

Bersiap sedialah, para pencinta si bulus!
Sebuah pentas agung yang dinantikan kini menjadi kenyataan apabila TV3 buat julung kalinya mempersembah 'Cat Fashion Week', (Minggu Fesyen Kucing) pertandingan fesyen kucing yang bakal mencuri perhatian lensa kamera dan hati juri, sekali gus mengangkat si comel berbulu ke taraf selebriti "runway".
Program ini bukan sekadar pertandingan, malah merupakan perayaan gaya, kasih sayang, dan ekspresi unik dalam dunia fesyen kucing yang belum pernah disaksikan di kaca televisyen Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam industri hiburan tempatan.
Kini, impian untuk melihat kucing kesayangan melangkah penuh yakin di pentas peragaan dan menjadi ikon fesyen rasmi negara akan menjadi kenyataan.
Sesi prapenjurian atau pusingan separuh akhir yang bertemakan "Meow Menyala, Gaya Membara!" telah menyaksikan 20 ekor kucing paling bergaya lengkap dengan gaya tersendiri dan pemilik yang penuh karisma, tampil memperagakan fesyen luar biasa demi merebut tempat dalam kelompok lapan finalis terbaik.
Dengan penuh keyakinan dan cat-titude tersendiri, setiap pasangan kucing dan pemiliknya bertarung demi menempah tiket ke peringkat akhir Cat Fashion Week.


Ada yang malu-malu, dan ada juga yang lincah menjelajah set seolah-olah sudah biasa di pentas peragaan, Seawal proses penjurian, suasana studio di Glenmarie dipenuhi debaran dan keterujaan,
Dalam lautan meow, gebu bulu dan kilauan couture khas untuk si comel, kegusaran tetap terpancar pada wajah pemilik.
Namun mereka tetap bersedia, menyampaikan naratif tersendiri tentang kisah dan inspirasi di sebalik gaya yang dipilih untuk ‘meow-del’ masing-masing, sebelum melangkah ke catwalk dan mempersembahkan aksi comel mengikut tema yang diketengahkan.
Keunikan masing-masing terserlah bukan sahaja melalui penampilan, tetapi juga melalui ekspresi dan gaya mereka di pentas -- ada yang penuh anggun dan berkeyakinan, ada pula yang bersahaja namun tetap memikat hati para juri dengan keaslian dan aura tersendiri.
"Meow Menyala, Gaya Membara!" bukan sekadar tagline — ia benar-benar diterjemahkan sepanjang sesi prapenjurian pada Ahad, 22 Jun 2025 lepas yang diadili empat juri hebat. iaitu Dr. Ima (Dr. Salehahtul Khuzaimah), seorang doktor veterinar; Johan & His Cats (Johan Eskandar), pencipta kandungan digital yang dikenali sebagai Raja Kucing Malaysia; Yuen Wai, wakil juri Malaysia di bawah The Federation International Feline (FIFe); dan Mark Adam, penyanyi, pelakon serta pencinta kucing.

Barisan juri... Mark Adam, Yuen Wai, Dr. Ima dan Johan Eskandar.
Sesi perjurian turut diperkukuh dengan kehadiran Khalid Rashid, atau lebih dikenali sebagai Pak Khalid, yang bertindak sebagai penasihat juri.
“Saya bangga melihat betapa pemilik hari ini semakin kreatif dan penyayang terhadap haiwan peliharaan mereka. Pertandingan ini bukan sekadar tentang fesyen, tetapi tentang hubungan dan empati,” ujar Pak Khalid.
Manakala, Dr Ima, bukan sahaja menilai dari sudut penampilan, malah kesihatan dan kesejahteraan kucing juga turut menjadi perhatian, menambah, “Saya suka bila ada peserta yang walaupun tampil dengan fesyen kreatif, masih menjaga keselesaan kucing mereka. Bila pemilik bijak seimbangkan gaya dan keselesaan, itu kemenangan sebenar.

