Seni & Sukan 26 Nov, 2025

Video| Sensasi Hot FM! 3 aktiviti lasak! Terakhir Bekpes Hot berbasikal 450km Alor Setar-Shah Alam!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Sengitnya persaingan dalam stesen radio swasta memerlukan pihak stesen atau stesen induk mencari kelainan bagi mengekal pendengar dan mencari pendengar baharu kerana jumlah pendengar menjadi tarikan utama bagi sumber pendapatan iklan dan tajaan. 


Di Malaysia persaingan sengit membabitkan tiga stesen iaitu Astro Radio (anak Syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad), Media Prima Audio (MPA) dengan syarikat induknya Media Prima Berhad dan Kumpulan Radio Star Media (bawah Star Media Group Berhad). 

Setiap syarikat radio mempunyai lebih daripada satu stesen. Dan masing-masing stesen cuba melakukan kelainan.

Dan Hot FM di bawah Media Prima Audio (MPA) dalam tempoh setahun (November 2024 – November 2025)  berjaya melakukan siaran dalam tiga aktiviti lasak yang sensasi. 

Kegiatan ‘gila’  itu dilakukan oleh Geng Bekpes Hot yang terdiri daripada empat penyiar iaitu KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar). Farah (Farah Fauzana Mohd Fadzil), Johan (Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz) dan AG (Muhammad Azmir Selamat) dengan dua aktiviti lasak sensasi itu telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) dan ASEAN Records.

Sensasi pertama dilakukan pada kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu, pada 14 dan 15 November 2024. 

Kempen ini mencipta sejarah apabila berjaya melakukan siaran langsung tanpa henti selama 24 jam dari puncak Gunung Kinabalu, sekali gus diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Sementara pada 15 Ogos 2025, penyampai Geng Bekpes Hot nekad turun ke dasar laut Pulau Bidong, Terengganu pada kedalaman 10 meter selama 90 minit sambil bersiaran langsung. 

Ia menjadikan Hot FM stesen radio pertama di Asia mencatat pengiktirafan 'First and Deepest Outdoor Underwater Live Radio Broadcast in Open Sea by Radio Personalities' daripada ASEAN Records.



Dan Hot FM melalui Geng Bekpes Hotnya, kembali membuat ‘kerja gila’ dengan melakukan Kayuhan Berbasikal Hot FM atau ‘Beskal Bekfes Hot @hotfm976’ , mulai Khamis, 20 November 2025 sehingga Isnin, 24 November 2025. 

Kayuhan sejauh 450 kilometer ini bermula dari utara iaitu Alor Setar, Kedah dan berakhir di Galeri SA, Shah Alam, Selangor pada jam 2:09 petang.

Kayuhan basikal Hot FM selama lima hari ini mencabar kerana dilakukan ketika keadaan cuaca tidak menentu. Mereka terpaksa berhujan dan tiupan angin yang agak kuat dan pelbagai ujian fizikal. Kayuhan geng Bekfes Hot turut ditemani sekumpulan marshal bagi menjaga keselamatan serta memberi peluang orang ramai yang ingin berkayuh sama di setiap tempat yang dilalui. Ia juga merupakan peluang bermesra dengan orang ramai di beberapa tempat berehat.




Dan Hot FM membuat siaran luar di beberapa tempat berehat untuk makan dan minum di beberapa gerai dan kedai sepanjang perjalanan. Geng Bekpes Hot juga membuat siaran langsung melalui telefon pintar masing-masing.

Bagi perjalanan hari terakhir geng Bekpes Hot mengayuh lebih 70km dari Kuala Selangor menuju Shah Alam dan ada dalam hujan dan angin dan angin lintang bagi menamatkan misi yang dianggap antara paling mencabar pernah dianjurkan stesen radio Hot FM.

Ketibaan mereka disambut meriah dengan laungan sorakan peminat yang setia menunggu di lokasi akhir kayuhan. 

Suasana gamat dengan kehadiran orang ramai yang tampil memberi sokongan penuh kegembiraan dan kesungguhan, meraikan kejayaan geng Bekpes Hot menamatkan misi bersejarah ini.




Kayuhan lima hari ini turut mencerminkan semangat ketahanan, komitmen dan hubungan erat antara Hot FM dan pendengar, selain memperlihat disiplin tinggi setiap peserta.

Sepanjang misi merentasi beberapa negeri, pasukan Bekpes Hot turut mengadakan siri siaran luar, beramah mesra dengan pendengar serta menyertai pelbagai aktiviti di hentian terpilih yang mendapat sambutan hangat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio, Nazri Noran, kempen terbaharu Hot FM ini bukan sekadar mengenai siaran radio, tetapi usaha membawa jenama Hot FM lebih dekat dengan masyarakat menerusi penganjuran aktiviti di lapangan.

Tambahnya, Kempen Mi Sedaap Beskal Bekpes Hot bukan sekadar kayuhan jarak jauh, tetapi simbolik kepada semangat, disiplin dan sokongan komuniti yang menjadi nadi hubungan antara Hot FM dan rakyat Malaysia.

Menurut Nazri lagi, kempen kali ini juga berbeza dengan  pendakian Gunung Kinabalu dan menyelam di pulau Redang. 

Dalam aktiviti berbasikal dari Alor Setar ke Shah Alam, peserta bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai di setiap hentian.



Projek ‘gila’ Hot FM dijangka diterus pada tahun 2026 namun masih dirahsia.

Tiga ‘projek gila’ Hot FM dicetus oleh KJ (Khairy Jamaluddin) iaitu bekas Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kesihatan, dan Menteri Sains dan Inovasi setelah menjadi salah seorang penyiar Hot FM mulai 15 Februari 2023. - KitaReporters

7
11
0
13
0
You will be interested