Seni & Sukan 04 Aug, 2025

Video| Sekuel keempat Do Re Mi? Balah watak mana nak dimatikan? Hasrat P Ramlee tidak kesampaian!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

TRILOGI ‘Do Re Mi’, antara buah tangan popular Seniman Agung P. Ramlee di Studio Merdeka Hulu Kelang. Bermula daripada ‘Do Re Mi’ (1966), ‘Nasib Do Re Mi’ (1966) dan ‘Laksamana Do Re Mi’ (1972). Allahyarham Ramlee juga terkenal kerana menggarap empat siri komedi ‘Bujang Lapok’ iaitu ‘Bujang Lapok’ (1957), ‘Pendekar Bujang Lapok’ (1959), ‘Ali Baba Bujang Lapok’ (1960) dan 'Seniman Bujang Lapok' (1961). - KitaReporters



TRILOGI ‘Do Re Mi’, antara buah tangan popular Seniman Agung P. Ramlee di Studio Merdeka Hulu Kelang. Bermula daripada ‘Do Re Mi’ (1966), ‘Nasib Do Re Mi’ (1966) dan ‘Laksamana Do Re Mi’ (1972).

Lakamana Do Re Mi’ bukan sahaja filem terakhir trilogi ‘Do Re Mi’ tetapi juga filem terakhir arahan P. Ramlee di Studio Merdeka, Hulu Kelang. Allahyarham meninggal pada 29 Mei 1973 dalam usia 44 tahun.

Ketika di Malay Films Productions (MFP) Singapura, P. Ramlee menggarap beberapa buah filem hebat seperti ‘Penarik Becha’, ‘Semerah Padi, ‘Ibu Mertuaku, ‘Antara Dua Darjat,’ ‘Tiga Abdul’ dan ‘Anakku Sazali’.

Namun Allahyarham juga terkenal kerana menggarap empat siri komedi ‘Bujang Lapok’ iaitu ‘Bujang Lapok’ (1957), ‘Pendekar Bujang Lapok’ (1959), ‘Ali Baba Bujang Lapok’ (1960) dan 'Seniman Bujang Lapok' (1961).

Pendokong watak utama dalam filem-filem ini ialah P. Ramlee sendiri (Ramlee), Allahyarham S. Shamsuddin (Sudin) dan Allahyarham Aziz Sattar (Aziz). Gandingan mereka memang sangat serasi dan sesuai untuk siri filem tersebut.


Pemegang watak utama trilogi 'Bujang Lapok' keluaran Malay Films Productions (MFP) Singapura. Dari kiri Aziz Sattar (Aziz), S. Shamsuddin (Sudin) dan P. Ramlee (Ramlee).


Apabila berpindah ke Kuala Lumpur pada 1964, Allahyarham menggarap beberapa buah filem, antaranya ‘Enam Jahanam’, ‘Sesudah Subuh’, ‘Dr Rushdi’, ‘Putus Sudah Kasih Sayang’, ‘Ragam P Ramlee, ‘Anak Bapak’, dan ‘Keluarga 69’.

Namun seperti di MFP Singapura, P. Ramlee juga ingin menghasilkan filem trilogi di Studio Merdeka. Allahyarham lalu mengilhamkan idea yang mencetuskan ‘Do Re Mi’, ‘Nasib Do Re Mi’ dan ‘Laksamana Di Re Mi’.

Namun P. Ramlee tidaklah dapat berkolaborasi dengan S. Shamsuddin dan Aziz Sattar.  Beliau membentuk gadingan baharu dengan Allahyarham A.R. Tompel dan Allahyarham Ibrahim Din. P. Ramlee memegang watak Do, A.R. Tompel Re dan Ibrahim Din sebagai Mi.


Antara pelakon yang menjayakan trilogi 'Do Re Mi' bersama pengarah P. Ramlee (empat dari kanan) di Studio Merdeka Hulu Kelang.


Do Re Mi’ dan ‘Nasib Do Re Mi’ dibuat pada tahun sama, tahun 1966. ‘Do Re Mi’ juga menampilkan Mahmud Jun dan Noraini Yusof. ‘Nasib Do Re Mi’ turut menampilkan Ghazali Sumantari dan Mahyun Ismail.