Bagi Johan & His Cats, yang cukup dikenali dengan empayar lebih 30 kucing eksotiknya, berkata, “Kita bukan sekadar menilai pakaian, kita menilai personaliti dan chemistry kucing bersama tuan mereka. Ada seekor tu... dia pandai posing macam profesional, saya terpegun!”
Yuen Wai, pula menyifatkan pertandingan ini sebagai satu bentuk pendidikan masyarakat.
“Pertandingan seperti ini membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih mengenali standard penjagaan dan pembawaan kucing yang baik. Ia bukan sekadar pertunjukan fesyen, tetapi juga satu pendidikan tentang tanggungjawab sebagai pemilik,” katanya.


Mark Adam turut berkongsi pendapat, “Sebagai pencinta kucing, saya terhibur dan tersentuh melihat bagaimana kasih sayang ditunjukkan melalui fesyen dan gaya. Setiap pasangan ada cerita tersendiri, itu yang buat pengalaman ini benar-benar menarik bagi saya.”
Sementara itu, Pengurus Besar Kandungang TV3, Marlia Zul Amran, menyatakan bahawa Cat Fashion Week membawa konsep yang "fresh" dan unik, serta diyakini mampu menyentuh jiwa penonton di seluruh negara.
“Kami percaya program ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga menjadi platform yang menyatukan pencinta haiwan peliharaan melalui kasih sayang dan kreativiti yang tiada batas.
"Lebih daripada sebuah pertandingan fesyen, ia adalah tentang hubungan istimewa antara manusia dan haiwan kesayangan mereka yang memaparkan emosi, komitmen dan keindahan interaksi yang jarang dapat disaksikan. Kami mahu penonton turut sama merasai keterujaan ini dalam setiap episod yang akan ditayangkan nanti,” ujar Marlia.


Di sebalik tirai Cat Fashion Week, bilik persalinan dipenuhi momen manis dan penuh kasih di mana pemilik melakukan proses grooming dengan teliti, menyisir bulu, menyarung aksesori, memeluk, menenangkan, dan membisikkan kata semangat kepada kucing masing-masing.
Detik-detik spontan turut mencuit hati; ada yang berguling manja, ada yang pose seolah-olah tahu mereka sedang dirakam.
Momen-momen inilah yang menjadikan Cat Fashion Week bukan sekadar program pertandingan, tetapi satu pengalaman visual dan emosi yang luar biasa, memperlihat bagaimana seekor kucing boleh menjadi selebriti di pentas mereka sendiri.
Antara baka kucing yang bertanding termasuklah Persian, British Shorthair, Domestic Long Hair, Ragdoll, Siberian dan pelbagai lagi jenis yang mempesonakan,


Setelah kesemua aspek dinilai dengan teliti, hanya lapan ‘meow-del’ yang benar-benar menyerlah dan berjaya mencuri perhatian para juri dipilih untuk mara ke peringkat akhir.
Ingin tahu siapa yang tersenarai dalam Top 8? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya dalam segmen khas Cat Fashion Week menerusi program Nona, mulai 29 Jun ini, setiap Ahad jam 2 petang sehingga 17 Ogos 2025.
Selain itu, terdapat kapsul eksklusif Cat Fashion Week yang akan menemui penonton setiap Ahad jam 7.50 malam bermula 27 Julai hingga 10 Ogos 2025, yang akan mengikuti perjalanan Top 8 kucing terpilih.
Pentas Akhir Cat Fashion Week pula akan disiarkan pada 17 Ogos 2025, Ahad jam 9 malam, di mana juara akan dinobatkan dengan persembahan artis tempatan dan hos selebriti.

Cat Fashion Week menawarkan ganjaran lumayan kepada para pemenang: Juara Utama (RM5,000); Naib Juara (RM3,000) dan Tempat Ketiga sebanyak RM2,000
Tidak ketinggalan, peserta yang berjaya mara ke Top 8 turut menerima saguhati sebanyak RM1,000 setiap seorang.
Menambah keistimewaan penganjuran tahun ini, Cat Fashion Week turut memperkenal Anugerah Felix, Si Bijak dan Si Lincah sebuah penghormatan eksklusif buat kucing yang benar-benar menyerlah dari segi gaya dan pesona semula jadi.
Siapakah yang akan dinobatkan sebagai ratu atau raja runway di pentas peragaan kucing pertama yang bakal disiarkan secara eksklusif di TV3 ini kelak? Kita tunggu! - KitaReporters