Lee Ji-ah membawa watak Shim Su-ryeon, wanita yang dikhianati suami sendiri dalam drama The Penthouse yang sudah memasuki musim ketiga. - Kredit foto: SBS
Siri drama The Penthouse – War In Life yang kini memasuki musim
ketiga telah melonjakkan nama pelakon utamanya, Lee Ji-ah pemegang watak Shim
Su-ryeon, seorang wanita elegan berasal
daripada keluarga kaya dan ternama namun melalui kehidupan penuh tragis.
Ramai penonton bersimpati dengan Su-ryeon apabila dikhianati suaminya sendiri, Joo Dan-tae (lakonan Uhm Ki-joon) yang curang bersama Cheon Seo Jin (lakonan Kim So-yeon).
Walaupun ia sekadar lakonan namun hakikatnya, kehidupan Ji-ah di luar layar tidak banyak bezanya. Dia pernah melalui episod duka dalam hidupnya sehingga menggegarkan industri seni hburan Korea suatu ketika dahulu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan K-Pop
Ia berlaku pada 2011 pada ketika peminat sedang teruja mengikuti percintaan Ji-ah dengan pasangannya dalam drama Korea Athena: Goddess of War, Jung Woo-sung sehingga ada yang berharap mereka mengakhirinya dengan perkahwinan.
Namun, industri hiburan Korea Selatan menjadi gempar apabila kisah ‘kahwin sembunyi-sembunyi’ antara Ji-ah dengan penyanyi, Seo Taiji terbongkar malah lebih menggemparkan, mereka mengesahkan sudah bercerai.
Seo Taiji mengahwini Ji-ah secara rahsia di Amerika Syarikat pada 1997 tapi hanya bertahan selama tiga tahun. - Kredit foto: dok naver
Pertemuan Seo Taiji dengan Ji-ah berlaku ketika pelakon itu tinggal selama 10 tahun bersama keluarganya di Amerika Syarikat sebelum dia kembali menetap di Korea Selatan.
Ketika itu Ji-ah baru berusia 15 tahun sementara Seo Taiji pula 21 tahun. Apabila Ji-ah berusia 19 tahun pada 1997, mereka berkahwin secara senyap-senyap dan rahsia itu berjaya disimpan kemas.
Seo Taiji mengambil keputusan bersara daripada dunia hiburan dan menetap bersama Ji-ah di Atlanta dan Arizona. Namun, selepas tiga tahun hidup bersama, sang suami mengambil keputusan kembali ke Korea untuk meneruskan kariernya.
Ditinggalkan keseorangan di Amerika, Ji-ah akhirnya menfailkan perceraian pada 2006. Proses itu mengambil masa yang panjang, akhirnya mereka rasmi bercerai pada 2011.
Percintaan Jin-ah dengan Woo-sung juga gagal dipertahankan selepas rahsia perkahwinan rahsia dengan Taiji terbongkar pada 2011. - Kredit foto: SBS
Apabila berita perceraian itu tersebar secara meluas melalui media, peminat sangat terkejut kerana ia berlaku ketika Woo Sung baru sahaja mengesahkan tentang hubungan cintanya dengan Ji-ah.
Namun, berita itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan Woo-sung kerana sebelum ia terbongkar, Ji-ah sudah lebih awal menceritakan hal sebenar kepadanya. Justeru, dia dapat menerimanya dengan lapang dada.
Hubungan Ji-ah dan Woo-sung berjalan seperti biasa namun hanya bertahan beberapa bulan. Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah serta membawa haluan masing-masing.
Namun, mereka tidak pernah bermusuhan atau saling menburuk-burukkan antara satu sama lain malah Woo-sung amat berhati-hati untuk bercakap mengenai Ji-ah kerana tidak mahu berlaku salah faham dalam kalangan peminat mereka.
Sementara itu, Taiji juga amat berhati-hati untuk membuat kenyataan mengenai perkahwinan dan perceraian mereka kerana tidak mahu melukakan hati Ji-Ah. Hanya tiga tahun selepas perceraian mereka barulah dia membuka mulut.
Menurut Taiji, dia benar-benar berasa bersalah kepada Ji-ah atas apa yang berlaku dan berharap bekas isterinya itu menemui kebahagiaan sebagimana dirinya yang kini sudah berkahwin lain serta mempunyai anak. – KitaReporters