SETELAH tular gambar edit yang didakwa sebagai wajah anaknya Muhammad Bilal Muhammad Haris dalam aplikasi TikTok beberapa hari lalu, selebriti dan usahawan popular, Noor Neelofa Mohd Noor akhirnya mengalah setelah sekian lama memegang pendirian untuk tidak mendedahkan wajah anaknya.
Neelofa, 33, akhirnya berkongsi foto dan rakaman video anaknya yang sudah berusia 8 bulan dalam Instagramnyanya pada malam Rabu, 12 Oktober 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan selebriti Neelofa
Menerusi perkongsian itu, Neelofa menyifatkan kehadiran Bilal sebagai antara kecintaan tertinggi dan teragung dalam kehidupannya.
Neelofa yang menggelarkan dirinya sebagai ummi turut menyifatkan kelahiran Bilal sebagai hadiah berharga yang dikurniakan oleh Allah kepada dirinya dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Ritz, 27, yang tiada tolok bandingnya di dunia ini.
“Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cintakan anak mereka, apatah lagi sewaktu mereka kecil.
“Bilal anak ummi sayang… Allah zahirkan kamu dalam hidup ummi dan abah begitu sempurna.
“Jika kekayaan yang nak dibandingkan, maka kaulah yang paling berharga buat ummi dan abah. Jika keselesaan yang ditaruhkan, tiada taruhan yang dapat dibandingkan dengan senyumanmu.
“Terima kasih wahai Allah yang menzahirkan anak ini kepada kami. Semoga afiyyah sentiasa untuknya, semoga fakih dia dalam agama,” tulisnya.
Neelofa menyifatkan perbuatan individu terbabit sebagai tindakan yang tidak menghormati dirinya sebagai ibu dan kecewa apabila keputusannya untuk memperkenalkan Bilal pada masa yang sesuai tidak dihormati.
Tambah Neelofa dia dan suami PU Riz sudah merancang waktu yang sesuai untuk memaparkan wajah sebenar Bilal.
Neelofa dan PU Riz bernikah pada 27 Mac 2021 dan Bilal lahir pada 29 Januari 2022. Dan Bilal genap berusia 8 bulan pada 29 September 2022 lalu.
Keinginan untuk melihat wajah Bilal semakin membara apabila seorang pengguna TikTok @bebelancikmin baru-baru ini memaparkan perkongsian video wajah seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa sebagai Bilal.
Walau bagaimanapun, @bebelancikmin tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kesahihan gambar tersebut.
Neelofa bagaimanapun tampil menafikan video yang tular dalam laman Tiktok tersebut bukan anaknya, Muhammad Bilal.