Status pasukan bola tampat lelaki 12 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Segamat sebagai pasukan ‘kampung’ yang serba kekurangan berikutan rata-rata pemainnya terdiri daripada murid sekolah luar bandar yang tidak berpeluang mendapat pendedahan dalam sukan tersebut, namun itu bukan alasan untuk merasa rendah diri dan tidak menyerlah ketika menyertai Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSSN) Johor di Kompleks Sukan Kundang Ulu, Muar pada 23 hingga 25 Julai 2023 nanti.
Jurulatihnya, Johari Marsan berkata, jauh sekali berniat untuk memperkecil kemampuan anak-anak buahnya, sebaliknya terpaksa menerima hakikat persiapan kurang dua minggu yang dimiliki tidak mencukupi dan terlalu singkat untuknya membentuk pasukan yang mantap.
“Biar pun bola tampar merupakan sesuatu yang asing kepada mereka memandangkan sukan ini bukan permainan popular seperti bola sepak dan badminton yang dimainkan secara meluas dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan luar bandar, namun murid-murid ini ternyata berbakat dan mampu menyerlah jika mendapat bimbingan berterusan.
“Bersandar kepada displin serta semangat berpasukan yang tinggi, saya yakin pasukan ini mampu mengulangi pencapaian sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir pada tahun lepas walaupun sasaran saya kali ini untuk memperbaiki kedudukan tersebut dengan lolos ke peringkat separuh akhir,” katanya ketika ditemui di sesi latihan di Dewan Serbaguna Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
Keyakinannya bahawa pasukan tersebut mampu memperbaiki pencapaian tahun lalu (2022) ada asasnya memandangkan pasukan kali ini turut dibarisi lima pemain yang berpengalaman bersaing pada peringkat negeri pada Kejohanan Bola Tampar MSSN Johor pada tahun 2022 yang lalu.
Pemain tersebut terdiri daripada empat orang murid SK Pekan Ayer Panas, Labis dan seorang dari SK Melayu Raya, Segamat sementara tujuh yang lain merupakan pemain baharu yang pertama kali terpilih untuk menyertai pasukan MSSD Segamat ke pertandingan pada peringkat negeri Johor.
Menurutnya, pertandingan pada peringkat daerah Segamat yang diadakan pada minggu pertama bulan Julai 2023 lalu menyaksikan SK Pekan Ayer Panas, Labis berjaya mempertahan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 2022 selepas mengetepikan cabaran SK Kampung Tengah, Segamat pada perlawanan akhir sementara SK Melayu Raya di tempat ketiga selepas mengatasi SK Felda Pemanis pada penentuan ketiga dan keempat.
Latihan bagi membentuk keserasian antara pengumpan dan perejam antara aspek yang diberi perhatian dalam latihan.
Dalam masa sama Johari tidak mahu tempoh kurang dua minggu yang untuk membentuk pasukan sebagai alasan pasukannya tidak menyerlah pada kejohanan tersebut, sebaliknya percaya semangat serta displin tinggi yang dimiliki anak buahnya antara faktor penting untuk anak buahnya menyerlah nanti.
Katanya, berbaki beberapa hari sebelum hari pertandingan, dia memberi tumpuan untuk memperkemas teknik rejaman serta kawalan gelanggang bagi memastikan setiap pemain mampu menyaingi kemampuan pasukan daerah lain nanti.
“Selain itu saya juga menitikberatkan aspek displin serta semangat berpasukan dalam kalangan pemain selain memberi kefahaman bahawa tiada istilah pemain istimewa dalam pasukan, malah semua pemain mempunyai peranan dan tanggungjawab memastikan pasukan mencapai kejayaan.
“Saya mahu mereka faham dan merasakan setiap individu mempunyai tanggungjawab yang sama bagi memastikan kejayaan pasukan dan dalam masa sama juga, saya dapati semangat dan moral semua pemain ketika ini begitu tinggi selain begitu berdiplin mengikuti program latihan yang dirancang dan ini antara faktor penting yang mampu memastikan kejayaan pasukan,” katanya. - KitaReporters