Seni & Sukan 07 Jul, 2023

Impak Maksima| Video| Anuar Zain yang eksklusif! Kelasnya tersendiri! Konsert 40 Tahun Anuar Zain!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Sepanjang tempoh mengenali ‘Lelaki ini’ - Anuar Zain, Kak Fas percaya penyanyi bersuara lunak dan tersendiri ini antara artis ‘eksklusif’ waima  ‘jarang-jarang’  (meminjam kata-kata Seniman Agung Allahyarrham P Ramlee) ditemui ‘bersidai’ atau ‘melepak santai’di mana-mana lokasi awam.

Jika hendak bertemu dengannya hanyalah sama ada di konsert mahu pun majlis yang melibatkan kehadirannya sebagai artis undangan ataupun untuk pihak media seperti Kak Fas hanya bertemu dengannya pada sidang-sidang media tertentu.

Kerana itu, Kak Fas labelkan Anuar Zain  sebagai antara artis yang ada prinsip dan berada dalam kelasnya yang tersendiri walaupun memiliki sifat seorang lelaki berbudi pekerti dan berbudi bahasa.



Empat dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan,  vokal merdunya, senyum manisnya, aura dan pesonanya yang kuat, serta untaian lagu-lagu miliknya yang cukup popular dan turut menerima pelbagai pengiktirafan di sepanjang kariernya, terus kukuh menjadi antara penyanyi yang disanjungi sehingga kini dan berada dalam liganya yang tersendiri. 

Beliau menjadi penghibur yang disegani di mana setiap kemunculannya dinanti–nantikan, biar dalam majlis korporat, majlis berprofil tinggi dan eksklusif atau terkadang hanya untuk melihat persembahan beliau mendendangkan beberapa buah lagu di acara terbuka.

Sehubungan itu, impak maksimanya … tidak syak lagi, ramai yang teruja untuk hadir pada mana-mana konsert yang disertai Anuar atau lebih popular dengan akronym AZ sahaja mahu pun menanti album terbaharu daripadanya.

Jadi Kak Fas pun bertanya, bila agaknya AZ akan tampil dengan lagu atau album baharu?


“Saya sudah ada satu dua lagu dalam fikiran tetapi belum dapat diputuskan kerana saya mahukan lagu itu lebih dramatik. 

"Saya suka sebuah lagu yang ada drama di dalamnya supaya apabila mendengarnya, ramai yang boleh berkongsi menghayatinya,” jawab Anuar Zain ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Ulang Tahun Ke-40 Tahun Anuar Zain (Anuar Zain 40th Anniversary Concert) pada Rabu, 5 Julai 2023 lalu. 

Menurut plantun lagu ‘Keabadian Cinta' ini, beliau belum ada perancangan menghasilkan lagu baharu sebelum benar-benar berpuas hati dengan lagu yang diterima walau pun ada beberapa lagu yang sudah berada di dalam tangan.

“Saya seorang yang teliti dalam pemilihan lagu waima sesiapa pun komposernya asalkan lagu tersebut ada ‘drama’ malah jika ada wartawan di sini yang boleh mencipta lagu yang saya suka sekali pun saya menerimanya,” ujar Anuar membayangkan kehendak hatinya kepada media yang hadir.

Bahkan katanya, beliau tidak perlu gimik untuk menjayakan sesuatu kerana dirinya bukanlah seorang yang gemar membuat  gimik untuk popular. 

“Bagi saya jika lagu itu ada drama di sebaliknya dengan mesej yang mantap, saya akan terima,” tambahnya. 



Dalam mempersiapkan dirinya pada  “Anuar Zain 40th Anniversary Concert” yang akan diadakan di Stadiun Malawati, Shah Alam pada 28 Oktober 2023 depan, penama sebenar, Shahrul Anuar Zain ini nemberitahu sedang menjalani senaman untuk mengekalkan staminanya agar dapat memberikan yang terbaik dari segi lontaran vokal dan persembahan.

“Saya mengimpikan agar konsert AZ40 ini akan menjadi kenangan yang terindah antara kita semua pada malam itu nanti. Juga menjadi kenangan manis buat semua tenaga kerja dan team produksi yang besar didalam menjayakan konsert  ini. ” ujar AZ yang tetap memilih Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan dipertanggungjawab sebagai pengarah muzik.


Dari kiri Jennifer Thompson, Sean Ng, Anuar Zain dan Sze Wan.


