AINA Abdul memperlihat kemampuannya dalam bidang muzik dengan meraih dua anugerah utama dalam Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) iaitu ‘Lagu Terbaik’ yang membawa hadiah RM100,00O serta trofi, dan ‘Vokal Terbaik’ dengan hadiah RM12,000 serta trofi.
Pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, yang bakal berusia 30 pada 25 Oktober 2023 ini yang suka mengenakan pakaian unik, kali ini menggunakan konsep di atas awan dengan pakaian berwarna putih yang mengkagumkan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Aina Abdul
Aina Abdul terpaksa menunggu empat tahun untuk merangkul trofi Juara Lagu yang berakhir melalui lagu ciptaan melodi dan liriknya ‘Terus Hidup’ bagi mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada malam hari Ahad, 12 Februari 2023.
Pada AJL33 (pada 2019), Aina tewas dalam peringkat separuh akhir melalui lagu ciptaaannya ‘Sumpah’. Dan pada AJL34, lagunya ‘Semalam’ menjadi naib juara.
Pada AJL35, Aina pertama kali memenangi vokal terbaik melalui lagu ‘Sepi’. Pada AJL36 pula, Aina cuma berjaya dipilih sebagai Penyanyi Pilihan Popular Oppo AJL bersama Khai Bahar melalui lagu ‘Nafas Cinta’.
Kemenangan Aina dalam AJL37 telah diramal ramai dan kemunculan Aina sebagai peserta ke-11 diberi tepukan gemuruh penonton dan sebahagian penonton memberi tepukan berdiri (standing ovation) sebaik habis persembahan luar biasanya.
Ketika ditemu bual dalam program ‘Malaysia Hari Ini’ (MHI) dan 'Wanita Hari Ini' TV3, pada Isnin, 13 Februari 2023, Aina menyatakan setiap kali menyertai pertandingan dia mengharapkan kemenangan.
Tanpa memperkecil kemampuan komposer dan penanyi lain, Aina menganggap kali ini tuah adalah miliknya. Dan kemenangan itu mendorongnya untuk terus berjaya.
Dia kini ada sejumlah lagu yang sudah dicipta dan belum dirakam. Bukan semua lagu ciptaannya akan dinyanyikan olehnya sendiri.
Sementara itu, menurut ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, beza mata antara lagu juara dan naib juara cuma 2 markah.
Lagu tempat kedua dimenangi ‘Satu Malam Di Temasek’ ciptaan dan nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trofi.
Manakala tempat ketiga dimenangi ‘Anugerah Terindah’ nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan melodi Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis dan lirik oleh Alif, Shah Shamshiri dan Romeo. Mereka membawa pulang wang tunai RM30,000 dan trofi.
Bagi kategori Persembahan Terbaik pula, Shiha Zikir berjaya memenanginya melalui lagu ‘Irama’ dengan memberi persembahan menarik dengan persembahan lampu neon elektronik.
Persembahan Shiha mengalahkan Naim Daniel yang menyampaikan lagu ‘Mainan’ dalam keadaan terbalik dan tergantung.
Persembahan 12 finalis diadili barisan juri profesional iaitu Datuk Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY, Damian serta Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.
Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus yang diadili terlebih awal, manakala baki 20 peratus melalui persembahan pada malam kemuncak.
Sembilan lagu lain yang bertanding ialah, ‘Korban’ (nyanyian Ernie Zakri), ‘Bahagiakan Dia’ (Liza Hanim dan Shila Amzah), ‘Kembali Terang’ (Marsha Milan), ‘Payung Pelangi’ (Noki dan MK}, ‘Irama’ (Shiha Zikir), ‘Nang’ (Iman Troye), ‘Debu’ (Dayang Nurfaizah/Amir Masdi), ‘Sengsara’ (Khai Bahar) dan ‘Mainan’ (Naim Daniel). - KitaReporters