Seni & Sukan 27 Apr, 2025

Tim Piala Asia Astaf KL 2025! Zuhri terlepas! Khairul tersenarai! Kembalinya Sobey dan Afifuddin!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

ZUHRI Zain membarisi regu ketiga Piala Dunia Istaf 2024 namun tidak terpilih ke Piala Asia Astaf mulai 10 Mei 2025 ini. - Kredit ST


ZUHRI Zain menjadi satu-satunya tekong skuad Piala Dunia Istaf 2024 yang terlepas kempen Piala Asia Sepak Takraw Astaf dari 10 hingga 18 Mei 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Turut terpinggir selain pemain lampai Selangor itu ialah Riezman Faizul dari Kuala Lumpur dan pengumpan Pulau Pinang, Zaim Razali dengan ketiga-tiganya juga merupakan pelatih Program Podium sejak 2 Januari 2025 lalu.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah menamakan skuad 15 pemain Piala Asia dengan masing-masing hanya boleh bermain dua daripada empat acara yang dipertandingkan iaitu berpasukan, regu, beregu dan kuadran (berempat).

Pada 21 April 2025 lalu, skuad negara diundi dalam Kumpulan A kuadran dengan Filipina, Jepun dan China; Thailand, Taiwan dan Nepal bagi Kumpulan B beregu; Filipina, Nepal dan Singapura (Kumpulan D regu) dan Korea Selatan, Brunei dan Jepun (Kumpulan B berpasukan).

Juara Piala Dunia 2024, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi seperti diduga kekal dipertaruh bagi acara beregu dengan simpanannya, Redwan Hakim Muhammad - bertukar dengan Shahalril Aiman Halim ketika mereka kandas separuh akhir Piala Dunia di Bihar, Mac 2025 lalu.

Acara beregu disebut-sebut mendapat tumpuan para peminat lebih awal memandangkan musuh tradisi yang juga juara di Bihar, Thailand bakal membuat perhitungan juara Kumpulan B dengan tuan rumah pukul 9.30 malam, 10 Mei 2025.


SHAHALRIL Aiman Halim melepaskan rejaman gulung padu pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand 2024 di Korat sambil diawasi Aidil Aiman Azwawi (11). - Kredit foto: ST 


Si Gajah Putih walau bagaimanapun didapati tidak membawa sang juara di Bihar, Phutawan Sopa/Rachan Viphan dan Thawisak Thongsai ke Piala Asia.

Mereka sebaliknya menampilkan muka baharu - Boonkoom Tipwong/Sirisak Anuloon tetapi mengekalkan Tanaphon Sapyen yang berpengalaman Piala Dunia 2024 di ibu kota.

Dalam Piala Dunia tersebut, Noraizat/Aidil menewaskan Kittiphum Sareebut/Seksan Tubtong 17-16, 15-13 namun Phutawan (Thawisak)/Rachan menundukkan gandingan negara 15-9, 17-15, 17-15 di Bihar.

Justeru Piala Asia ini ibarat set penentuan (tie-break) buat Malaysia-Thailand termasuk sekiranya mereka bertemu kembali pada perlawanan akhir 12 Mei 2025.  

Bagi kuadran yang tirai saingannya disingkap pada 10 Mei 2025, Malaysia membariskan Zarif Marican Ibrahim Marican, Fetri Azwadi, Shahalril, Afifuddin Razali, Amirul Zazwan Amir dan Norfaizzul Razak iaitu gandingan seorang tekong, tiga perejam dan dua pengumpan.

Ekoran kegagalan ke suku akhir di Bihar, kuadran benar-benar menagih khidmat perejam berpengalaman lantas kepulangan Afifuddin, 33, sejak mengalungi Malaysia dua pingat perak Sukan Asia Hangzhou 2023, mampu menepati penambahbaikannya.

Namun seperti beregu, servis acara kuadran adalah dari luar garisan belakang gelanggang, sekali gus tidak memerlukan tekong khusus untuk melakukannya.


KEBANYAKAN pemain Piala Dunia 2024 yang dikekalkan ke Piala Asia 2025 (dari kiri), Syahir Rosdi, Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir, Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi. - Kredit foto: ST


Regu negara pula mencipta sedikit kejutan apabila nama perejam Terengganu, Khairul Aman Rosdi terselit antara lima pemain tetapnya iaitu Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam (tekong), Azlan Alias dan Farhan Adam (pengumpan). 

Khairul, 22, mungkin diperlukan kerana variasi gaya rejaman gulungnya bagi mengimbangi serangan Malaysia yang mengutamakan libasan kalih atau Maniam oleh Azlan. Shahalril atau digelar Abang yang menjadi perejam simpanan regu Piala Dunia 2024 juga penggemar gulung.

Berpasukan turut menarik dengan kepulangan Zulkifli Razak atau lebih dikenali sebagai Sobey sejak Sukan SEA Kemboja 2023 yang mungkin mendukung watak ‘Joker’ (Pengacau) atau tekong keempat yang boleh menyesuaikan diri dengan ketiga-tiga regu.

Susunan regu acara berpasukan negara juga bakal mengutamakan Syahir, Azlan, Farhan diikuti yang kedua - Haziq, Shahalril, Amirul dan ketiga - Zarif, Noraizat dan Aidil manakala dua lagi pemain simpanan mungkin Fetri (perejam) dan Norfaizzul (pengumpan).

Di depan hampir 3,000 penonton, Malaysia kempunan gelaran berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 dengan tewas 2-1 kepada Thailand (9-15, 15-11, 15-13), (8-15, 5-15), (12-15, 12-15). - KitaReporters


SKUAD PIALA ASIA MALAYSIA:

Haziq Hairul Nizam, Zarif Marican Ibrahim Marican, Syahir Rosdi, Zulkifli Razak (tekong), Azlan Alias, Noraizat Nordin, Shahalril Aiman Halim, Fetri Azwadi, Khairul Aman Rosdi, Redwan Hakim Muhammad, Afifuddin Razali (perejam), Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Aidil Aiman Azwawi, Norfaizzul Razak (pengumpan).


MALAYSIA mengharungi Piala Asia Astaf 2025 tanpa Baihakki A'ripin dan Zaim Razali (depan, dua dan empat dari kiri) serta Zuhri Zain (belakang, tiga dari kiri). - Kredit foto: ST  

11
7
0
11
0
You will be interested