Seni & Sukan 27 Aug, 2025

Lebih 2k peserta, 90% tamat larian! Jarak 10km, 25km, 50km, 100km! The Magnificent Baling 100 2025!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

Para peserta larian denai ‘The Magnificent Baling 100’ (TMB100) 2025 bersedia di garisan permulaan untuk memulakan larian. 


CUACA hujan yang membasahi bumi Baling di Kedah tidak menghalang hampir 2,200 peserta untuk meneruskan cabaran dalam acara larian denai ‘The Magnificent Baling 100’ (TMB100) 2025.

Acara larian denai antara berprestij yang diadakan di negara ini berlangsung pada 15 dan 16 Ogos 2025 lalu dengan melibatkan empat jarak larian itu 10 kilometer (km), 25km, 50km dan 100km.
Lebih menarik apabila hampir 90 peratus daripada keseluruhan peserta yang memulakan larian bagi kesemua kategori berjaya menamatkan larian mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Menurut Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd (Ten Senses), Mohd. Bukhari Ismail, peratusan tinggi yang dicapai dalam acara larian itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan melebihi daripada jangkaan awal.

Acara larian denai TMB100 edisi 2025 berjaya menarik penyertaan kira-kira 2,200 peserta dari pelbagai negara. 

“Pada peringkat awal, kami menjangkakan jumlah peserta yang berjaya menamatkan larian di bawah tempoh masa yang ditetapkan adalah sekitar 80 peratus hinga 85 peratus sahaja memandangkan hujan pada awal permulaan acara 50km dan 100km.

“Kebiasaannya, jika peserta terpaksa berlari dalam keadaan hujan, ia sedikit sebanyak akan meningkatkan tahap cabaran kepada peserta.
“Ini kerana selain terpaksa meredah laluan denai yang berlecak dan berlumpur, mereka juga terpaksa berhadapan dengan kesejukan yang boleh mengakibatkan mereka mudah mengalami kekejangan dan kecederaan.
“Bagaimanapun, peratusan tinggi bagi jumlah peserta yang berjaya menamatkan larian itu menunjukkan kesemua mereka telah bersedia dari segi mental dan fizikal menerusi latihan yang telah dilakukan sebelum menyertai TMB100 kali ini,” ujarnya.

Laluan mencabar yang memerlukan setiap peserta sentiasa berhati-hati bagi mengelak sebarang kecederaan. 


Sebagai rekod, TMB100 merupakan acara larian denai yang dianjurkan oleh Ten Senses sejak tahun 2023 yang dijayakan dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling (MDB) dan Persatuan Rekreasi Luar dan Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah Baling sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di negeri Kedah.
Turut membantu dalam menjayakan acara itu ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Hospital Daerah Baling dan Kolej Komuniti Baling yang menyediakan kumpulan pelajar jurusan Sijil Penyediaan Makanan dan Hospitaliti untuk membantu menyajikan makanan kepada peserta.

Empat peserta menzahirkan rasa puas selepas berjaya menamatkan larian denai TMB100 2025 di Baling, Kedah baru-baru ini.


Pada acara tahun ini yang sudah memasuki edisi ketiga penganjurannya, tiga kedudukan teratas acara 100km lelaki diungguli pelari tempatan dengan peserta dari Sabah, Wilsen Singgin dengan catatan masa 10 jam 35 minit 35 saat, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Milton Amat (10:51:47) dan Yun Huan Sua (11:15:33).
Acara 100km Wanita pula dimenangi peserta dari Filipina, Ritzy Amor Ectin dengan catatan masa 15:33:57, manakala peserta dari Malaysia iaitu Syarifah Balqis Syed Hamzah yang mencatat masa 16:47:13 saat menduduki tempat kedua dan Septiana Nia Swastika dari Indonesia menduduki tempat ketiga (17:05:11).
Bagi acara 50km pula, Yeonggyun Cho dari Korea Selatan menungguli kategori lelaki, manakala Mei Sze Chong dari Malaysia menduduki tempat pertama kategori wanita.
Tempat pertama acara jarak sederhana 25km pula dimenangi Khairulamirin Kamarudin untuk kategori lelaki, dan Masliana Mustafa bagi kategori wanita, manakala bagi jarak larian 10km dimenangi Mohd. Shahril Md. Jusoh (lelaki) dan Fatin Bensulong (wanita).
Majis penyampaian hadiah bagi jarak larian 100km disempurnakan oleh Ahli MDB, Tengku Hasif Tengku Fazali dan bagi acara 50km disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar.
Hadiah bagi peserta acara 25km dan 10km pula masing-masing disampaikan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat MDB, Afif Shaari dan Pengurus Jenama SUUNTO Malaysia, Izmal Mukhriz Ismail.

Laluan di Gua Tembus merupakan antara daya tarikan dalam acara larian denai TMB100 2025. 


Dalam pada itu, menurut Mohd. Bukhari lagi, memandangkan acara TMB100 semakin mendapat sambutan dalam kalangan peminat acara larian denai di negara ini, pihaknya merancang untuk memperkenal kategori jarak baharu bagi edisi tahun 2026.

“Berdasarkan pencapaian tahun ini yang menunjukkan jumlah penyertaan meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lalu (2024) dan peratusan peserta tamat larian yang tinggi, maka kami merancang untuk memperkenal dua jarak baharu iaitu 75km dan 160km (100 batu).
“Malah, kami turut mendapat banyak maklum balas daripada peserta TMB100 tahun ini yang mahu kami menawarkan dua jarak larian baharu ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat acara larian denai untuk mencabar keupayaan diri masing-masing,” katanya.

Dua peserta meneruskan larian pada awal pagi berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Pulai di Baling, Kedah. 


Sementara itu, seorang peserta, Nur Natasya Amira Che Mat Zaid, 25, yang menyertai acara 100km mengakui terpaksa berhadapan dengan cabaran yang sangat getir apabila ketahanan mental dan fizikalnya diuji pada tahap diluar jangkaannya.

“Dari segi fizikal, memang perlukan stamina yang tinggi, ketahanan kaki, dan pengurusan tenaga supaya dapat bertahan sehingga ke garisan penamat.
“Dari segi mental pula, ada masa apabila badan sudah penat, fikiran mudah terganggu dan mula rasa nak berhenti. Tapi apabila fikir kembali tujuan mengapa saya menyertai TMB100 ini selain sokongan dari rakan-rakan, akhirnya saya berjaya tamatkan larian.
“Malah, laluan denai yang agak teknikal dengan laluan bukit tinggi serta keadaan cuaca yang panas pada siang dan sejuk pada malam selepas hujan, semuanya menambahkan cabaran kepada semua peserta,” ujarnya yang mengakui telah melakukan persediaan empat bulan lebih awal.
Seorang lagi peserta, Muhammad Azry Zulkarnain, 28, pula menyifatkan percubaan pertamanya dalam acara larian jarak jauh 100km itu sebagai berjaya setelah mampu menamatkan larian di bawah tempoh masa yang ditetapkan.
Bagaimanapun, dia turut mengakui cabaran yang ditempuhi sepanjang lebih 20 jam larian itu telah menyebabkan dia terpaksa menanggung kesakitan pada keseluruhan badan akibat terlalu memerah tenaga semata-mata untuk menamatkan larian. - KitaReporters

10
7
0
11
0
You will be interested