Seni & Sukan 07 Aug, 2022

Video| Piala FA 2022: Red Giant lemas di tangan Sang Penyu! Terengganu FC bertemu JDT pada final!

@amirul
Pernah berkhidmat sebagai wartawan. Meminati bidang pertulisan dan akan terus menulis selagi mana ada peluang dan ruang.

Share this


SETELAH berhempas pulas selama 120 minit, akhirnya Terengganu Football Club (FC) berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2022 selepas menyingkirkan Selangor FC 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada malam tadi (6 Ogos 2022). 

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim yang berjaya menafikan dua sepakan pemain Selangor dan beliau juga beraksi cukup cemerlang dalam perlawanan ini sekali gus mengecewakan skuad kendalian, Michael Feicthenbeiner.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala FA

Kredit foto-foto: FB Malaysian Football League 


Bermain di halaman sendiri ternyata bukan sesuatu tugas mudah kerana 20 minit awal, Selangor FC lebih menguasi perlawanan. 

Norhakim Hassan berjaya meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-23 hasil serangan balas pantas setelah Terengganu gagal memanfaatkan peluang yang terhidang. 

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Nafuzi Zain memperkemaskan semula rentak permainan dan terus menyerang dari pelbagai sudut untuk mencari gol penyamaan. 

Terengganu hampir dihadiahkan sepakan penalti setelah pengadil mendakwa Faisal Halim dikasari dalam kotal penalti namum pengadil perlawanan menarik semula setelah berbincang dengan pembantu pengadil. 

Ketua pasukan Terengganu, Kipre Tchetche hampir menjaringkan gol melalui sepakan gunting namum palang menjadi penghalang untuk Terengganu. 

Selangor yang diasak bertubi-tubi menggunakan serangan balas untuk menambah jaringan dan mempunyai beberapa peluang terbaik tetapi gagal untuk menjaringkan gol. 



Bermula babak kedua, Terengganu terus bermula garang dengan serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan. 

Usaha mereka membuahkan hasil apabila pemain lincah, Faisal Halim berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48. 

Skuad Sang Penyu seperti mendapat aura baharu apabila mereka terus menekan pertahanan Selangor dari kiri dan kanan sehingga pemain Selangor terpaksa melakukan kesilapan mudah. 

Pda 15 minit terakhir kedua-dua pasukan memperlahankan rentak sehingga tamat perlawanan dengan kedudukan terikat 1-1 dan terpaksa bermain pada masa tambahan untuk menentukan pasukan yang akan ke perlawanan akhir.

Dalam masa tambahan, dilihat Terengganu lebih menguasai perlawanan dengan deretan peluang namum barisan hadapan Sang Penyu gagal menterjemahkan dalam bentuk jaringan. 

Begitu juga Selangor yang lakukan serangan balas sekali juga ada peluang tapi sering mempersiakan peluang tersebut. 

Kemenangan ini sudah pasti melegakan ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang berdepan tugas getir jika pasukannya tewas di tangan Selangor. - KitaReporters



8
13
0
9
0
You will be interested