Sudah tentu seperti judul lagunya, ‘Bila Resah’, Anuar yakin dengan team produksinya untuk mengaturkan segala kelengkapan terbaik dari segi hiasan pentas, sistem lampu dan sebagainya agar dia tidak resah.

“Saya tidak mahu membebankan fikiran mengenai soal pentas atau teknikel dan sebagainya kerana masing-masing sudah tahu kehendak saya, jadi sekarang saya hanya mahu menumpukan terhadap pemilihan lagu dan persembahan,” tambah Anuar yang belum memutuskan samanada akan menjemput penyanyi undangan pada konsert selama lebih dua jam itu.

Namun bagi konsertnya  kali ini beliau akan menyampaikan lebih kurang 20 buah lagu popularnya sepanjang 40 tahun penglibatannya sebagai penyanyi dan sudah tentu antaranya lagu-lagu popular seperti ‘Sedetik Lebih’, ‘Perpisahan’, ‘Lelaki Ini’ dan banyak lagi.



Menampilkan poster yang menunjukkan beliau menghulurkan sekuntum bunga mawar merahm kata Anuar, "simboliknya saya menghulurkan rasa kasih sayang dan penghargaan kepada peminat yang menyokong saya selama ini, Merah tanda sayang." 

Sehubungan itu, pada majlis pelancaran dan sidang media konsertnya  sambil menyanyikan lagu ‘Sedetik Lebih’  beliau turun dari pentas dan menghulurkan setiap tetamu yang hadir dengan sekuntum bunga mawar merah.  

Nampak rasa teruja setiap yang menerima kuntuman bunga ros tersebut daripada Anuar Zain termasuklah Kak Fas dan rakan-rakan media lain yang sentiasa menyokong setiap kali ‘Lelaki Ini’ turun padang. 



Begitulah penangan penyanyi bernama Anuar Zain ini bila tampil sekali sekala mengubati rindu peminatnya. 

Dalam usia 50-an sekali pun, kehadirannya tetap dinanti-nantikan ramai. Selayaknyalah beliau setanding penyanyi-penyanyi antarabangsa seusianya yang dah otai pun tetap menjadi ‘pujaan hati’ ramai.

Itulah impak Anuar Zain, daripada bekas pramugara kepada seorang penyanyi terkenal yang sentiasa rendah diri dan mesra didekati apabila berada di pentas konsert atau pun majlis korporat waima AZ bukanlah artis yang selalu kita nampak kelihatan  di khalayak ramai tetapi beliau seorang artis yang berada pada kelasnya yang tersendiri.

Tidak hairanlah beliau bukan sahaja mampu menarik perhatian peminat Melayu tetapi turut disokong golongan pelbagai kaum di mana AZ40 memperlihat ramai rakan penajanya terdiri daripada syarikat milik bukan Melayu antara lainnya seperti FreeYond, Altus Prohouse, Level Up dan banyak lagi.


Anuar (tengah) bergambar kenangan bersama 13 penaja yang menerima cenderahati poster Konsert 40 tahun Anuar Zain yang berlangsung di Jio Place, Petaling Jaya baru-baru ini.


Sementara itu, bagi pihak penganjur JioBuddy, konsert ini akan menjadi sebuah lagi lakaran sejarah yang penting buat AZ dalam perjalanan karier seninya apabila bermula dari seorang penyanyi kanak-kanak (1983) sehinggalah menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi, beliau  sentiasa mendapat sokongan positif daripada semua pihak.

“Kami di JioBuddy berbesar hati untuk menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary Concert kerana ia bukanlah hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seninya yang panjang bersama semua peminat  dan penggemar muzik beliau. 

“Ia amat penting untuk kami selaku penganjur bagi menyokong industri muzik tempatan, dan memberi yang terbaik kepada penonton mengikut kepakaran kami,” kata Sean Ng dari JioBuddy.

Tiket-tiket berharga RM1188  (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond) RM388 (Platinum) dan RM188 (Gold) akan mula dijual pada 12 Julai 2023 mulai jam 10 pagi di www.jiotix.asia  atau hubungi talian hotline tiket di +6011 510 03 111.

Jadi tunggu apa lagi, raikan temu janji anda bersama Anuar Zain pada 28 Oktober 2023, jam 8.30 malam sempena Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Malawati Indoor Stadium, Shah Alam. 

Mana tahu kut anda pun akan menerima sekuntum mawar merah daripada Anuar Zain pada konsert berskala besar itu nanti untuk disimpan sebagai kenangan seperti yang  Kak Fas terima ni! - KitaReporters


9
15
0
12
0
You will be interested