Seni & Sukan 25 Sep, 2023

Video| Kes Yazan sepak pengadil: Hantar balik! Bagi talak tiga! Beri hukuman maksimum! - Subkhiddin

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

 


“Hantar dia elok2..balik ke rumah mak bapak dia…’Talak 3’…demikian ciapan bekas pengadil kebangsaan dan antarabangsa, Subkhiddin Mohd Salleh yang menarik perhatian netizen terutama peminat bola sepak.

Walaupun tidak menyatakan secara terus-terang namun warga bola sepak tanah  air dapat meneka apa yang beliau maksudkan. Berdasarkan komen yang mereka tinggalkan, peminat mengaitkan ciapan itu dengan insiden pemain import Selangor FC, Yazan Al-Arab menyepak pengadil semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC pada Ahad, 24 September, 2023.


SUBKHIDDIN mahu FAM lebih tegas menangani insiden kekasaran ke atas pengadil.


Ketika dihubungi KitaReporters, Subkhiddin yang kini terbabit dengan tugasan pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China, mengakui ciapannya memang merujuk kepada insiden berkenaan yang dianggapnya sebagai keterlaluan.

“Perbuatannya sangat tidak beradab dan terang-terangan melanggar peraturan. Dalam undang-undang bola sepak, menyentuh pengadil adalah satu kesalahan apatah lagi menyepaknya. 

“Kalau pun dia tidak berpuas hati dengan pengadil yang melayangkan kad merah kepadanya, dia tidak boleh bertindak mengikut emosi. 

"Mana-mana pemain atau pasukan yang tidak berpuas hati dengan mutu atau keputusan pengadil, mereka boleh membuat aduan melalui saluran yang disediakan, bukannya mengambil undang-undang di tangan sendiri.

“Apatah lagi sebagai sebagai pemain import, dia sepatutnya menunjukkan teladan yang baik, bukan saja kepada rakan sepasukan malah kepada penyokong dan generasi muda bola sepak kita. 

"Pasukan membayar gaji yang mahal untuk dia membimbing pemain tempatan, bukan mempamirkan sesuatu yang negatif sebegini,” kata Subkhiddin. 

Sambil meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman yang berat ke atas Yazan, Subkhiddin juga mencadangkan agar Selangor FC menamatkan kontrak pemain dari Jordan itu.

“Pada saya, FAM tidak boleh bertoleransi dengan insiden seperti ini kerana jika tidak dibendung, ia akan melarat menjadi satu penyakit yang sukar dikawal. Sudah banyak kes berlaku sebelum ini, sudah sampai masanya FAM bertindak lebih tegas.


INSIDEN pengadil dikejar dalam satu perlawanan liga bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI), yang tular baru-baru ini.


“Terbaru, kita lihat keganasan ke atas pengadil sudah menular kepada liga daerah apabila pengadil dihambat oleh pegawai pasukan dalam satu perlawanan di Ipoh. Insiden ini dapat dilihat satu dunia apabila ia ditularkan melalui media sosial serta menjadi perbualan peminat.

“Justeru dalam kes Yazan, saya berharap FAM akan mengenakan hukuman maksimum untuk dijadikan pengajaran kepada pemain lain agar tidak mengulangi perbuatan sebegini.

“Dalam hal ini, FAM perlu mencontohi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memang tidak berkompromi dengan sebarang insiden membabitkan pemain dengan pengadil. Contohnya, penjaga gol JDT (Johor Darul Ta’zim), Farizal Marlias pernah dikenakan hukuman berat oleh AFC kerana mengasari pengadil,” katanya.

Subkhiddin merujuk kes Farizal yang dikenakan hukuman gantung perlawanan selama 12 bulan dan denda sebanyak AS40,000 (RM170,567) oleh Jawatankuasa Tatatertib AFC kerana didapati bersalah mengasari pengadil perlawanan pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara pada 31 Mei, 2017. 

“Malah, saya mencadangkan agar Selangor juga mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontrak Yazan serta merta. Bagi ‘talak tiga’ dan hantar dia balik kampung,” tegasnya.


YAZAN yang tidak berpuas hati dlayangkan kad merah dirakam menyepak pengadil dari belakang. - Kredit foto: AGENSI


Pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 namun kelebihan dua gol yang dimiliki skuad Terengganu hasil kemenangan 2-0 pada suku akhir pertama di Stadium Sultabn Mizan Zainalk Abidin, Gong Badak, minggu lalu, menyaksikan Sang Penyu mara ke separuh akhir dengan agregat 3-1.

Insiden membabit Yazan tercetus selepas dia dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir. Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pemain pertahanan berkenaan bertindak menyepak bahagian punggung pengadil.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan, FAM membayangkan tindakan tegas akan diambil ke atas Yazan malah menurut Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Noor Azman Rahman, laporan berkaitan insiden itu sudah dihantar kepada Lembaga Tatatertib FAM.

“Saya tidak boleh pastikan bentuk hukuman akan dikenakan kepada Yazan, cuma daripada apa yang kita lihat memang dia tidak akan terlepas begitu saja,” kata Noor Azman. - KitaReporters


AKSI Yazan semasa perlawanan Selangor-Terengganu pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ. - Kredit foto: FB Selangor FC

 

15
26
0
12
0
You will be interested