BAGI anda generasi Z, cuba tanya emak-emak apakah drama berbentuk kepolisan yang mereka sukai sejak dahulu lagi?
Pasti jawapan mereka adalah drama bersiri Gerak Khas, terbitan Skop Productions milik Datuk Yusof Haslam. Drama ini bersiaran sejak 5 April 1999 hingga 27 Mac 2021. Satu tempoh yang begitu lama untuk sebuah drama berbentuk kepolisan.
Malah, drama ini juga telah mempengaruhi anak muda untuk menyertai badan beruniform tersebut.
Impak positif daripada drama ini bukan calang-calang. Ia juga menaikkan nama barisan pelakon seperti Abby Abadi, Datuk AC Mizal, Norman Hakim dan ramai lagi.

Gerak Khas pernah diterbitkan dalam bentuk filem pada tahun 2001. - Kredit Foto: Google Image.
Oleh kerana drama ini terlalu lama disiarkan dalam televisyen, imej dan
watak yang ada dalam drama ini melekat dalam diri pelakon itu sendiri seperti
DCP Datuk Helmi (Yusof Haslam), DSP Aleza (Abby Abadi), DSP Kumar
(C. Kumaresan), ACP Haris (Norman Hakim), Sub Inspektor Hashim (A. Galak) dan ramai
lagi.
Namun di sini, penulis ingin tekankan kepada tunjang utama drama ini iaitu Yusof Haslam. Beliaulah yang menjadikan drama ini kekal malar, nostalgia dan menaikkan nama serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada mata umum.
Justeru, tidak hairanlah kalau sehingga kini jasanya masih diingati oleh PDRM. Malah, beliau pernah menerima penganugerahan Asisten Komisioner Polis (Penolong Pesuruhjaya Polis atau ACP) Kehormat daripada PDRM pada 2012 kerana aktif menghasilkan drama kepolisian.

Yusof Haslam hadir berpakaian lengkap uniform PDRM.
Pada 18 April 2025 lalu, kelibat penerbit, pengarah dan juga pelakon
tersohor itu dapat dilihat ketika majlis perasmian Balai Polis Bandar Country
Homes di Rawang, Selangor. Kelibatnya dirakam oleh para peminat yang turut
hadir ke majlis tersebut dan dikongsi dalam media sosial.
“Datuk Yusof Haslam, kita minat awak. Kecil-kecil dulu cerita Gerak Khas
tak tinggal saya tengok,” tulisnya.
Dalam video yang dikongsi kelihatan Yusof Haslam baru sahaja tiba di
lokasi dan disambut oleh anggota bertugas. Kehadirannya itu sudah pasti
mendapat perhatian ramai. Beliau kelihatan segak lengkap beruniform (berseragam) PDRM.
Namun, pemakaiannya itu membuatkan segelintir netizen mempersoalkannya. Ada yang tidak berpuas hati bagaimana seorang rakyat biasa boleh menyarungkan baju beruniform tersebut.

“Orang lain penat-penat berlatih nak sarung uniform, dia senang-senang
pakai uniform,” luah seorang netizen yang tidak berpuas hati.
Ada juga netizen tertanya-tanya adakah beliau benar-benar anggota polis atau hanya lakonan. “Dia ni polis betul ke atau lakonan? Orang awam mana boleh suka-suka pakai uniform,” tulisnya.

Persoalan itu turut dijawab oleh sesama netizen. Menurut salah seorang netizen, oleh kerana pelakon tersebut pernah menerima anugerah ACP daripada PDRM, maka dia layak memakai uniform tersebut.
“Dia layak pakai sebab pangkat ACP kehormat yang dia dapat secara rasmi daripada PDRM. Cuma dia tak boleh saman dan tahan orang,” jelasnya.

Manakala yang lain juga turut mengeluarkan pendapat yang sama.
“Ramai mempertikaikan kenapa boleh pakai baju polis. Pertama beliau dapat pangkat kehormat atas jasa beliau menaikkan imej polis. Gen Z mana tahu Gerak Khas, Roda-Roda Kuala Lumpur dan filem Maria Mariana,” tegasnya.

Kalau mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 89 (c), Akta Polis 1967, mana-mana individu yang bukan pegawai polis tidak dibenarkan memiliki, memakai dan menggunakan pakaian seragam polis kecuali dengan kebenaran pihak polis.
Jadi, sudah tentulah Yusof Haslam telah mendapat kebenaran pihak polis untuk menyarungkan uniform tersebut sementelah dia juga pernah menerima penghargaan daripada PDRM. - KitaReporters
