Seni & Sukan 22 Sep, 2025

Antara sasaran dan realiti! Atau terus bermimpi? Menanti detik Malaysia julang semula Piala Thomas!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Tiga puluh tiga tahun bukan tempoh singkat. Sejak skuad Malaysia kali terakhir menjulang Piala Thomas pada 1992, piala berprestij itu kekal sebagai igauan yang tidak pernah padam dalam jiwa jutaan peminat badminton tanah air. 


Datuk Rasid Sidek, antara wira yang menyumbang mata kemenangan skuad badminton 1992, menjulang Piala Thomas. - Kredit foto: Malaysiakini. 


Antara wajah-wajah wira badminton negara yang menyingkirkan cabaran Indonesia 3-2 untuk menjulang Piala Thomas 1992. - Kredit foto: Utusan


Tahun 2026, di bumi Horsens, Denmark bakal menjadi pentas penentuan adakah penantian panjang ini bakal berakhir atau harapan tinggal harapan memaksa kita menanti untuk satu tempoh yang lebih lama.

Pada 1992, Stadium Negara di Kuala Lumpur bergema dengan sorakan apabila Malaysia menundukkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir penuh dramatik. 

Nama Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang, Razif dan Jailani Sidek serta Kean Yok Meng diangkat sebagai wira. Ketika itu, Malaysia berdiri megah di puncak dunia. 


Leong Jun Hao menggalas tanggungjawab perseorangan pertama negara terpaksa berdepan barisan pemain elit dunia pada kejohanan Piala Thomas 2026. - Kredit foto: Badminton planet.


Kini, selepas lebih tiga dekad, Rashid Sidek sendiri tampil untuk menghembus semangat bahawa peluang kali ini tetap ada.

Rashid menyifatkan pasukan kali ini seimbang dan keyakinannya itu mengembalikan nostalgia dan membuka lembaran baharu penuh harapan kepada peminat badminton tanah air yang sudah lama dahagakan kejayaan skuad negara menjulang Piala Thomas.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, juga tidak bersembunyi di balik retorik apabila mengumumkan sasaran jelas BAM untuk membawa pulang piala berprestij itu dari Horsens, Denmark semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa BAM pada 16 September 2025 lalu.

Sasaran tersebut bukan satu gurauan, tetapi sarat dengan harapan yang begitu berat untuk digalas skuad negara yang ketika ini masih mencari rentak.


Pemain muda negara, Justin Hoh dijangka mampu menyumbang mata untuk pasukan Malaysia jika mampu meningkatkan kemampuan dalam masa terdekat. - Kredit foto:  The Star.


Cabaran nyata datang daripada kuasa besar badminton seperti China, Indonesia, Denmark, Jepun, Korea Selatan, India dan Chinese Taipei. 

Di atas kertas, perlawanan mungkin menunjukkan peluang seimbang, namun realiti di gelanggang jarang menipu.

Kemampuan kategori perseorangan terus menjadi tanda tanya. Leong Jun Hao, perseorangan utama negara yang kini di ranking 22 dunia bakal menanti cabaran daripada nama-nama besar seperti Shi Yu Qi (China, 1) atau Anders Antonsen (Denmark, 2).

Memang benar Jun Hao pernah mencipta kejutan menyingkirkan nama besar dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini dengan mangsa terbaharu Anthony Ginting pada kejohanan badminton Masters China pada 17 September 2025.

Tetapi mampukah Jun Hao mengulangi keajaiban itu di pentas pertandingan Piala Thomas yang tentunya cukup berbeza tekanan dan cabaran berbanding sirkit kejohanan antarabangsa lain.


Prestasi Lee Zii Jia yang merundum akibat dilanda kecederaan merisaukan kem negara, namun ramai pihak percaya Zii Jia mampu bangkit dan menyumbang mata untuk negara. - Kredit foto: The Star.


Di posisi kedua, Justin Hoh (37 dunia) hampir pasti memikul tanggungjawab besar untuk menghadiahkan mata buat pasukan. Perlu diingat dia masih muda, berbakat, tetapi lawannya bukan calang-calang, daripada Li Shi Feng sehingga Kenta Nishimoto. 

Mata negara mungkin datang daripada Justin, tetapi dengan syarat, perlu taktikal tepat, fizikal mantap, mental kental sebagai jaminan untuk muncul pemenang setiap perlawanan dihadapi.

Lee Zii Jia yang pernah disandatkan harapan besar sebelum ini, kini terperosok di tangga 42 dunia terus menghasilkan menjadi tanda tanya mengenai keupayaannya. 

Pernah digelar bintang paling menyerlah selepas era Datuk Lee Chong Wei, namun kini beliau berdepan perjuangan peribadi melawan kecederaan dan prestasi merudum.

