BOLA sepak Malaysia berada di persimpangan penting apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghampiri usia satu abad.
Ulang tahun ke-99 sejak ditubuhkan pada 11 September 1926 sebagai Malayan Football Association (MFA) bukan sekadar angka, tetapi penanda perjalanan panjang sukan nombor satu negara ini.

Sejak awal penubuhan, FAM berperanan sebagai badan penggerak bola sepak negara. Ia lahir pada era kolonial dengan tujuan menyatukan pasukan negeri di bawah satu payung.
Kepimpinan awal turut membentuk identiti FAM. Antara tokoh penting termasuk Almarhum Sultan Ahmad Shah yang terkenal dengan komitmen tinggi terhadap pembangunan bola sepak.
Legasi itu diteruskan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memberi perhatian besar kepada profesionalisme liga dan dasar pembangunan akar umbi.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pula memberi sentuhan moden dengan menekankan struktur organisasi, kewangan yang telus dan sokongan infrastruktur bertaraf dunia.
Semua presiden ini melakar tapak yang berbeza, namun tujuan tetap sama: menjadikan Malaysia kuasa bola sepak serantau dan dihormati di pentas antarabangsa.

Wisma FAM pertama di Jalan Birch (kini Jalan Maharajalela) Kuala Lumpur.

Skuad bola sepak negara ke Sukan Olimpik Munich 1972.
Dari sudut pencapaian, era 70-an dan 80-an dikenang sebagai zaman kegemilangan Harimau Malaya. Layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan 1980 menjadi bukti kemampuan sebenar pemain tempatan.
Namun selepas itu, bola sepak negara bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk isu pentadbiran, pemain makan rasuah, liga yang tidak konsisten dan kejatuhan ranking dunia.
Sempena ulang tahun ke-99, sinar baharu mula kelihatan. Prestasi Harimau Malaya di bawah bimbingan jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia memberi harapan segar.
Kemenangan 1-0 ke atas Palestin baru-baru ini bukan sekadar tiga mata, tetapi simbol kebangkitan semula semangat bola sepak negara.
“Pemain menunjukkan karakter besar di padang. Kemenangan ini bukti kita mampu bersaing walaupun lawan ranking lebih tinggi,” ujar Cklamovski.
Momentum itu hadir selepas Malaysia turut menampilkan persembahan kompetitif dalam kelayakan Piala Dunia zon Asia, sekali gus meningkatkan keyakinan penyokong.

Harimau Malaya yang dibarisi anak tempatan dan pemain warisan sedia mengaum di pentas antarabangsa.
Satu lagi faktor penting ialah kemunculan pemain warisan. Ramai bakat berdarah Malaysia di luar negara memilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Nama-nama seperti Dion Cools serta Corbin Ong dan terbaharu beberapa pemain termasuk Facundo Garces, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal berpotensi menambah kekuatan pasukan yang semakin seimbang.
FAM melihat trend ini sebagai peluang memperkukuh skuad kebangsaan, selari dengan visi membina pasukan campuran antara pemain tempatan termasuk bintang meningkat naik Arif Aiman Hanapi dan tenaga warisan.
“Kami tidak mahu bergantung pada satu sumber sahaja. Gabungan pemain tempatan, warisan dan pembangunan akar umbi akan jadikan pasukan lebih mantap,” ujar seorang pegawai FAM.

Mokhtar Dahari merupakan legenda bola sepak negara yang tiada galang ganti.

Arif Aiman menjadi tunjang utama skuad Harimau Malaya.
Dari segi infrastruktur, Malaysia sudah mempunyai Liga Super profesional, fasiliti moden seperti di Johor dan Kuala Lumpur, serta pusat latihan kebangsaan yang semakin lengkap.
Namun, untuk menyaingi Jepun, Korea Selatan atau Arab Saudi, masih banyak ruang perlu diperbaiki, terutama dalam aspek kejurulatihan, sains sukan dan konsistensi liga.
Jepun contohnya, membina program '100 tahun bola sepak' sejak 1993 dan kini menuai hasil dengan pemain bertaraf dunia di liga Eropah.
Korea Selatan pula menekankan sistem pendidikan bola sepak bersepadu, manakala Arab Saudi melabur besar dalam liga domestik sebagai magnet bakat antarabangsa.
Malaysia perlu mencari acuan tersendiri, mengambil inspirasi daripada negara maju tetapi menyesuaikan dengan konteks budaya dan kemampuan tempatan.

Wisma FAM di Kelana Jaya.
Dalam konteks penyokong, sambutan kepada skuad Harimau Malaya semakin hangat. Kehadiran puluhan ribu penonton atau disebut "ekor" Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil membuktikan sokongan masih utuh.
Media sosial juga menjadi platform penyokong berkongsi semangat, menjadikan pasukan kebangsaan sebagai simbol perpaduan rakyat.
FAM mengakui menjelang ulang tahun ke-100 pada 2026 bukan hanya untuk meraikan sejarah, tetapi titik tolak ke arah masa depan lebih agresif.
“Kami mahu 100 tahun FAM dikenang sebagai era perubahan. Sasaran kami jelas, layak ke Piala Dunia bukan lagi mimpi,” kata Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Bagi mencapai misi itu, FAM sedang menilai semula dasar pembangunan belia, memperkukuh liga wanita dan meningkatkan kerjasama antarabangsa.
Akademi bola sepak juga digalakkan menghasilkan pemain yang bukan sahaja berbakat, tetapi memiliki disiplin, mentaliti profesional dan kecergasan bertaraf dunia.
Jurulatih asing dan tempatan diberi kursus lanjutan supaya metodologi latihan lebih moden dan tidak ketinggalan dengan arus global.

Pusat Latihan Kebangsaan yang turut menempatkan pejabat FAM di Putrajaya giat dalam pembinaan.
Harimau Malaya kini di persimpangan sambil disulam sejarah hampir 100 tahun, momentum positif di bawah Coach Cklamovski dan sokongan rakyat, bola sepak Malaysia mampu kembali digeruini.
Persoalannya, adakah FAM mampu mengekalkan konsistensi, menutup jurang dengan kuasa Asia dan akhirnya mengibarkan Jalur Gemilang pada padang Piala Dunia? Jawapannya akan ditentukan dalam dekad baharu bola sepak negara. - KitaReporters