PERTEMBUNGAN dua gergasi Manchester paling ditunggu oleh peminat bola sepak dunia dan Manchester United ternyata lebih unggul untuk menang perlawanan ini menewaskan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 14 Januari 2023.
Bermain di Old Trafford, Manchester United dalam misi untuk membalas dendam kekalahan pusingan pertama sebelum ini dan ia terlaksana apabila menang 2-1 ke atas musuh tradisi mereka itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan EPL
Separuh masa pertama menyaksikan kedudukan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dan aksi berbalas serangan merancakkan lagi perlawanan ini.
Bagaimanapun, Manchester City berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-59 menerusi tandukan Jack Grealish di depan gol.
Namun jaringan itu tidak mampu bertahan lama apabila tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Bruno Fernandes pada minit ke-78.
Jaringan tersebut telah mendapat bantahan pasukan pelawat yang mendakwa Fernandes berada dalam kedudukan ofsaid. Tetapi selepas menyemak VAR, gol tersebut tetap disahkan oleh pengadil perlawanan biarpun ia sedikit kontroversi.
Kedudukan terikat membuat kedua-dua pasukan terus menyerang untuk mencari gol kemenangan.
Ketika Manchester City rancak menyerang, pemain Manchester United mengambil kesempatan tersebut melakukan serangan balas pantas.
Serangan tersebut membuahkan hasil apabila Marcus Rashford bijak mengambil peluang untuk meledak gol kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-82. Gol tersebut juga membuatkan Rashford terus menjadi mesin gol buat Manchester United.
Kemenangan ini membolehkan mereka terus mengejar Manchester City dan Arsenal untuk mencabar kejuaraan liga. - KitaReporters
Kredit foto-foto: FB Man United