Sekuel ‘Laksamana Do Re Mi’ dibuat enam tahun kemudian pada 1972. Filem ini istimewa kerana menampilkan Norizan, bekas isteri P. Ramlee, memegang peranan permaisuri negara Pasir Berdengung. Watak raja dipegang oleh C.M. Bakar. Ia juga menampilkan pelakon Dayang Sulu.  


Pemegang watak utama trilogi 'Do Re Mi'. Dari kiri P. Ramlee, A.R. Tompel  dan Ibrahim Din.


Mahmud Jun, Noraini Yusof bersama P. Ramlee dalam satu adegan filem 'Do Re Mi'. 


Sebenarnya selepas ‘Laksamana Do Re Mi’, timbul cadangan antara P. Ramlee dan A.R. Tompel untuk menyambung sekuel ‘Do Re Mi’, menjadikannya filem keempat dalam siri tersebut.

P. Ramlee bersama A.R. Tompel telah mula menulis skrip dan menyediakan lakon layar filem yang dicadangkan, menunggu waktu untuk penggambaran. Ketika itu masih belum ada tajuk untuk filem tersebut.

Tetapi ada rintangan besar dihadapi bagi merealisasikan pembikinan filem ini. Watak Mi hendak dimatikan. Ibrahim Din yang memegang watak tersebut tidak bersetuju wataknya dimatikan.

Ibrahim Din dikatakan menemui P. Ramlee meminta agar wataknya tidak dimatikan. Sebaliknya dia meminta watak Re (A.R. Tompel) yang dimatikan! Akibat konflik ini persetujuan gagal dicapai.

Akibatnya usaha menyempurnakan sekuel ‘Do Re Mi’ tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. 


Ibrahim Din (kiri), P. Ramlee dan A.R. Tompel dalam satu adegan cemas filem 'Nasib Do Re Mi'.


Selain itu beberapa perkara lain juga berbangkit, yang tidak dapat diselesaikan antara P. Ramlee, A.R. Tompel dan Ibrahim Din. Projek pembikinan filem tersebut tertangguh untuk beberapa minggu.

Projek tersebut terus menemui jalan buntu sehinggalah A.R. Tompel meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur pada 30 Januari 1973.

Demikian ketentuan Allah. P. Ramlee ia dan A.R. Tompel mahu matikan watak Ibrahim Din dalam siri ‘Do Re Mi’ akan datang sementara Ibrahim Din mahu watak A.R. Tompel dimatikan. Ditakdirkan Allah, A.R. Tompel benar-benar mati dahulu!

Selepas pemergian A.R. Tompel, P. Ramlee kehilangan orang kuat filemnya. Ekoran itu dia membatalkan terus hasrat membuat sambungan ‘Do Re Mi’. Allahyarham juga menamatkan kontraknya dengan Studio Merdeka.

P. Ramlee meninggal hanya lima bulan berselang dengan A.R. Tompel, pada 29 Mei 1973 di Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Ini menjadikan ‘Laksamana Do Re Mi’ sebagai sekuel terakhir ‘Do Re Mi’ dan filem terakhir arahannnya di studio tersebut. 

Ibrahim Din pula meninggal dunia pada 16 Jun 1996 di Bandar Baru Sentul setelah lama menderita sakit kencing manis dan darah tinggi.


Norizan, bekas isteri P. Ramlee ditampilkand alam 'Laksamana Do Re Mi' selaku permaisuri negara Pasir Dua Butir. Memegang watak raja ialah C.M. Bakar.


Dari kiri Ibrahim Din, A.R. Tompel, P. Ramlee dan Dayang Sulu dalam adegan tikar terbang filem 'Laksamana Do Re Mi'.


Kenapa P. Ramlee mahu mematikan watak Ibrahim Din yang bermakna jika ada lagi sekual ‘Do Re Mi’ dia tidak lagi akan berlakon? Adakah P. Ramlee telah mendapat pelakon ganti? Atau adakah cadangan sekual keempat itu memang sebagai yang terakhir siri ‘Do Re Mi’?

Tidak dapat dipastikan sebab sebenar. Yang pasti harapan dan cita-cita P. Ramlee menyambung siri ‘Do Re Mi’  tidak jadi kenyataan. Hasrat tidak kesampaian. - KitaReporters

 

 

 

 

 

13
8
0
13
0
You will be interested