Seni & Sukan 15 Sep, 2023

Jom Jatuh Cinta dengan mat bunga, Lah Ahmad! Buat konsert kedua di Istana Budaya pada 7 Okt 2023!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

Single terbaharu Lah Ahmad, 'Jatuh".



Penyanyi yang popular dengan lagu-lagu berkonsepkan kerohanian, Lah Ahmad yang sudah pun berumah tangga dan mempunyai tiga orang cahaya mata kini kembali ‘Jatuh Cinta'?

Jatuh Cinta dengan siapa? Mungkin itu pertanyaan pertama yang tercetus dalam hati kan?

Jangan risau, pemilik bernama penuh, Abdullah Ahmad, 43, ini hanya ‘Jatuh Cinta’ di Istana Budaya waima bakal mengadakan konsert solo keduanya tahun ini (2023) di pentas berprestij Istana Budaya pada 7 Oktober 2023 ini.

“Sejak dari dulu saya memang terikat dengan lagu-lagu cinta. Kalau dulu kat sekolah boleh dikatakan 'mat bunga' lah. 

"Saya memang akan mencari satu tarikan sebagai pemacu untuk membuat kerja dan kerana itu memilih judul ‘Jatuh Cinta Live kat Istana Budaya,” ujar Lah ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert “Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya’ yang berlangsung di Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada 13 September 2023.

Turut hadir penerbit bagi syarikat penganjur, Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd, Qaseh Anita Abdul Shukur;  Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar dan Pengarah Persembahan SSD Projects Sdn Bhd, Ahmad Ariffin Ahmad.


Dari kiri: Ahmad Ariffin, Lah Ahmad dan Qaseh Abdul Shukor.


Menurutnya tajuk itu dipilih memandangkan ia ada hubung kait dengan semua kerana sampai bila pun cinta akan bertahan lama sejak Nabi Adam dan Hawa lagi.

“Saya nak rapatkan sistem kekeluargaan dalam sebuah rumah tangga dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa paling penting mak dan ayah kena jatuh cinta dan berkomunikasi secara elok dengan anak-anak supaya anak-anak pun berkelakuan baik,” jelas Lah yang bakal menyampaikan 21 buah lagu dalam tempoh persembahan lebih kurang dua jam.

Menjanjikan kelainan daripada persembahan konsert terdahulunya, ’25 Years Lah Ahmad Live in Concert’ yang berlangsung pada akhir Januari 2023 lalu, Lah memberitahu akan ada elemen kejutan namun masih dirahsiakannya.

“Saya juga akan membawa lagu-lagu yang belum pernah saya nyanyikan sepanjang kerjaya selama lebih 20 tahun dalam industri dan juga beberapa lagu ketika bersama kumpulan VE kerana tidak semua tahu saya lahir dari kumpulan itu malah anak saya pun tak tahu,” jelasnya jujur disusuli ketawa hadirin.



Berkongsi tentang persediaannya menghadapi konserrt yang hanya tinggal lebih kurang tiga minggu lagi, Lah memberitahu memang perlulah kawal pantang larang sebagai penyanyi.

“Saya lebih selesa jika dapat berpuasa sebelum konsert dan kurangkan minum air sejuk. Bila puasa boleh plan badan kita agar badan kita, tekak kita dan hati kita bersih  agar penyampaian kita cantik dan elok termasuk  kesihatan fizikal, perlu berjalan lebih sikit sebagai senaman,” tambah penyanyi yang pernah memenangi Persembahan Vokal Terbaik (bersama Jaclyn Victor) menerusi lagu ‘Ceritera Cinta’ pada Anugerah Juara Lagu ke-22.

Untuk rekod, sepanjang pembabitan Lah Ahmad di dalam industri, beliau telah menerbitkan 4 buah album di mana antara lagu yang popular adalah Sempurna dan Terbaik, Adinda, Kerna Sayang dan Ayu waima judul lagu-lagu itu juga dijadikan antara nama untuk tiket konsert, yang kini sudah boleh dibeli.

Menurut pihak penganjur, setekat ini sambutannya amat menggalakkan dengan jualan tiket sudah pun melebihi 70%.


Bergambar bersama rakan strategik di antaranya Hotel Ideas Kuala Lumpur yang menjadi lokasi penginapan rasmi konsert diwakili oleh Suhailliazman Johari selaku Penolong Pengurus Eksekutif IDEAS, (empat dari kanan) serta Zubaidah Mukhtar (dua dari kanan) dari Istana Budaya.


“Sudah semestinya pemilihan Lah Ahmad untuk konsert ini juga adalah berdasarkan keupayaan beliau memberikan persembahan secara langsung dan jiwa beliau yang sentiasa memberikan persembahan terbaik kepada peminat. 

"Saya yakin sejarah Lah Ahmaf yang sudah pun menjangkau lebih dari 25 tahun dalam industri masih mendapat sokongan ramai dan konsert ini insya-Allah akan habis terjual menjelang konsert,” ujar Qaseh yakin.

Konsert yang julung kali anjuran Rubbertapper Production House ini akan diarahkan oleh Dato’ Reduan Yusof sebagai Pengarah Projek manakala Muhammad Shahwalnaz Hussin yang merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya akan bertindak sebagai Pengarah Muzik.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Mycreative Ventures di atas sokongan kerajaan yang berterusan  \kepada pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital Persembahan  Muzik," akhiri Qaseh.



Antara kelainan pada konsert kali ini, Lah Ahmad akan bergabung bersama Orkestra Simfoni Universiti Malaya di bawah pimpinan Profesor Dr. Hanafi Husin iaitu Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya waima pemilihan lokasi konsert di Istana Budaya bersesuaian dengan konsep persembahan bertaraf antarbangsa dan berprestij.

Dan jika nak tahu siapa penyanyi undangan pemilihan Lah Ahmad, silalah ke Konsert ‘Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya’ pada 7 Oktober ini nanti ya! - KitaReporters

15
14
0
17
0
You will be interested