Seni & Sukan 02 Oct, 2024

Torres dalam bahaya? Skuad B-19 tidak layak, B-23 pula terkandas! Exco FAM kena putuskan masa depan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

JUAN Torres Garrido (dua dari kiri) bersama-sama pengurus pasukan, Datuk Joehari Ayub (kiri) dan penolong ketua jurulatih, Shukor Adan (dua dari kanan) dalam kempen kelayakan Piala Asia B-20 di Dushanbe. - Kredit foto: FAM


 

BENTENG B-19 negara, Afiq Hakimi Mahat (18) cuba melepaskan rembatan sambil cuba dihalang pemain B-19 Sri Lanka, Ayman Riyas Zawahir. - Kredit foto: FAM 


APAKAH nasib Juan Torres Garrido selepas ini?

Tidak mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berpuas hati dengan kegagalan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara atau Harimau B-19 kendaliannya.

Skuad remaja ini gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20, 2025 setelah hanya menduduki kedua corot Kumpulan E kelayakan dengan mengumpul lima mata di Dushanbe, Tajikistan.

Paling menghampakan ialah apabila mereka diikat mengejut 1-1 oleh Sri Lanka di Stadium Pusat Republik, Dushanbe pada 29 September 2024.

Sedangkan lawan yang hanya dilatih jurulatih tempatan, Rajamany Devasagayam sebelum ini hanya menjadi budak belasahan kepada Oman 5-0, Korea Utara 4-0 dan tuan rumah 3-0.


SKUAD B-19 Malaysia meraikan gol terhadap Sri Lanka dalam perlawanan sekadar pelengkap jadual Kumpulan E kerana telah tersingkir daripada pusingan akhir. - Kredit foto: FAM


Skuad pimpinan Ariff Safwan Safri ini bermula dengan hebat, menundukkan Oman 2-1 pada 21 September 2024, mengikat juara kumpulan, Korea Utara 0-0 dua hari kemudian namun dikecewakan tuan rumah 1-0 dalam masa kecederaan, selang dua hari lagi.

Malah sekadar tiga gol yang mampu dihasilkan B-19 Malaysia sepanjang kempen kelayakan ini menerusi Moses Raj Michel Dass, Haykal Danish Mohd. Haizon dan Mohamad Amir Farhan Fuzi.

Hanya juara 10 kumpulan kelayakan termasuk Korea Utara dan lima naib juaranya yang terbaik, layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di China dari 6 hingga 23 Februari 2025.


AFC U20 Asian Cup 2023


Torres, 44, juga mengendalikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia yang kalah kesemua perlawanan, Uzbekistan dan Vietnam 2-0 serta Kuwait 2-1 malah menghuni tempat corot Kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar, April 2024 lalu.

Warga Sepanyol ini yang juga penolong ketua jurulatih Harimau Malaya, mula menerajui kedua-dua skuad belia berkenaan pada 11 Oktober 2023 dan 13 Februari 2024.

Mungkin Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM perlu menuntut laporan segera daripada Torres ekoran prestasi hambar di Dushanbe sebelum kedudukannya diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan.

Kedua-dua jawatankuasa ini dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin dan timbalannya yang juga Timbalan Presiden persatuan, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi.


AKSI bertenaga pasukan remaja negara pimpinan Ariff Safwan Safri (21) yang berjaya mengekang B-19 Korea Utara tanpa jaringan pada 23 September 2024. - Kredit foto: FAM


PERANTARA B-19 Malaysia, Zamirul Hakim Khair (7) yang cuba menyekat pemain Tajikistan, Khushvakhtov Dzhovidon dalam pertemuan 27 September 2024. - Kredit foto: FAM

13
14
0
16
0
You will be interested