Seni & Sukan 20 Jun, 2021

Saham Coca-Cola merudum! ‘Saham’ Ronaldo meningkat! Cipta rekod! 300 juta pengikut Instagram!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


Saham Coca-Cola merudum tapi ‘saham’ Cristiano Ronaldo pula meningkat!

Gara-gara aksi selambanya ‘menolak’ minuman Coca-Cola pada sidang media Euro 2020 menjelang perlawanan Portugal- Hungary, Rabu,16 Jun 2021 lalu, ‘saham’ bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo meningkat apabila dia mencipta rekod baharu sebagai individu pertama di dunia yang mempunyai paling ramai pengikut di Instagram - 300 juta orang!

Ia membuktikan Ronaldo kini lebih popular daripada selebriti seperti Ariana Grande yang mempunyai 244 juta pengikut dan Kylie Jenner (241 juta). Malah seteru utamanya di tengah padang, Lionel Messi masih kurang 81 juta apabila hanya memiliki 219 juta pengikut sahaja.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Cristiano Ronaldo

Ronaldo mengalih minuman Coca-Cola sebaliknya memilih air kosong semasa sidang media Euro 2020 sebelum perlawanan menentang Hungary, pada 16 Jun 2021 lalu. - Kredit foto: Agensi.


Saingan terdekat Ronaldo sekarang adalah bekas jaguh gusti nombor satu dunia yang kini menjadi pelakon, Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock yang mempunyai 246 juta pengikut.

Dengan rekod baharu itu, bermakna jumlah pengikut Ronaldo meningkat seramai 100 juta dalam tempoh satu setengah tahun selepas meraih 200 juta pengikut pada Januari 2020 lalu.

Jumlah pengikut yang cukup ramai itu bermakna Ronaldo berpotensi meraih pendapatan £780,000 (RM4.4 juta) untuk setiap hantarannya, menurut laporan HopperHQ.


Populariti penyanyi, Araina Grande (atas) dan pelakon yang juga bekas ahli gusti, Dwayne 'The Rock' Johnson (bawah) gagal menyaingi Ronaldo. - Foto: Instagram.



Betapa besarnya pengaruh pemain Portugal berusia 36 tahun itu, dia bukan sahaja mampu menggegarkan jaring gol lawan malah menyebabkan saham sebuah syarikat merudum.

Tindakannya mengalihkan botol minuan Coca-Cola yang ‘dihidangkan’di depannya sebaliknya memilih untuk minum air kosong semasa sidang media Euro 2020 menjelang perlawanan menentang Hungary itu menyebabkan nilai pasaran syarikat itu susut AS$4 bilion (RM16.5 bilion).

Namun Coke tidak mudah ‘koyak’ sebaliknya menangani isu itu dengan tenang apabila menyatakan setiap orang mempunyai hak untuk memilih minuman mereka.

Jurucakap minuman itu berkata: "Pemain diberikan air kosong bersama Coca-Cola dan Coca-Cola tanpa gula apabila tiba di sidang media."

Coca-Cola adalah antara penaja Euro 2020 dan berdasarkan laporan Bloomberg, penaja kejohanan membelanjakan sekitar 30 juta euro (kira-kira RM148 juta) untuk menempatkan jenama mereka pada acara berkenaan.


Kredit foto: Agensi


Selain Coca-Cola, terdapat beberapa jenama lain turut menjadi penaja kejohanan itu termasuk jenama minuman keras Heineken.

Gelagat Ronaldo itu kemudian berjangkit pula kepada pemain tengah Perancis, Paul Pogba apabila mengalihkan botol Heineken pada sidang media selepas diumumkan sebagai ‘Pemain Terbaik Perlawanan’ semasa pasukannya mengalahkan Jerman 1-0 pada perlawanan Kumpulan F, Rabu, 16 Jun 2021.

Namun tindakan Pogba dapat diterima kerana sebagai seorang yang beragama Islam, dia berhak menolak jenama yang memang sinonim dengan minuman memabukkan meskipun difahamkan minuman yang disediakan kepadanya pada hari itu bebas alkohol.

Malah, tindakan Pogba itu tidak sedikit pun menjejaskan pasaran jenama berkenaan sebagaimana berlaku ke atas Coca-Cola.

Mungkin kedua-dua jenama itu mengharapkan dua bintang berkenaan membuka botol minuman yang secara tidak langsung akan memberi impak pemasaran dan penjenamaan terbaik tahun ini, namun ternyata strategi itu ‘makan tuan”.


Pemain Perancis, Paul Pogba mengalihkan botol Heineken semasa sidang akhbar selepas diumumkan sebagai 'Pemain Terbaik Perlawanan' antara Perancis menentang Jerman. - Kredit foto: Agensi


Terbaharu pemain tengah Itali, Manuel Locatelli pula menjadi pemain ketiga mengetepikan Coca-Cola dan menggantikan dengan minuman kosong miliknya sendiri.

Pemain itu mempamerkan permainan berkelas dunia untuk membantu Itali mengalahkan Switzerland 3-0 pada perlawanan Kumpulan A, Khamis, 17 Jun, 2021 dengan meledak dua gol dan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Apabila dia tiba pada sidang media selepas perlawanan dia segera mencari botol untuk diletakkan di tengah meja dengan mengetepikan minuman Coca-Cola dan meletakkan air kosong, sambil meniru gaya Ronaldo, 'Aqua' atau 'Acqua' mengikut bahasa Itali.


Locatelli yang diumumkan sebagai 'Pemain Terbaik Perlawanan' selepas membantu Itali mengalahkan Switzerland 3-0, juga mengikut jejak Ronaldo dengan mengalihkan botol Coca-Cola sebaliknya memilih air kosong. - Kredit foto: Agensi


Ekoran ‘aksi’ tiga pemain itu yang ternyata mencalar imej penaja, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengeluarkan amaran bahawa mereka akan bertindak ke atas pasukan yang diwakili pemain yang melakukannya.

"UEFA mengingatkan pasukan bahawa penajaan adalah penting untuk menjayakan kejohanan dan bagi memastikan pembangunan bola sepak di serata Eropah termasuk belia dan wanita,'' menurut jurucakap penganjur.

Pengarah UEFA, Martin Kallen berkata, pemain perlu mematuhi peraturan ditetapkan badan bola sepak Eropah itu. Beliau berkata badan bola sepak Eropah itu sedia mengambil tindakan disiplin tetapi denda tidak akan dikenakan secara terus ke atas pemain.

"Kami tidak akan mengenakan denda ke atas pemain sebaliknya ke atas pasukan yang mungkin selepas itu boleh bertindak ke atas pemain mereka. Tetapi buat masa ini tiada tindakan terus daripada kami ke atas pemain,'' kata Kallen. - KitaReporters




1
3
0
1
0
You will be interested