Seni & Sukan 05 Jul, 2021

Ditunduk Nagoya Grampus 1-2! JDT kempunan lagi! Mora tetap kagum! Lawan seperti harimau luka!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

RAMADHAN Saifullah Usman (kiri) meraikan gol tunggal JDT dengan Nazmi Faiz Mansor. - Kredit foto: JDT


KESUDAHANNYA mungkin berbeza atau sekurang-kurangnya satu mata masih mampu disambar oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) FC!

Mereka pasti tidak kempunan jika rembatan kaki kiri bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri tidak menyinggahi palang gol selepas Mitchell Langerak sudah pun tertewas pada minit ke-62.

Si Harimau Selatan cuba bangkit dengan merapatkan jurang gol menerusi jaringan Ramadhan Saifullah Usman yang menolak masuk tampanan penjaga gol Nagoya Grampus itu daripada rembatan La’Vere Corbin-Ong, tiga minit sebelum rehat.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JDT FC



Namun kekalahan keempat tetap menimpa JDT dalam pertembungan Kumpulan G bola sepak Liga Juara AFC (ACL) 2021 dengan Nagoya Grampus, pada Ahad, 4 Julai 2021 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand.

“Sukar untuk melihat dua percubaan kami hanya mengenai palang. Itu mungkin mampu menjadi cerita yang berbeza.

“Kami tidak merosot atau tunduk mengalah selepas dibolosi 2-0. Lebih kurang 55 minit kami mengawal permainan, satu pencapaian yang bagus. Hanya dua gol yang diperlukan untuk kesudahan yang baik,” kata Benjamin Mora, dalam laman Facebook rasmi JDT, hari ini, Isnin, 5 Julai 2021.


AHMAD Hazwan Bakri (kanan) hampir membolosi gawang Nagoya Grampus dengan rembatan kidal dalam kotak penalti. - Kredit foto: JDT


Pasukannya ketinggalan seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti Mateus selepas dia dijatuhkan oleh bek tengah Adam Nor Azlan, manakala gol kedua lawan menyusul dengan rembatan kidal melengkung Hiroyuki Abe, minit ke-28.

Kekalahan itu melenyapkan langsung sisa peluang JDT untuk menyaingi satu slot pusingan kalah singkir ACL Zon Timur sambil kekal di anak tangga ketiga Kumpulan G dengan mengumpul tiga mata.

Mereka tewas 1-0 dalam pertembungan pertama dengan Nagoya, 22 Jun 2021 lalu, bangkit menewaskan Ratchaburi FC (Thailand) 1-0, tiga hari kemudian namun dibenam bekas juara ACL tiga kali, Pohang Steelers 4-1 dan 2-0 pada 28 Jun dan 1 Julai 2021.



Mora, warga Mexico, tetap gembira dengan pencapaian anak-anak buahnya terutama sekali semangat juang mereka sekalipun menyedari kehandalan lawan-lawan seperti Nagoya dari Jepun dan Pohang (Korea Selatan).

“Nagoya di kedudukan kedua dalam Liga-J ketika ini. Kami tahu perlawanannya akan menjadi sangat sukar.

“Kami juga rehatkan beberapa tonggak agar mereka dapat pulih untuk perlawanan seterusnya dan yang (menggantikannya) bermain dengan persembahan yang sangat baik.

“Mereka mencuba sebaik mungkin, memberikan tekanan, berlari, memiliki bola dan melaksanakan gaya kami.

“Saya rasa statistik perlawanan, menunjukkan kami menguasai dalam banyak situasi tetapi inilah bola sepak,” akuinya.


HAZIQ Nadzli (kiri) sukar menghalang rembatan Hiroyuki Abe namun boleh dipuji dengan ketekunan pada penampilan sulungnya dalam ACL 2021. - Kredit foto: AFC


JDT merehatkan tonggak seperti kapten yang juga penjaga gol utama, Farizal Marlias dan penyerang import dari Brazil, Bergson yang masih ketumpulan gol dalam empat perlawanan lalu namun mengembalikan perantara Leandro Velazquez dan bek kiri La'Vere Corbin-Ong selain bek tengah, Mauricio yang digantung satu perlawanan, 1 Julai 2021 lalu. 

Dia berharap keputusan itu bakal mendorong pasukan untuk terus berjuang melawan Ratchaburi di stadium sama pada Rabu ini, 7 Julai 2021 dengan segala sumber yang dimiliki sekarang untuk meraih tiga mata semula.


ADAM Nor Azlin (terduduk) 'terhadiahkan' penalti buat Nagoya seawal minit ketiga. - Kredit foto: AFC


LA'VERE Corbin-Ong (tengah) menampilkan persembahan terpuji dalam mengasak Nagoya Grampus dari sebelah kiri. - Kredit foto: AFC


Jurulatih Nagoya, Massimo Ficcadenti pula menyifatkan ramalan anak-anak buahnya bakal menyumbat tiga atau empat gol, meleset apabila JDT beroleh momentum permainan dan merapatkan jurang kedudukan 1-2.

“Sebenarnya, sebelum perlawanan, saya sangka kami akan dapat tiga atau empat gol. Perlawanan ini amat berbeza daripada pertemuan pertama kami dengan JDT.

“Pemain-pemain saya juga kepenatan kerana bermain lima perlawanan yang sukar dengan situasi sekarang (Covid-19),” katanya dalam laman sesawang rasmi the-afc.com.

Nagoya Grampus mengesahkan tiket pusingan kedua ACL 2021 dengan kejayaan ini malah masih tanpa kalah, manakala Pohang Steelers yang mengekorinya, diikat Ratchaburi tanpa jaringan, memungut 10 mata. - KitaReporters


MAURICIO (atas) kembali daripada penggantungan dan bergandingan dengan Adam Nor Azlin. - Kredit foto: JDT

0
0
0
1
0
You will be interested