Seni & Sukan 20 Apr, 2025

Bicara Seni| Video| Hebat karya Erma! Dr Maza puji! Dr Zulkifli komen! Berjaya bakar jubah Walid!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
.


Drama bersiri dalam talian ‘Bidaah’ sebanyak 15 episod, skrip Erma Fatima dan arahan  Mohd Fazli Yahya (Pali) walaupun sudah berakhir pada bulan Ramadan 2025 dalam platform penstriman Viu, namun ia telah menjadi fenomena dan masih diperbincang sejumlah masyarakat. 

Watak Walid Muhamad dibawa oleh Faizal Hussein menjadi perhatian.

Drama striming ini memperlihat keberanian Erma sebagai penulis skrip melalui syarikat produksinya Rumah Karya Citra dalam mendedahkan satu isu sensitif iaitu penyalahgunaan agama oleh golongan berkepentingan. Ia membongkar sisi gelap manipulasi agama atas nama keimanan.


Di sebalik jubah dan gelaran suci itu, terselindung ajaran sesat, perkahwinan paksa, eksploitasi seksual dan kawalan psikologi ekstrem.

Antara dialog yang diingati dalam drama ini ialah, “Pejamkan mata, bayangkan muka Walid.” Dialog ini mencerminkan kedalaman manipulasi terhadap pengikut oleh tokoh berkarisma yang penuh tipu daya.

Erma dalam pengakuan dalam satu video mengakui drama ‘Bidaah’ ityu adalah berdasar kisah benar yang dialami sejumlah gadis yang ingin menuntut agama. Dan secara kebetulan Erma sendiri berguru dengan ‘walid’ itu beberapa tahun dahulu di sebuah daerah di Semenanjung Malaysia.

ERMA FATIMA

MOHD FAZLI YAHYA (PALI)

Tayangan dalam Viu Malaysia dan Viu Indonesia telah mencapai tontonan lebih 2.5 bilion menjadi ia sebagai drama secara striming paling tinggi tontonannya di Malaysia dan Indonesia dalam pengstriman Viu.

Sebagai drama penstiman yang tular, ‘Bidaah’ mendapat pandangan pro dan kontra. Ada yang memuji akan keberanian pendedahan itu. Namun tidak kurang juga yang mengkritik keras. 

Dan beberapa agamawan turut tertarik dengan pembikinan drama itu. Antaranya ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (lebih dikenali sebagai Dr Maza).

Dr Maza memuji keberanian Erma dan Pali mendedahkan ‘kesesatan’  yang dilaku oleh penunggang agama yang boleh menjejas kesucian Islam. Dr Maza memberi kenyataan itu dalam laman Instagramnya, drmaza_official baru-baru ini.




“Hebat bagi sebuah karya seni yang berjaya membakar jubah 'walid-walid' yang selama ini bersembunyi atas nama kerohanian untuk menghisap harta dan diri pengikut mereka. 

"Akhirnya, mereka mula kepanasan dan mengulas dengan penuh emosi. Ketika mereka mengangkat jubah bimbang terkena api, mereka terlupa perkara lain pula yang terdedah.”

Sebelum itu pada 13 April 2025, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal `agama), bekas senator dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut memberi ulasan mengenai drama ‘Bidaah’ dalam Instagramnya.



“Semalam, sukar untuk saya melelapkan mata. Entah tidak pasti sebabnya. Jadi, saya ambil keputusan untuk menonton drama yang mendapat liputan meluas di Malaysia dan negara jiran iaitu ‘Bidaah’. 

"Ada 2 perkara utama yang membuatkan saya berfikir panjang; (i) kesesuaian tajuk drama ini dan (ii) gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif yang kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar tasawwuf dan tarikat yang murni menurut al-Qur’an dan al-Sunah. 

"Insya-Allah, saya akan ulas dengan terperinci dalam masa terdekat. Apa pun, tahniah kepada saudara Pali Yahya dan Puan Erma Fatima untuk penghasilan drama ini.”

Orang ramai menanti penuh debaran ulasan terperinci mengenai drama ‘Bidaah’.


Walid Muhammad dan isteri-isterinya


Salah satu babak kontroversi memperlihat seorang isteri memegang janggut Walid Muhammad dengan kakinya.

Sementara itu Erma belum memikirkan untuk menyambung drama ‘Bidaah’ atau membuat drama bersiri lain berkaitan ‘penunggang agama’.

Dalam pada itu, popularnya drama ‘Bidaah’ dalam Viu Indonesia membuat ada pihak ingin menghasilkan ‘Bidaah’ dalam bentuk filem.

Walaupun terdapat beberapa filem Malaysia berjaya ditayang di Indonesia, namun tiada filem yang mampu mencatat kejayaan pecah panggung. (boxoffice). Mungkin ‘Bidaah’ mampu mencatat pecah panggung di Indonesia. - KitaReporters


8
13
0
14
0
You will be interested