Rahimah Rani (kanan) turut membantu pekerjanya menjahit telekung solat dan tudung.
MENCARI keberkatan dalam perniagaan sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri jahitan telekung solat dan tudung/hijab, V Soho Hijab menjahit secara percuma 100 pakaian itu untuk disumbangkan kepada barisan hadapan (frontliner) dan mereka yang dikenakan kuarantin berikutan pandemik Covid-19 di Kelantan.
Selain membuka peluang untuk membuat kerja amal dan menyumbangkan sesuatu bermanfaat untuk negara khasnya kepada kerajaan negeri Kelantan apabila dilanda pandemik Covid-19, ia juga sebagai membantu secara sukarela persatuan Misi Kembara Dakwah (MKD) yang berusaha mengumpul dana bagi tujuan itu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan telekung:
https://kitareporters.com/search?search=telekung
Dua pekerja mahir V Soho Hijab sedang memotong kain untuk membuat telekung solat.
Menurut pemilik syarikat berkenaan, Rahimah Rani, selepas berbincang dengan Timbalan Pengerusi Persatuan MKD, Dr Wan Martina Wan Yusof, V Soho Hijab bersetuju untuk menjahit telekung solat dan tudung untuk kumpulan pertama itu bermula hujung Januari 2021 lalu di butik yang terletak di Kampung Mahligai, Melor, Kota Bharu.
Menurut beliau, 100 pasang telekung solat dan tudung yang baru disiapkan itu sudah diserahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin dalam satu majlis ringkas di pejabatnya yang disampaikan oleh Dr Wan Martina pada 16 Februari 2021 lalu.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr Maizun Mohd Zain, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), Nazlina Ahmad dan Naib Pengerusi Persatuan MKD, Zaira Azlan Zainudin.
Kata Rahimah, telekung solat dan tudung itu dijahit hasil dana yang disumbangkan oleh ahli persatuan berkenaan serta orang ramai yang merupakan projek serampang dua mata MKD dalam membantu ibu tunggal mendapat upah menjahit di samping memberi kemudahan untuk barisan hadapan dan pesakit Covid-19 dikuarantinkan untuk bersolat.
Rahimah dan sukarelawan MKD melihat kain yang siap dipotong untuk membuat telekung solat.
“Kerjasama dengan MKD bukanlah perkara baharu, kerana sebelum itu V Soho Hijab sudah membantu persatuan berkenaan menjahit dan menyiapkan 100 Peralatan Perlindungan Diri (Personel Protective Equipment atau PPE) dan penutup muka (face shield) untuk disalurkan kepada barisan hadapan yang bertugas di hospital serta pusat kuarantin bermula awal februari tahun 2020 lalu.
“V Soho Hijab tiada masalah untuk menyiapkan kerja sukarela itu kerana mempunyai dua tukang jahit mahir dan beberapa pekerja separuh mahir dalam kalangan ibu tunggal serta B40 yang secara tidak langsung mereka memperoleh pendapatan walaupun terkesan dengan Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Rahimah (kiri) dan Dr Wan Martina Wan Yusof menunjukkan telekung solat yanhg sudah siap dijahit oleh pekerja V Soho Hijab.
Rahimah berkata, sebelum itu V Soho Hijab juga sudah bekerjasama dengan MKD dalam projek telekung solat percuma untuk diedarkan kepada 100 penghuni pondok di Kelantan di samping mengagihkan bungkusan makanan untuk keluarga yang terkesan dengan Covid-19 berikutan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB).
Menurutnya, butik V Soho Hijab terus menjadi salah satu pusat agihan barangan asas keperluan harian untuk Program Gerobok Rezeki MKD yang membolehkan dalam kalangan keluarga miskin serta asnaf mengambil barangan keperluan secara percuma seperti beras, gula, tepung gandum, telur, minyak masak, susu, pampers dan sebagainya.
Penduduk yang kurang berkemampuan dan warga emas yang terlantar sakit turut menerima bantuan daripada V Soho Hijab dan MKD.
“Mungkin
tahun (2021) ini V Soho Hijab dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) akan meneruskan usaha memasak dan mengedarkan kuih-muih serta makanan
kepada keluarga miskin dan asnaf sekitar Kampung Mahligai, Melor, Gunong, Alor
Bakat dan Pak Badol sepanjang bulan Ramadan.
“Walaupun kami bukanlah barisan hadapan tetapi sekurang-kurangnya V Soho Hijab dapat menghulurkan sumbangan sekadar termampu bagi meringankan bebanan yang ditanggung pelbagai pihak khusus penduduk yang tertekan dengan PKP Covid-19,” katanya.
V Soho Hijab yang beroperasi lebih setahun lalu itu turut menjahit sejadah dan memiliki tujuh ejen yang aktif di Kelantan dan Selangor di samping Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff merupakan pelanggan tetap. - KitaReporters
Rahimah sedang mengukur ukuran kain tudung Siti Zailah Mohd Yusoff yang merupakan pelanggan tetap V Soho Hijab.