Seni & Sukan 08 Jan, 2026

Video| Dulu popular kemudian terpinggir! Hasrat Isma kembali giat terhalang! Akhirnya terkubur!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Dahulu popular kini dipinggir. Begitulah nasib dialami sejumlah artis veteran yang memberi kesan kejiwaan dan pendapatan kepada mereka. Dan Isma Aliff adalah salah satu artis veteran terpinggir itu.


Isma Aliff ketika zaman kemuncak dan ketika sakit

Dalam usia sudah lanjut, Isma atau nama sebenarnya, Muhammad Latiff Ismail, 61, cuba untuk kembali bergiat dalam bidang seni. 

Baginya untuk kembali menjadi penyanyi  tidak mungkin kerana faktor usia, namun dia masih mampu berlakon, berlawak dan menjadi pengacara majlis untuk mencari rezeki. 

Dia reda dengan kehidupannya yang serba kekurangan dan hidup seadanya dan mengelak menerima bantuan daripada rakan-rakan yang ingin membantu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memberi sumbangan kepada Isma pada Oktober 2024 bagi meneruskan kelangsungan hidup dan belanja rawatan. 

Namun keadaan kesihatannya yang terus merosot sejak beberapa tahun lalu telah menjejaskan keinginan Isma untuk kembali bergiat dalam bidang seni.



Filem 'Marah-Marah Sayang' membantu mempopularkan Isma Aliff (kiri)

Isma adalah antara insan seni berbakat besar yang lahir di negara kita. 

Dia boleh berlakon serius seperti dalam filem pertamanya ‘Mawar Merah’ pada tahun 1985 dan ’Sayang Ibu’. Namun bakat komedinya lebih menyerlah dalam kebanyakan filem seperti ‘Marah-Marah Sayang’ dan ‘Kembar Siam’ dan drama ‘Enot’, ‘Enot Rayalah Pulak’, dan ‘Enot2 VCDlah Pulak’ dan ‘Kampung Meletup’. 

Isma yang merupakan kelahiran Kuala Lumpur berminat dalam bidang seni. 

Dia mengorak langkah setelah mendapat peluang pada 1986 muncul dalam beberapa drama dan program hiburan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Kemunculannya di RTM memberi peluang mengembang bakatnya dalam bidang nyanyian dan lakonan. 

Mengetahui kebolehan Isma membawa lagu bercorak komedi dengan cara tersendiri mendorong salah sebuah syarikat rakaman terkenal dan berpengaruh, EMI menawarkan Isma menjadi artis rakamannya. 

Isma berpeluang membuat empat album bersama EMI bermula 1986 iaitu ‘Eksyen Saja’, ‘Dengar Tau’, ‘Kembara Duka’ dan ‘Macam-Macam Ada’.



Album pertama Isma Aliff

Setelah peluang berlakon dalam filem dan drama TV semakin kurang, Isma memberi tumpuan menjadi pengacara majlis sebagai sumber rezeki utamanya.

Ketika sihat, Isma adalah antara pengacara majlis pilihan ramai. Ini kerana dengan bakat semula jadinya, Isma mampu membuat penonton ceria dengan aksi lucu dan bersahajanya. 


Kerjayanya sebagai pengacara agak laris sehingga dia jatuh sakit pada 15 Disember 2023 dan dimasuk ke Hospital Ampang kerana jangkitan pada jantung dan paru-paru. 

Dan selepas itu, Isma terkena angin ahmar pula menyebabkan dia terpaksa berusi roda dan banyak menghabiskan masa bersendirian di rumahnya di Kampung Melayu Ampang dan pada hari-hari terakhirnya banyak terbaring di rumah.

Isma seperti merasa dirinya sudah sampai ke penghujungnya. 

Menurut adiknya Shamsidah Ismail sejak seminggu lalu dalam keadaan kesihatannya semakin teruk dia selalu bercakap ‘nak balik rumah’. 



Isma menghembus nafas terakhir pada kira-kira jam 8 pagi, Rabu, 7 Januari 2027 dan jenazahnya selamat bersemadi di Tanah Perkuburan Ukays Perdana, Ampang pada jam 6.20 petangnya. 

Beberapa rakan seni turut memberi penghormatan terakhir. Antaranya Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Sheila Mambo, Den Wahab, selain wakil Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Salman Al Farisi.

Sementara rakan baik Isma iaitu Ebby Saiful terkilan kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir kerana berada di Sarawak. 

Turut terkilan ialah Liza Abdullah kerana kesibukan kerja bercadang untuk menziarah Isma pada hari Khamis, 8 Januari 2026.

Isma Aliff akan dikenang sebagai insan seni negara yang berbakat besar. Al-Fatihah. - KitaReporters


Jasad Isma Aliff selamat disemadi di Tanah Perkuburan Ukays Perdana, Ampang.


7
19
0
6
0
You will be interested