Seni & Sukan 23 Sep, 2021

Tahniah Harimauwati Malaya! Tumpaskan Palestin 2-0! Tapi hilang punca dikalahkan Thailand 4-0!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


SKUAD wanita Malaysia meraikan gol kedua terhadap Palestin (putih merah). - Kredit foto: FAM


MENANG juga Harimauwati Malaya!

Sekalipun sudah terlambat untuk melangkah ke pusingan akhir, sekurang-kurangnya tiga mata masih memadai sebagai ‘ole-ole’ dari Tebing Barat, Palestin.

Skuad kendalian Jacob Joseph ini menewaskan tuan rumah 2-0 ketika mengakhiri kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2021 di Stadium Faisal Al-Husseini pada 22 September 2021.

Sesudah dibelasah Thailand 4-0 di gelanggang sama pada 19 September 2021 lalu, perlawanan kedua Malaysia dalam Kumpulan H ini juga hanyalah berupa pelengkap jadual tetapi masih mampu meningkatkan ranking dunia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak wanita


Jaringan Andrea Lee Xin Yi pada minit ke-57 dan kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur Seargeant Singh yang menyudahi sepakan percuma, minit ke-81 memastikan kemenangan sulung tersebut.

Andrea menyambar kesilapan pemain lawan ketika cuba mengeluarkan bola dengan tolakan masuk selepas satu umpanan lintang dari sebelah kanan oleh Jaciah Jumilis.

Steffi pula melepaskan rembatan kencang lebih 30 meter yang gagal ditangkis penjaga gol Palestin bagi mengukuhkan kedudukan pelawat.


ANDREA Lee Xin Yi (dua dari kiri) membuka tirai gol Malaysia gara-gara kesilapan lawan. - Kredit foto: FAM


Harimauwati Malaya sepatutnya perlu menumpaskan Palestin sehingga 5-0 ke atas untuk memintas Thailand sambil berharap ihsan tuan rumah untuk menjinakkan pendahulu Kumpulan H itu biarpun misinya seperti hampir mustahil pada 25 September 2021 ini.

Ranking dunia dan pengalaman beraksi dalam dua Piala Dunia 2015 dan 2019, jauh memisahkan Thailand dengan kedua-dua lawan ini. Malah dalam setiap Kejohanan Wanita AFF dan Sukan SEA lalu, kemenangan dengan kenduri gol sentiasa berpihak kepada negara jiran utara ini.  

Kata Steffi: “Perasaan saya amat gembira, memang sasaran saya untuk jaringkan satu gol di Palestin. Saya juga memang mahukan gol itu menerusi sepakan bebas dan akhirnya saya dapat juga menjaringkannya.”

Pasukan negara katanya, turut bermain cukup baik mengikut taktikal Jacob yang akhirnya berjaya membawa pulang tiga mata.


STEFFI Sarge Kaur Seargeant Singh (nombor 10) meraikan gol kedua pasukan negara dengan penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan. - Kredit foto: FAM


“Saya harap selepas ini kita boleh adakan banyak liga wanita dalam mencungkil pemain-pemain baharu menyertai dan memperkuatkan pasukan negara.

“Bola sepak wanita ada potensi dan cuma perlu komitmen dan disiplin yang tinggi. Saya juga harap pemain-pemain tidak berhenti berlatih dan kekal cergas mental dan fizikal,” katanya.

Andrea walau bagaimanapun menganggap jaringannya tetap datang daripada usaha sepasukan.

“Saya bertuah dan bersyukur dapat bermain untuk Malaysia di Palestin. Saya juga gembira dapat jaringkan gol dan berterima kasih kepada jurulatih kerana berikan kepercayaan dan peluang ini.

“Gol saya hasil kerjasama dan sokongan sentiasa rakan sepasukan. Dalam setiap kejohanan yang kami main, azam kami ialah berikan yang terbaik,” katanya.


STEFFI (kanan) ketika berdepan Thailand yang membelasah Harimauwati Malaya 4-0 pada 19 September 2021 lalu. - Kredit foto: FAM


Jacob mengalungkan pujian kepada anak-anak didiknya yang beraksi lebih baik berbanding ketika berdepan Thailand.

“Dengan Thailand, mereka gementar, kelam-kabut dan tidak tahu apa hendak buat.

“Berdepan Palestin, saya katakan mereka perlu menikmati permainan terlebih dulu, barulah segalanya berhasil. Dibandingkan kita (hanya berlatih 25 hari tanpa perlawanan persahabatan), Palestin cukup bersedia sejak lebih dua bulan termasuk menyertai Piala Arab Wanita (di Mesir, 26 Ogos hingga 6 September 2021),” katanya.


SKUAD wanita negara seperti ketiadaan idea bagaimana untuk mengekang kegarangan Thailand (jersi merah). - Kredit foto: FAM


Empat atau lima pemain tuan rumah ujarnya, diakui bagus namun Malaysia mengamalkan corak sepasukan untuk mencapai kemenangan yang terbukti berkesan.

“Kami kini menanti sama ada Sukan SEA Hanoi akan dilangsungkan atau tidak pada 2022 selepas ditunda dari November 2021 ini. Adakah pada April atau Mei 2022? Kalau diteruskan, kami kena kembali berlatih selepas sebulan kembali daripada kelayakan ini,” katanya. - KitaReporters


HARIMAUWATI Malaya menanti sama ada misi berikutnya, Sukan SEA Hanoi akan diteruskan pada 2022 atau dibatalkan gara-gara Covid-19. - Kredit foto: FAM

10
11
0
11
0
You will be interested