.
Zaleha Hamid, 67, berbakat besar dan menjadi antara penyanyi yang berjaya bertahan lebih 50 tahun sebagai insan seni.
Bermula sebagai penyanyi berirama Hindustan sejak awal 1970-an ketika masih berusia pertengahan belasan tahun dengan menjadi penyanyi wanita Orkes Zindegi. Zindegi dalam bahasa Hindi bermaksud ‘Kehidupan’.
Ia memperlihatkan Zaleha atau nama penuhnya Siti Zaleha Abdul Hamid adalah penyanyi versatil. Dan Zaleha adalah anak merdeka. Dia lahir pada 31 Ogos 1957.


Kelebihan Zaleha adalah dia mampu mengekalkan suaranya seperti baru berusia 20-an walaupun sudah berusia atas 50-an.
Justru Zaleha dianggap seperti penyanyi adik beradik mendiang Lata Mangeshkar dan Asha Bhosle yang masih mampu mengekalkan suara muda walaupun usia sudah lanjut.
Ketika irama pop yeh yeh mula menurun sambutannya pada hujung tahun 1960-an, muzik irama Hindustan cuba dipopularkan dalam muzik Melayu. Dan ini membuat beberapa penyanyi pop yeh yeh beralih ke irama Hindustan mulai 1969.
Antaranya penyanyi yang popular dengan lagu ‘Tiga Kupang’ bersama kugiran The Hook, A Romzi yang beralih ke irama Hindustan apabila berganding dengan isterinya (ketika itu), S Roha.
Sementara Rickino Bajuri yang merupakan penyanyi dan pemain gitar kumpulan The Cliffters juga menjadi anggota Orkes Zindegi dengan menjadi pemain gitar bassnya.
Muncul juga beberapa nama penyanyi irama Hindustan seperti Hussein Marican yang juga pemimpin Orkes Brahmachari, Syamsuar Hashim, Sharifah Noor dan S Roha.
Selepas Sharifah Noor meninggalkan Orkes Zindegi, Zaleha Hamid ditawar menjadi penyanyi kumpulan irama oleh pemimpin Orkes Zindegi. Zaleha dianggap cukup berbakat ketika itu walaupun masih berusia pertengahan belasan tahun.


Dia mewarisi bakat seni ibunya, seorang pemain bangsawan manakala ayahnya ialah seorang pemain biola yang terkenal suatu masa dahulu.
Bersama Orkes Zindegi, Zaleha merakam 14 album berbentuk EP. Zaleha berpeluang menyanyi di seluruh negeri di Malaysia selain Singapura.
Bagaimanapun pada akhir tahun 70-an, pengaruh irama Hindustan mulai malap, menjadikan Orkes Zindegi dibubarkan. Namun ia tidak mematahkan semangat Zaleha untuk terus menjadi penyanyi.
Dengan kebolehannya menyampai lagu-lagu berirama dangdut, Melayu Deli dan pop Melayu telah menarik minat syarikat rakaman paling popular popular pada awal 1970-an untuk menjadikan Zaleha sebagai artis rakamannya.
Komposer muda berbakt besar (ketika itu), S Atan menjadi insan yang mengubah Zaleha sebagai penyanyi berirama dangdut.
S Atan melihat Zaleha mampu bersaing dengan sejumlah penyanyi dangdut Indonesia ketika itu.
S Atan mencipta beberapa lagu berirama dangdut untuk Zaleha dengan liriknya dihasilkan oleh penulis lirik terkenal dari Singapura ketika itu iaitu Haron Abdul Majid.


Zaleha Hamid digelar sebagai ‘Ratu Dangdut’ oleh Allahyarham Haron Abdul Majid iaitu salah seorang penulis lirik lagunya pada tahun 80-an dahulu. Dan kemudian gelaran itu diiktiraf oleh Berita Harian Singapura serta di Malaysia
Zaleha hampir dilupa oleh pengikut muzik Melayu era baharu. Hingga ada yang menganggap Ratu Dangdut Malaysia adalah Mas Idayu dan Amelina. Mas Idayu dan Amelina popular sebagai penyanyi dangdut pada hujung tahun 1980-an, sedangkan Zaleha sudah popular dengan irama dangdut sejak awal tahun 1980-an.
Selain lagu-lagu berirama dangdut, Zaleha turut diberi peluang merakamkan lagu-lagu bercorak Melayu Deli dan pop. Zaleha telah merakam 10 album studio sejak 1982 hingga 1995.
Zaleha pernah diundang menjadi juri dalam Dangdut Acedamy Asia anjuran saluran TV Indosiar Indonesia. Namun dia menolak kerana kerana berasa tidak sesuai menjadi juri.
Kesihatan Zaleha mulai menurun sejak tahun 2019. Namun dia tetap hadir untuk menerima untuk menerima sumbangan RM10,000 dalam segmen Kongsi Rezeki dalam pertandingan akhir Gegar Vaganza Musim 5 pada Ahad, 22 Disember 2019.
Ia merupakan kemunculan terakhir Zaleha di TV. Balik ke rumahnya di Johor Baharu bersama suaminya Ungku Sulaiman Ungku Aziz, Zaleha terjatuh di dalam bilik air pada jam 5 pagi, pada Isnin 23 Disember 2019.
Selepas itu Zaleha menerima sumbang zakat daripada Zakat Johor dan sumbangan bulanan daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) untuk belanja perubatan dan kelangsungan hidup.

Zaleha meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada Khamis, 19 Jun 2025 pukul 8.30 malam di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor. Alahyarham meninggalkan suami, tiga anak dan enam cucu.