Seni & Sukan 13 May, 2025

Redwan jadi Pak Pacak Piala Asia Astaf je ke? Beregu menghampakan! Juara kuadran sekadar sagu hati!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


ADA pemain simpanan tetapi tidak digunakan! Jadi apa fungsi Redwan Hakim Muhammad dalam perlawanan akhir acara beregu Piala Asia Sepak Takraw Astaf pada 12 Mei 2025?

Selama 85 minit dia hanya menjadi ‘Pak Pacak’ atau ‘Perejam Patung Cendana’ di tepian gelanggang Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Sekadar diarahkan memanaskan badan dan menengok rakan bertarung?

Thailand ada keberanian dan kesanggupan serta kenekadan tetapi bagaimana dengan barisan jurulatih dan pengurus pasukan Malaysia?

Jika tidak berani mencuba, manalah kita tahu kalau-kalau ‘happy ending’ (penamat ceria) yang  kita idamkan, berlaku pula.


PENGURUS pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat (kiri), jurulatih Aswadi Abdullah, Aidil Aiman Azwawi, Noraizat Nordin dan Redwan Hakim Muhammad. - Kredit foto: PSM


Prawet Intra, bekas perunding skuad kebangsaan kita, menukar terus perejam kidalnya, Boonkoom Tipwong dengan Tanaphon Sapyen ketika Thailand ditinggalkan 4-8 dalam set pertama lagi.

Bersama pengumpan, Sirisak Anuloon, Si Gajah Putih yang tewas set pertama 7-15, berjaya bangkit untuk memenangi set kedua, 15-10 seterusnya mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 15-12 dalam set penentuan.

Padahal Prawet pasti berpuas hati dengan penampilan sulung Boonkoom (juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Teqbol Dunia 2024) ketika Thailand menewaskan Malaysia 15-10, 17-15 dalam perlawanan Kumpulan B tanggal 10 Mei 2025.

Adakah hendak menunggu Noraizat Nordin mahupun Aidil Aiman Azwawi tercedera serius, barulah tim negara menyedari kepentingan Redwan yang terlepas Piala Dunia Istaf 2024 di stadium ini kerana kecederaan dan digantikan Baihakki A’ripin.


TANAPHON Sapyen melepaskan rejaman gulung sambil diadang Noraizat Nordin yang menadah badannya serta diawasi Sirisak Anuloon (22) dalam perlawanan akhir beregu Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: PSM


Redwan hanya dimasukkan dalam set kedua menggantikan ‘Si Bangau’ menentang lawan kerdil, Nepal di mana tuan rumah menang selesa dalam perlawanan yang hanya seperti latihan pemanas badan pada 10 Mei 2025, 15-7, 15-5.

Perejam berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu pun bukanlah terlalu mentah dengan pentas antarabangsa jika pengalaman yang menjadi alasannya kerana dia bersama-sama Noraizat turut menganggotai barisan pemenang pingat perak Sukan SEA Vietnam 2022 di Hanoi.

Lantas kempunanlah beregu kita untuk mengalungi Malaysia, gelaran beregu seperti Piala Dunia Istaf 2024 di hadapan lebih 2,000 penyokongnya termasuk mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan.

Noraizat/Aidil selain Baihakki menjinakkan juga bekas perunding Malayisa, Seksan Tubtong/Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 untuk menjuarai beregu Piala Dunia Istaf 2024. 

Kejayaan Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Razak dan Amirul Zazwan Amir di samping simpanan, Fetri Azwadi dan Zarif Marican Ibrahim Marican merangkul gelaran acara kuadran (berempat) walaupun patut diberikan ‘emojikon ibu jari’, belum memadai atau mampu menandingi gelaran beregu jika dimenangi dengan menumbangkan Si Gajah Putih.


NORAIZAT Nordin (3) melonjak tinggi untuk memagari libasan gulung Boonkoom Tipwong sambil kedua-dua rakan pengumpan mereka, Aidil Aiman Azwawi (17) dan Sirisak Anuloon mengawasi. - Kredit foto: PSM


Jepun masih di ranking dunia lebih rendah atau kalangan yang corot Divisyen Perdana biarpun mereka mengejutkan Vietnam pada separuh akhir kerana pasukan Asia Tenggara itulah yang memintas Malaysia ke suku akhir kuadran Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada Mac 2025 lalu.

Tentu ramai peminat tertanya-tanya ke mana dan mengapa bukan Thailand sebagai lawan final itu sampai Malaysia boleh menjuarainya? 

Afifuddin, Shahalril, Norfaizzul dan Amirul memberikan sagu hati penawar itu kepada penyokong tanah air dengan kemenangan 15-8, 15-11 hanya dalam tempoh 47 minit tetapi kalaulah Thailand dibenarkan bermain kuadran, mungkin lain skrip dan kesudahan kisahnya.


PRAWET Intra (kanan) dengan penolongnya, Somporn Jaisinghol dan beregu Thailand, Tanaphon Sapyen (2), Boonkoom Tipwong (5) dan Sirisak Anuloon. - Kredit foto: PSM


Kecuali Malaysia, setiap negara peserta hanya boleh bermain tiga daripada empat acara yang dipertanding dalam Piala Asia Astaf ini termasuk regu dan berpasukan yang finalnya dijadualkan 15 dan 18 Mei 2025.

Kini tinggal acara berpasukan yang mampu menjadi medan penebus kehampaan Noraizat, Aidil dan Redwan kerana setiap pemain Malaysia yang memiliki 15 pemain berbanding 12 orang buat 12 negara peserta lain, hanya dibenarkan menyertai dua daripada empat acara.

Malaysia turut dihampakan Thailand 2-1 (9-15, 15-11, 15-13), (8-15, 5-15), (12-15, 12-15) dalam perlawanan akhir berpasukan Piala Dunia Istaf 2024. - KitaReporters


TANAPHON Sapyen (2) dan Sirisak Anuloon memasang 'pagar kembar' terhadap libasan kalih Noraizat Nordin (3) sambil diawasi Aidil Aiman Azwawi pada final beregu Piala Asia Astaf 2025. - Kredit foto: ST   


LALUAN MALAYSIA KE PERLAWANAN AKHIR

Beregu:

Kalahkan Nepal 15-7, 15-5; dikalahkan Thailand 10-15, 15-17; kalahkan Taiwan 15-11, 17-14 (Kumpulan B); kalahkan India 15-12, 15-12 (separuh akhir).

Kuadran:

Kalahkan China 15-10, 15-3; kalahkan Filipina 15-6, 16-17, 15-8; kalahkan Jepun 17-15, 15-10 (Kumpulan B); kalahkan Korea Selatan 15-13, 15-8 (separuh akhir).


GANDINGAN Malaysia juara kuadran Piala Asia Astaf 2025 (dari kiri), jurulatih Zulkarnain Arif, Amirul Zazwan Amir, Afifuddin Razali, Norfaizzul Razak, Shahalril Aiman Halim, Zarif Marican Ibrahim Marican dan Fetri Azwadi. - Kredit foto: PSM    


AFIFUDDIN Razali membalas kepercayaan PSM yang memanggilnya semula ke skuad negara Mac 2025 lalu dengan rejaman kemenangan perlawanan akhir kuadran Piala Asia Astaf 2025 menentang Jepun. - Kredit foto: PSM 


SHAHALRIL Aiman Halim menujah tapak dalam rejaman gulungnya untuk mengakali Narawa Wataru (6) dan Takano Sejya (2) sambil diawasi Afifuddin Razali dalam final kuadran Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025. - Kredit foto: PSM

10
9
0
7
0
You will be interested