AI turut digunakan dalam menggambarkan wajah dirinya dari usia remaja sehingga menutup tirai pada usia 65 tahun. 

Tetapi paling kelakar apabila Siti sempat mencari rider 'Food Panda' yang menggunakan wajahnya sehingga 'viral'. "Mana dia abang 'food panda' tu,  boleh tak bangun nak tengok," ujar Siti.

Pun begitu, dengan memilih lagu ‘Menyapa Dunia’, penulis yakin Siti tetap akan menjadi penghibur dan penyanyi No.1 negara apabila ia mengakhiri kata-katanya dengan bait lirik berbunyi, ‘Terima kasih yang tak terkira… Ku Berjanji Akan Terus Bernyanyi’….

Dan penulis yakin Siti akan terus ‘mekar’ dan menunaikan janjinya itu selagi nyawa dikandung badan!



'Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza' turut menampilkan penyanyi Indonesia, Judika sebagai artis jemputan.

Tahniah Siti Nurhaliza! 

Impak Tok Ti  terbukti dan terserlah memukau sehingga memberi Impak Maksima sama seperti nama ruangan penulis ini! - KitaReporters

10
11
0
8
0
You will be interested