Ketika berada di sebalik tirai besi di Penjara Sungai Buloh, penyanyi nasyid dan komposer Yasin Sulaiman mencipta lagu ‘Bebaskan Aku Dari Penjara’ pada Mei 2022. Kemudian pada 1 Jun 2022 pula, dia menghasilkan lagu Tangisan Malaikat yang ditujukan kepada anaknya, Malaika.
Hidup dalam penjara menimbulkan ilham bagi Yasin mencipta lagu ketiga berjudul ‘Aku Bipolar’.
Lagi cerita-cerita sensasi berkaitan Yasin Sulaiman
Lirik penuh lagu ‘Aku Bipolar’ dimuat dalam Instagramnya oleh pengendalinya pada Ahad, 24 Julai 2022.
Lagu ‘Aku Bipolar’, berkisarkan luahan perasaan Yasin, dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarganya bersama tanda pagar #YasinSulaiman dan #Solidarityforyasinsulaiman.
"Aku sakit mental... sesekali kronik." Itu antara bait-bait lirik lagu ‘Aku Bipolar’.
Selain mendakwa mengalami sakit mental, lirik lagu ini antara lain menyatakan Yasin memerlukan 'rawatan kanabis' bagi mengubati penyakit yang dihidapinya.
"Fikiran melayang, ku alami psikosis...," kata bait lagu itu lagi.
Pada penghujung lirik itu, Yasin sekali lagi menekankan perkataan "aku bipolar.. harap maklum."
Sebelum ini, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman mengakui menghidap penyakit bipolar disorder atau gangguan bipolar sejak 2009 dan mengaku pernah menerima rawatan di wad psikiatri selama dua minggu di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Pada 6 Julai 2022 lalu, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada Mac 2022.
Bagaimanapun, dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Yasin ditahan di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 24 Mac 2022 kerana menanam sejumlah pokok ganja dan memiliki kanabis. - KitaReporters