
KECUALI Gabriel Palmero yang berasal dari Sepanyol, Peter Cklamovski nekad mempertaruh barisan anak jati Malaysia dalam babak pertama biarpun ketinggalan 1-0 kepada Cape Verde seawal minit kesembilan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya ini cuba meyakini kemampuan barisan pimpinan Matthew Davies sedangkan lawan dari Afrika itu berada di ranking ke-72 dunia yang jurangnya begitu jauh berbanding tuan rumah, ke-131.
Namun warga Australia ini akhirnya akur sedikit adunan pemain naturalisasi lagi memang diperlukan dalam babak kedua sehingga terbukti mengekang pelawat 1-1 pada perlawanan antarabangsa tahap 1 ini di depan 10,708 hadirin Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

PAULO Josue mendepakan tangan meraikan jaringan penyamaan Harimau Malaya pada minit ke-79. - Kredit foto: FAM
Daripada ditinggalkan Cape Verde dengan gol rembatan kencang jarak dekat Sidny Lopes Cabral setelah memperdaya bek kiri, Daniel Sang Ting, tim Peter bangkit menyamakannya menerusi tolakan penyerang kelahiran Brazil, Paulo Josue pada minit ke-79.
Gerakan gol berharga itu bermula dengan lontaran bola ke dalam oleh pengganti Daniel, La’Vere Corbin-Ong dan rembatan Endrick Dos Santos juga bekas warga Brazil yang tertampan serta umpanan Quentin Cheng lantas disudahi Josue.
Namun jika siri percubaan Gabriel, Faisal Halim dan Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi dan Ubaidullah Shamsul Fazili lebih tajam, Harimau Malaya sebenarnya mampu mengejutkan Si Jerung Biru kendalian Pedro Leitao Brito dengan satu dua gol lagi.
Malah Peter mengulas dalam sidang media pascaperlawanan: “Saya agak kecewa kami tidak menang tetapi kami mengambilnya dengan positif daripada perlawanan ini.
“Kami bermain menentang lawan yang getir yang menguji kemampuan kami terutama dalam bertahan dengan lebih agresif,” katanya, dipetik daripada video sebuah portal media selepas perlawanan 29 Mei 2025 itu.

UBAIDULLAH Shamsul Fazili (19) diumum Pemain Terbaik Perlawanan, mengasak Sidny Lopes Cabral yang menggamamkan tuan rumah dengan gol minit kesembilan. - Kredit foto: FAM
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed seperti biasa mengawal gawang sambil bek tengah menggandingkan tenaga muda, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ubaidullah yang diapit kiri, Daniel dan kanan, Matthew, manakala Gabriel ditolak sebagai perantara.
Nooa Laine dan Nazmi Faiz Mansor juga menjana bahagian tengah sambil Arif dan Faisal menggerakkan kedua-dua sayap kanan dan kiri, manakala Safawi Rasid tampil agak asing apabila diberikan peranan penyerang.
“Sama ada yang bermain Liga Malaysia atau di seberang laut, mereka semuanya pemain Malaysia dan antara yang terbaik sahaja menjadi pilihan saya ketika ini.
“Saya juga meyakini pemain-pemain muda,” kata Peter yang mengutip keputusan positif kedua selepas Harimau Malaya membaham Nepal 2-0 ketika membuka kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu.
Walau bagaimanapun pasukan negara diakui masih menagih khidmat dua lagi tonggak, bek tengah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools dan seorang lagi perantara naturalisasi, Hector Hevel kelahiran Belanda yang hanya akan melapor diri mulai 1 Jun 2025 ini.

PETER Cklamovski merehatkan tiga pemain naturalisasi Harimau Malaya bagi 78 minit pertama, namun tanpa penyerang kelahiran Colombia, Romel Morales bagi menguji kaji tenaga tempatan. - Kredit foto: FAM
Malaysia dan Cape Verde yang pencapaian terbaiknya ke suku akhir Piala Negara-negara Afrika (Afcon) 2013 dan 2023 akan menyambung pertembungan mereka dalam perlawanan latihan secara tertutup pula di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun 2025 ini.
Berkemungkinan besar perlawanan ini dilangsungkan dalam tiga fasa dengan setiap satunya selama 35 minit bagi menguji kesiapsiagaan Harimau Malaya dan lebih peluang Cape Verde beraksi selepas bertandang sejauh 13,541 kilometer dan terbang 13 jam ke Kuala Lumpur.
Skuad negara juga akan menyambung kempen kelayakan dengan berdepan pendahulu Kumpulan F yang di ranking ke-109 dunia, Vietnam atau digelar Pahlawan Bintang Emas yang dikendalikan oleh Kim Sang-sik dari Korea Selatan juga di Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 ini. - KitaReporters
MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies (Shahrul Saad), Daniel Sang Ting (La’Vere Corbin-Ong), Harith Haiqal Adam Afkar, Faisal Halim (Endrick Dos Santos), Safawi Rasid (Paulo Josue), Arif Aiman Hanapi (Stuart Wilkin), Gabriel Palmero (Quentin Cheng), Noo Laine, Ubaidullah Shamsul Fazili, Nazmi Faiz Mansor.

SAFAWI Rasid (11) cuba melepaskan rembatan ke gawang Cape Verde yang dijuluki Tubaroes Azuis (Jerung Biru) sambil diawasi Jovane Cabral. - Kredit foto: FAM