Jika benar turun sebagai perseorangan ketiga, pengalaman antarabangsa dan rekod kejuaraannya masih berpotensi menjelmakan mata berharga.  

Tempoh berbaki enam bulan menjelang kejohanan perlu digunakan sebaik mungkin pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu untuk kembali ke tahap prestasi sebenar. 


Aaron Chia-Soh Wooi Yik sandaran utama Malaysia untuk menyumbang mata negara di kejohanan badminton Piala Thomas 2026. - Kredit foto: Malaysia Gazette.


Jika kategori perseorangan penuh teka-teki, kategori beregu lelaki bagaikan tiang seri harapan Malaysia dengan tiga pasangan negara kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik ( 2 ), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (3), serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun kedudukan ke lapan dunia..

Aaron–Wooi Yik, pasangan beregu dunia yang pernah mencatat kejayaan besar muncul juara kejohanan dunia, diyakini mampu menjadi sumber mata paling stabil. 


Biarpun  prestasi agak merundum kebelakangan ini, Sze Fei-Izzuddin masih diharap menyumbang mata berharga untuk skuad negara. - Kredit foto : Utusan.


Gandingan lain pula memberikan variasi taktikal yang penting. Mereka mungkin bukan dijulang sebagai legenda lagi, tetapi keupayaan mereka cukup untuk menimbulkan gentar kepada lawan.

Malaysia pernah dianggap kuda hitam, tetapi bukankah sejarah 1992 membuktikan keajaiban itu bukan sesuatu yang mustahil. Bezanya kali ini, cabaran jauh lebih getir. 

Dunia badminton kini lebih terbuka, lebih kompetitif, tiada lagi jurang besar antara kuasa besar dan pasukan sederhana, namun apa yang tidak pernah berubah ialah kekuatan moral.


Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu menampung sekiranya dua pasangan utama tidak diturunkan kerana keupayaan ketiga-tiga  gandingan negara hampir seimbang. - Kredit foto The Star.


Kejayaan bukan sekadar terletak pada tangan pemain, tetapi juga sokongan peminat, sorakan, doa, dan keyakinan mampu memacu motivasi pada kala mental pemain diuji.

Sama ada Malaysia berjaya menamatkan penantian atau tidak, Piala Thomas 2026 tetap bakal menjadi pentas ujian maruah antara harapan yang membara dan realiti getir di gelanggang. 

Skuad negara kini menanggung beban impian jutaan rakyat dan siapa tahu, mungkin Horsens, Denmark, akan menjadi saksi sejarah baru. - KitaReporters


Kegembiraan penonoton di Stadium Negara ketika skuad badminton Malaysia menumpaskan Indonesia pada final Piala Thomas 1992. Kredit foto : Harian Metro.



Berikut prestasi Malaysia di kejohanan Piala Thomas sejak tahun 1992 sehingga 2024:

TahunTuan RumahPencapaian MalaysiaCatatan
1992Kuala Lumpur, MalaysiaJuaraMenewaskan Indonesia 3–2 dalam final dramatik.
1994Jakarta, IndonesiaSuku AkhirTewas kepada Indonesia.
1998Hong KongNaib JuaraTewas 2–3 kepada Indonesia.
2002Guangzhou, ChinaSeparuh AkhirDitewaskan Korea Selatan.
2010Kuala Lumpur, MalaysiaSeparuh AkhirTewas 0–3 kepada China.
2014New Delhi, IndiaNaib JuaraTewas 2–3 kepada Jepun dalam final.
2016Kunshan, ChinaSuku AkhirTewas 1–3 kepada Denmark.
2020*Aarhus, DenmarkSuku AkhirTewas 0–3 kepada Indonesia.
2022Bangkok, ThailandSuku AkhirTewas 2–3 kepada India.
2024Chengdu, ChinaSeparuh AkhirTewas 1–3 kepada China.

*Edisi 2020 ditunda ke 2021 kerana pandemik COVID-19.


Senarai Juara Piala Thomas (1992–2024):

Tahun

JuaraNaib Juara
1992Malaysia Indonesia
1994IndonesiaMalaysia
1996IndonesiaDenmark
1998IndonesiaMalaysia
2000Indonesia   China
2002IndonesiaMalaysia (Separuh Akhir)
2004ChinaDenmark
2006ChinaDenmark
2008ChinaKorea Selatan
2010ChinaIndonesia
2012ChinaKorea Selatan
2014JepunMalaysia
2016DenmarkIndonesia
2018ChinaJepun
2020Indonesia

China

2022IndiaIndonesia
2024ChinaIndonesia

9
12
0
14
0
You will be interested